(DEFENCE SECURITY ASIA) — Syarikat pembuat dron Turkiye, Baykar Technology yang bertanggungjawab membangunkan dron “Bayraktar TB2” telah menyatakan dengan jelas bahawa ia tidak akan menjual pesawat tanpa pemandu terbabit kepada India.
Ini kerana menurut ketua pegawai eksekutifnya Haluk Bayraktar, syarikat itu hanya menjual sistem pesawat tanpa pemandu yang sedang “laris di pasaran dunia” kepada negara-negara bersaudara sahaja seperti Pakistan yang “bermusuhan” dengan India.
India sebagaimana yang ditakrifkan oleh syarikat pembuat pesawat tanpa pemandu buatan Turkiye itu, tidak termasuk dalam senarai negara yang dianggap sebagai bersaudara dengan Turkiye.
“Sebagai prinsip syarikat, kami menentang dasar mengambil keuntungan daripada peperangan atau menjual senjata kepada kedua-dua pihak yang bertelagah di dalam konflik itu.”
“Keutamaan kami adalah berkongsi kemampuan kami dengan ‘negara-negara bersaudara’ di mana kami (Turki) mempunyai hubungan strategik, sahabat, sekutu dan negara-negara anggota NATO. Negara-negara seperti Azerbaijan, Pakistan dan Ukraine adalah keutamaan kami,” kata Haluk.
Sejak tahun 1947, India dan Pakistan telah terlibat dalam beberapa siri peperangan.
Hubungan di antara kedua-dua negara berjiran yang memiliki senjata nuklear itu sentiasa tegang dengan India-Pakistan masih bertelagah tentang isu berkenaan wilayah Kashmir.
Kedua-dua negara masih meletakkan puluhan ribu anggota tentera di sempadan masing-masing.
Terdapat spekulasi sejak awal tahun ini bahawa Pakistan berminat untuk memperolehi sistem pesawat tanpa pemandu Bayraktar TB2 sejak kunjungan pegawai-pegawai tinggi daripada Tentera Pakistan ke kemudahan milik syarikat Baykar Technology di Turkiye pada tahun lepas.
Pada April lepas, imej satelit yang dikongsi oleh penganalisis imej perisikan Damien Symons menunjukkan kehadiran dron Bayraktar TB2 di Pangkalan Tentera Udara Pakistan di Murid.
Pakistan sememangnya diketahui mengoperasi sistem-sistem pesawat tanpa pemandu buatan China tetapi negara itu berkemungkinan mahu mencari alternatif berikutan prestasi buruk dan masalah teknikal dihadapi oleh dron buatan China itu.
Baru-baru ini, portal pertahanan antarabangsa Janes menyatakan bahawa Pakistan telah mengintegrasikan sistem pesawat tanpa pemandu Bayraktar TB2 ke dalam sistem pertahanan udaranya.
Pada 28 September yang lalu, Islamabad telah menunjukkan dua buah sistem pesawat tanpa pemandu Bayraktar TB2 dimilikinya bersama-sama sistem pesawat pemandu yang lain iaitu Falco yang dibangunkan oleh syarikat Leonardo.
Selain Bayraktar TB2, Pakistan juga dipercayai telah memperolehi sistem pesawat tanpa pemandu High Altitude Long Endurance (HALE) “Akinci” yang juga dibangunkan oleh syarikat Baykar Technology.
Sistem pesawat tanpa pemandu Bayraktar TB2 telah menunjukkan prestasi yang baik pada beberapa konflik apabila ia digunakan oleh tentera Azerbaijan pada konflik di Nagorno-Karabakh dan kini di Ukraine.
Bayraktar TB2 telah memainkan peranan yang penting dalam misi untuk menenggelamkan kapal perang Russia, Moskva
Disebabkan eksploitasinya di beberapa konflik, jualan sistem pesawat tanpada pemandu Bayraktar TB2 telah melonjak dengan Baykar Technology mendedahkan bahawa mana-mana pihak yang mahu mendapatkan dron itu perlu menunggu sekurang-kurangnya tiga tahun untuk mendapatkannya.
Perkara ini disahkan sendiri oleh Haluk.
“Permintaan yang tinggi daripada seluruh dunia telah menyebabkan pelanggan perlu menunggu sehingga tiga tahun untuk Bayraktar TB2,” katanya kepada Yayasan Come Back Alive Ukraine baru-baru ini.
Selagi Bayraktar TB2 menunjukkan kebolehannya di medan-medan peperangan, maka selagi itulah syarikat pembuatnya akan menerima permintaan yang tinggi daripada pelanggan yang mahu membeli pesawat tanpa pemandu kebanggaan Turki itu.
JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE
Pada ketika ini, kemudahan yang dimiliki oleh syarikat Baykar mampu menghasilkan kira-kira 20 buah Bayraktar TB2 di dalam sebulan.
Haluk berkata, jika mana-mana pihak mahu memenangi peperangan mereka perlu memiliki dron.
Dron kini telah menjadi kemampuan yang mesti dimiliki oleh semua negara. — DSA
Jom!!!! follow Twitter, Telegram, Facebook dan download Apps Defence Security Asia di Google Playstore