China Rancang Misi Airborne Tawan Pulau-Pulau Di Laut China Selatan?

Operasi airborne oleh tentera China itu melibatkan anggota payung terjunnya menawan landasan kapal terbang yang terdapat di pulau-pulau di Laut China Selatan terdiri daripada Pulau Taiping diduduki Taiwan, Pulau Layang-Layang (Malaysia), Pulau Pag-asa (Filipina) dan Pulau Spratly (Vietnam).

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tindakan China menghantar 16 buah pesawat pengangkut tenteranya menghampiri Zon Maritim Malaysia (ZMM) pada 31 Mei tahun lepas berkemungkinan besar adalah suatu latihan airborne tentera China sebagai persediaan untuk menawan landasan kapal terbang yang terdapat di pulau-pulau di Laut China Selatan yang masih belum dikuasai oleh Beijing.  

Pendapat mengenai kemungkinan tujuan penghantaran pesawat-pesawat tentera China menghampiri ZMM itu disuarakan oleh Lt Kol Aita Moriki yang merupakan juruterbang dan bekas Komander 302nd Tactical Fighter Squadron, Japan Air Self Defense Force (JASDF).

Aita juga merupakan penyelidik di JASDF Center for Air and Space Power Strategic Studies (CASPSS).

Rajah pencerobohan pesawat tentera China pada 31 Mei lepas. (kredit TUDM)

 

Dalam kertas kerja bertajuk “ The True Meaning of the Chinese Air Force’s Flying Transport Aircraft Near Malaysia: Airborne Units in Power Projection “, beliau berkata, tentera China sedang merancang operasi airborne melibatkan pengguguran anggota tentera payung terjun di pulau-pulau yang masih belum dikuasai di Laut China Selatan.

Operasi airborne oleh tentera China itu melibatkan anggota payung terjunnya menawan landasan kapal terbang yang terdapat di pulau-pulau di Laut China Selatan terdiri daripada Pulau Taiping diduduki Taiwan, Pulau Layang-Layang (Malaysia), Pulau Pag-asa (Filipina) dan Pulau Spratly (Vietnam).

Pesawat-pesawat pengangkut tentera China dipercayai telah melakukan penerbangan di ruang udara berhampiran pulau-pulau terbabit, bagi membiasakan mereka keadaan persekitaran di pulau-pulau itu (sama ada pulau semulajadi atau pulau-pulau buatan manusia)

“Untuk tujuan itu, berkemungkinan krew-krew pesawat pengangkut tentera China berlatih melakukan profil penerbangan dalam formasi in-trail dipisahkan sejauh 60 batu nautika, membiasakan diri mereka dengan keadaan topografi sekeliling.”

“Ini adalah misi oleh formasi pesawat-pesawat tentera China itu,” menurut Aita di dalam kertas kerjanya itu.

Sebuah pesawat pengangkut China Ilyushin-76 yang dipintas oleh pesawat Hawk 208 TUDM ketika menghampiri Zon Maritim Malaysia pada akhir Mei tahun lepas.(kredit TUDM)

 

Penerbangan 16 buah pesawat China menghampiri ZMM itu boleh disifatkan sebagai “China Blitzkrieg” untuk menawan landasan kapal terbang di pulau-pulau yang masih belum dikuasai oleh China di Laut China Selatan.

Beliau berkata “China Blitzkrieg” ini boleh berlaku pada waktu aman bertujuan untuk menyukarkan mana-mana pihak mengagak tindakan yang bakal diambil oleh China.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengesan “penerbangan mencurigakan” 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China/ People’s Liberation Army- Air Force (PLAAF) memasuki ruang udara ZMM, Kota Kinabalu Flight Information Region (FIR) dan menghampiri ruang udara nasional pada 31 Mei 2021.

Penerbangan pesawat-pesawat PLAAF tersebut telah dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 pagi.

“Pesawat-pesawat tersebut telah dikesan terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika di antara satu sama lain. Formasi panjang tersebut juga telah terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar. “

Pesawat pengangkut Xian Y-20 China, sebagaimana yang dirakam oleh TUDM menceroboh ruang udara negara pada 31 Mei lepas.

 

“Mereka kemudiannya didapati mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara,” menurut TUDM dalam satu kenyataan hari ini.

Ia berkata, pesawat-pesawat tentera udara China itu telah dikesan terbang pada ketinggian di antara 23,000 kaki sehingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots melalui Singapore FIR sebelum memasuki ruang udara ZMM, KK FIR.

Pesawat-pesawat tentera China itu seterusnya terbang menghampiri 60 batu nautika daripada pesisir pantai Wilayah Sarawak yang dikhuatiri akan mengancam kedaulatan negara.

Pihak TUDM telah meletakkan pesawat Hawk 208 daripada No. 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan di dalam keadaan siap sedia melalui Operasi Curiga TUDM.

Pemantauan menerusi radar pertahanan udara diteruskan ke atas pesawat-pesawat tersebut disamping beberapa percubaan untuk mengarahkan mereka menghubungi kawalan trafik udara KK FIR.

Anggota payung terjung China ketika melakukan latihan airborne menggunakan pesawat pengangkut Y-20.

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Apabila arahan tidak dipatuhi dan didapati melangkaui persempadanan KK FIR menghala ke ruang udara nasional, TUDM telah melancarkan pesawat-pesawat pemintas pada jam 1333H untuk melakukan identifikasi visual.

“Hasil daripada pemintasan udara yang dilaksanakan, TUDM telah mengenalpasti pesawat-pesawat tersebut adalah daripada jenis Ilyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20. Pesawat-pesawat jenis ini merupakan pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi,” kata TUDM.

“Insiden ini merupakan perkara yang serius terhadap ancaman KEDAULATAN NEGARA dan KESELAMATAN PENERBANGAN berdasarkan kepadatan trafik udara di dalam laluan penerbangan (Airways) di dalam KK FIR.” — DSA

Pesawat pengangkut tentera China Xian Y-20 digelar “Chubby Girl” yang dipintas oleh pesawat TUDM pada 31 Mei lepas.(kredit TUDM)
AirborneChinafeaturedLandasanPayung Terjun