(DEFENCE SECURITY ASIA) – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan mengerahkan lebih daripada 2,500 anggotanya untuk terlibat dalam Ops Khas Pagar Laut 1/2022 di seluruh negara untuk memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan (cross border crime).
Menurut Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som, 500 anggota turut ditugaskan di perairan Sabah dan Labuan manakala 450 lagi di Sarawak.
“Kita jangkakan musim perayaan ini akan membuka ruang jenayah di laut. Jadi, operasi dari 19 April hingga 17 Mei di seluruh perairan Malaysia ini dilaksanakan bagi menggempur sebarang aktiviti jenayah di perairan terutama selepas sempadan antarabangsa dibuka pada 1 April lepas,” katanya.
Sejak Januari hingga 8 April tahun ini, APMM menurut beliau, telah merekodkan 257 kes tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan dengan rampasan bernilai lebih RM49.2 juta.
Pada Operasi Khas Pagar Laut Siri 1/2021 tahun lepas katanya, anggota-anggota APMM telah merekodkan sebanyak 21 tangkapan atas pelbagai kesalahan dengan jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM38.8 juta.
“Tangkapan tersebut membabitkan pendatang tanpa izin, penyeludupan dadah, kontraban, ketum serta barangan kawalan bersubsidi melibatkan perairan Selat Melaka, Pantai Timur, Sabah, Sarawak dan Labuan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Zubil berkata anggotanya turut bersedia dengan tugasan besar seperti mengawasi perjalanan kapal dagang di perairan serta isu-isu berkaitan bahagian pantai di perairan negara.
Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store:
Mengenai cuti Hari Raya Aidilfitri pula, beliau berkata APMM membenarkan anggotanya bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri ini dengan 40 hingga 50 anggota bertugas secara bergilir.
“Walaupun anggota bercuti, yang utama, operasi dan penguatkuasaan masih berjalan seperti biasa. Kita faham sebab sudah dua tahun anggota tidak dapat pulang beraya kerana COVID-19,” katanya. — DSA