(DEFENCE SECURITY ASIA) – Admin terfikir, bagaimana jika pada suatu ketika di tahun-tahun mendatang, China bertindak menghantar beberapa buah kapal ke Beting Patinggi Ali dan mereka memulakan kerja-kerja untuk membina infrastruktur ketenteraan dan bangunan di ciri maritim itu?
Apakah respons dan tindakan kita pada ketika itu? Masihkah kita bergantung pada mantra magis “diplomasi pertahanan” sebagaimana yang kerap dilaungkan oleh seorang bekas Menteri Pertahanan?
Walaupun admin berharap situasi itu tidak akan berlaku, tetapi melihatkan kepada beberapa buah terumbu karang dan ciri-ciri maritim di Kepulauan Spratly dan Paracel seperti Mischief Reef, Subi Reef dan Fiery Cross serta Woody Island, maka keyakinan bahawa situasi itu tidak akan berlaku tidak boleh 100 peratus.
Situasi itu boleh berlaku di Beting Patinggi Ali dan apa yang menghalang China daripada berbuat demikian adalah China itu sendiri.
Daripada ciri-ciri maritim yang terpencil di tengah lautan dan tidak berpenghuni, Mischief, Subi, Fiery Cross dan Woody Island telah berubah menjadi pangkalan-pangkalan tentera China yang lengkap dengan landasan dan hangar untuk menempatkan pesawat serta jeti bagi membolehkan kapal-kapal perangnya (termasuk kapal selam) berlabuh.
Pangkalan-pangkalan tentera China di Kepulauan Spratly dan Paracel itu juga dilengkapi dengan sistem komunikasi dan elektronik yang canggih serta sistem pertahanan udara bagi melindunginya daripada segala ancaman.
Segala-galanya bermula lebih daripada 10 tahun lepas, apabila China menghantar sekumpulan kecil anggota-anggota tenteranya untuk menduduki secara haram terumbu karang dan ciri-ciri maritim itu yang terletak di tengah-tengah laluan perdagangan tersibuk dunia.
Berteduhkan khemah dan pondok yang sederhana, kehadiran anggota tentera China itu disusuli dengan “kedatangan” lebih ramai anggota tentera negara itu bersama-sama jurutera awamnya yang pakar dalam “operasi” penambakan.
Armada kapal-kapal pengorek (dredger) China juga tiba di terumbu karang dan ciri maritim untuk memulakan kerja-kerja penambakan intensif.
Kerja-kerja penambakan berlaku tanpa henti 24 jam sehari dan di dalam tempoh beberapa tahun, terumbu karang dan ciri-ciri maritim yang terpencil dan tidak berpenghuni itu telah berubah wajah menjadi pulau-pulau yang lengkap untuk menempatkan kelengkapan moden tentera berserta kebun-kebun sayuran serta kandang penternakan.
Apa yang akan menghalang China untuk berbuat benda yang sama, sama ada di Beting Patinggi Ali atau mana-mana terumbu karang atau ciri-ciri maritim lain yang terletak di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia, Vietnam, Brunei atau Filipina.
Apa yang sebenarnya boleh kita lakukan sekiranya Beijing mahu mendirikan struktur atau menempatkan anggota tenteranya di mana-mana beting, terumbu karang atau apa-apa ciri maritim yang terletak di dalam perairan ZEE kita?
Melihatkan kepada kehadiran kapal-kapal pengawal pantai China di perairan ZEE kita pada ketika ini dan keadaan armada tentera laut kita, kemungkinan besar tidak banyak yang boleh kita lakukan.
Apa yang pasti adalah, lebih banyak nota-nota diplomatik dikirim ke kedutaan China di Kuala Lumpur bagi menyuarakan bantahan. — DSA
JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE