“Arizona Boneyard”, Tapak Perkuburan Pesawat Terbesar Di Dunia

“Boneyard” seluas 2,600 ekar di padang pasir itu merupakan “tapak perkuburan” bagi kira-kira 4,000 pelbagai jenis pesawat dengan majoritinya adalah milik 13 cabang tentera Amerika Syarikat serta termasuk juga daripada National Aeronautics and Space Administration (NASA).

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Di Pangkalan Tentera Udara Amerika Syarikat Davis-Monthan di Tuscon, Arizona, terletaknya 309th Aerospace Maintenance and Regeneration Group (309th AMARG) yang juga dikenali sebagai “boneyard” atau “graveyard.”

“Boneyard” seluas 2,600 ekar di padang pasir itu merupakan “tapak perkuburan” bagi kira-kira 4,000 pelbagai jenis pesawat dengan majoritinya adalah milik 13 cabang tentera Amerika Syarikat serta termasuk juga daripada National Aeronautics and Space Administration (NASA).

Dengan kawasan seluas 2,600 ekar, 309th Aerospace Maintenance and Regeneration Group (309th AMARG) di Arizona itu adalah “tapak perkuburan” pesawat terbesar di dunia.

 Kebanyakan daripada pesawat-pesawat yang berada di “boneyard” di Arizona itu sudah ditamatkan khidmat dan menunggu masa untuk dilupuskan, bagaimanapun, ada juga pesawat-pesawat yang masih baru terutamanya yang diselimuti dengan kain.

Pesawat-pesawat yang baru itu boleh kembali ke “gelanggang” sekiranya pelanggan memutuskan untuk berbuat demikian.

Selain diletakkan secara terbuka di padang pasir, terdapat juga pesawat diletakkan dalam hangar atau stor dan dipantau oleh pasukan penyelenggaran yang akan memastikan segala peralatan dan komponen di dalam pesawat-pesawat itu kekal berkeadaan baik.

Deretan pesawat pengebom B-52 di “Boneyard” Tuscon, Arizona.

 

Di “boneyard” 309th AMARG, Arizona itu turut menempatkan pelbagai pesawat komersial yang “tersadai” ketika pandemik COVID-19 yang telah menyebabkan “keruntuhan” industri aeroangkasa akibat tindakan menutup sempadan negara daripada warga asing.

Kini apabila pandemik COVID-19 mula beransur reda dan negara-negara di dunia mula membuka sempadan masing-masing untuk pelawat, pesawat-pesawat komersial masih baru yang sebelum ini berada di “boneyard” di Arizona telah mula kembali ke industri dan berkhidmat dengan syarikat-syarikat penerbangan.

Terdapat juga pesawat-pesawat di “boneyard” di Arizona itu dicerai-ceraikan (cannibalization) kepada beberapa bahagian kecil untuk dihantar kepada pelanggannya di seluruh dunia bagi membolehkan pesawat lain pula terbang.

Walaupun “boneyard” di dalam pangkalan tentera udara Amerika Syarikat di Arizona itu bukan satu-satunya tapak perkuburan pesawat di dunia ini, tetapi ia adalah yang terbesar kerana beberapa sebab.

Salah satu sebabnya adalah kerana cuaca di Arizona yang menyebabkan tapak perkuburan pesawat itu sesuai untuk ditempatkan di kawasan itu.

Cuaca di Arizona yang kering dengan humiditi yang rendah bermakna pesawat akan mengambil masa yang lebih lama untuk berkarat dan rosak, menjadikan ia lebih mudah untuk disimpan dalam keadaan terbaik.

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Selain itu faktor keluasan padang pasir itu membolehkan lebih banyak pesawat untuk disimpan pada kadar yang lebih menjimatkan,manakala faktor geologi tanah alkali yang cukup keras membolehkan pesawat itu “tidak tenggelam” dan membolehkan ia diletak tanpa menggunakan sebarang penggunaan peralatan khusus.

Bagi mereka yang berminat untuk melihat dengan lebih dekat tapak perkuburan pesawat terbesar dunia di padang pasir Arizona itu, mereka boleh melawatnya menerusi pakej lawatan menggunakan bas. — DSA

AMARGArizonaBoneyardfeaturedTuscon