(VIDEO) Buat Pertama Kali, Kapal Milik Pengawal Revolusi Iran Laksana Misi Jarak Jauh

(VIDEO) Pihak berkuasa Iran juga telah menyiarkan video yang menunjukkan kapal dagang diubahsuai untuk menjadi kapal tentera, “Shahid Mahdavi” melancarkan peluru berpandu ballistik “Dezful” yang berkemampuan membedil sasaran sejauh 1,000km.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Buat pertama kali, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) dilaporkan telah melaksanakan misi jarak-jauhnya menggunakan kapal dagang yang diubahsuai “Shahid Mahdavi” yang telah menyeberangi garisan Khatulistiwa dan memasuki Hemisfera Selatan.

Menurut laporan oleh agensi berita oleh agensi berita Iran, Tasnim, ini adalah kali pertama bagi kapal itu terlibat dalam misi jarak jauh, namun ia tidak mendedahkan lokasi ditujunya serta matlamat misi jarak jauhnya itu.

Namun, misi jarak jauh bagi kapal yang dioperasikan oleh IRGC itu berlaku tidak lama selepas kumpulan bersenjata Houthi mengumumkan bahawa ia akan mula mensasarkan kapal-kapal dagang yang menggunakan perairan Mediterranean untuk menghantar kargo ke pelabuhan di Israel.

Pihak berkuasa Iran juga telah menyiarkan video yang menunjukkan kapal “Shahid Mahdavi” melancarkan peluru berpandu ballistik “Dezful” yang berkemampuan membedil sasaran sejauh 1,000km.

Dipercayai peluru berpandu dan sistem pelancarnya diletakkan di dalam kontena yang dibawa oleh kapal milik IRGC itu, seberat 41,000 tan dan berkemampuan berlayar sejauh 18,000 batu.

Ia adalah perluasan operasi dan tindakan oleh kumpulan Houthi yang sebelum ini hanya mensasarkan kapal-kapal dagang yang mahu ke pelabuhan di Israel menggunakan perairan di Laut Merah.

Kapal “Shahid Mahdavi” dioperasikan oleh IRGC itu dilengkapi dengan peluru-peluru berpandu kruis dan peluru berpandu ballistik, selain sistem pertahahan udara.

Ia belayar di perairan antarabangsa.

Sejak beberapa bulan lepas, kumpulan Houthi telah mensasarkan kapal-kapal dagang menggunakan Laut Merah dan Laut Arab dengan peluru-peluru berpandu dan dron-dron berani mati, menyebabkan kerugian besar terhadap syarikat-syarikat perkapalan itu.

Menurut agensi berita itu lagi, kapal “Shahid Mahdavi” mula menyertai IRGC pada Mac tahun lepas dan telah dikerah ke Teluk Aden sejak beberapa bulan lepas.

“Shahid Mahdavi” yang asalnya adalah kapal dagang sebelum diubahsuai untuk melaksanakan operasi jarak jauh.

“Shahid Mahdavi”

 

Ia dilengkapi dengan ciri-ciri yang canggih termasuk radar phased-array tiga dimensi, peluru berpandu, sistem komunikasi serta sistem peperangan eletronik yang canggih.

Selain itu, kapal itu turut dilengkapi dengan helikopter, dron dan bot-bot laju.

Pada Februari lepas, IRGC mengesahkan bahawa ia telah berjaya melancarkan dua butir peluru berpandu ballistik jarak jauh daripada kapal “Shahid Mahdavi” itu yang berkemampuan membedil sasaran sejauh 1,700km.

“Ini (Februari) adalah kali pertama di mana kapal Shahid Mahdavi berjaya melancarkan peluru berpandu ballistik di Teluk Oman,” menurut stesen televisyen Iran tidak lama selepas ia berjaya melancarkan peluru berpandu ballistik itu.

Komander IRGC Mejar Jeneral Hossein Salami menegaskan bahawa kejayaan kapal “Shahid Mahdavi” itu melancarkan peluru berpandu ballistik telah meluaskan lagi pengaruh IRGC dan kemampuan angkatan lautnya bagi membolehkkan ia dikerah ke mana-mana lokasi di seluruh dunia.

“Kapal-kapal perang kami akan berada di mana-mana lokasi di seluruh dunia, bagi membolehkan kami melancarkan peluru-peluru berpandu. Tidak ada lokasi yang selamat bagi mana-mana pihak yang mahu mewujudkan ketidakstabilan terhadap kami, “ kata beliau pada ketika itu.

Pada November 2020, IRGC telah mendedahkan hasratnya untuk mengerahkan kapal-kapal tentera termasuk kapal-kapal dagang yang telah diubahsuai ke bahagian utara di perairan Lautan Hindi. — DSA

featuredIranIRGCShahid Mahdavi
Comments (0)
Add Comment