Prestasi Buruk Sistem Pertahanan Udara MIM-104 “Patriot” Punca Israel Tamatkan Khidmatnya?

Persoalannya adalah mengapa Israel secara tiba-tiba menamatkan perkhidmatan sistem pertahanan Patriot? Adakah ia berkaitan dengan laporan yang dikeluarkan baru-baru ini yang mendakwa peluru berpandu (interceptors) daripada sistem pertahanan udara Amerika Syarikat hanya mencapai 25 peratus kejayaan.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Baru-baru ini, Israel menyatakan bahawa ia akan menamatkan perkhidmatan sistem pertahanan udara MIM-104 Patriot (dipanggil Yahlom oleh Israel) buatan Amerika Syarikat dan menggantikannya dengan sistem-sistem pertahanan udara buatan industri pertahanan tempatannya.

Angkatan Tentera Israel telah mengoperasikan sistem pertahanan udara Patriot selama 40 tahun.

Mengambilalih tempat sistem pertahanan udara Patriot yang akan ditamatkan khidmatnya oleh Israel selepas 40 tahun itu adalah sistem-sistem pertahanan udara yang dibangunkan sendiri oleh industri pertahanan tempatan negara Yahudi itu seperti Iron Dome, Arrow dan David Sling.

Persoalannya adalah mengapa Israel secara tiba-tiba menamatkan perkhidmatan sistem pertahanan Patriot?

Adakah ia berkenaan dengan laporan yang dikeluarkan baru-baru ini tentang prestasi sistem pertahanan udara itu ketika menangani serangan peluru berpandu dan dron berani mati Iran?

“MIM-104 Patriot”

 

Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh radio Tentera Darat Israel baru-baru ini, peluru berpandu daripada sistem pertahanan udara Amerika Syarikat hanya mencapai 25 peratus kejayaan.

Laporan itu juga menyatakan bahawa daripada lapan butir peluru berpandu SM-3 yang dilancar oleh kapal-kapal perang Amerika Syarikat di Laut Merah, hanya dua butir sahaja yang mengenai sasaran mereka iaitu peluru berpandu dan dron-dron berani mati Iran.

“Tahap kegagalan bagi sistem pertahanan udara SM-3 adalah 75 peratus,” menurut laporan yang dikeluarkan oleh radio Tentera Darat Israel itu.

Sebaliknya, Tel Aviv mendakwa sistem-sistem pertahanan udaranya telah berjaya mencapai 90 peratus kejayaan dalam menangani serangan dron berani mati dan peluru-peluru berpandu ballistik yang dilancar oleh Iran.

Mungkin inilah sebab utama mengapa Israel tergesa-gesa menamatkan perkhidmatan sistem pertahanan udara Patriot dan menggantikannya dengan sistem pertahanan udara dibangunkan sendiri oleh industri pertahanannya sendiri.

Israel’s “Arrow” anti-ballistic missile system

 

Israel mengoperasikan sistem pertahanan udara yang berlapis (multi-layered) dengan sistem pertahanan udara Iron Dome menangani ancaman darat dekat, manakala untuk ancaman jarak sederhana dan peluru berpandu ballistik, Tel Aviv bergantung kepada sistem pertahanan udara David Sling dan Arrow.

Kesemua sistem pertahanan udara Israel itu, Iron Dome, David Sling dan Arrow dibangunkan secara bersama oleh Israel dan Amerika Syarikat.

Apa akan jadi kepada sistem-sistem pertahanan udara Patriot yang telah ditamatkan perkhidmatannya oleh Israel?

Sebarang penjualan atau pemindahan sistem pertahanan udara Patriot kepada pihak ketiga memerlukan kelulusan pihak Amerika Syarikat.

Banyak pihak menjangkakan sistem-sistem pertahanan udara Patriot milik Israel itu akan dijual semula kepada Amerika Syarikat yang berkemungkinan besar akan “mendermakannya” kepada Ukraine untuk digunakannya bagi menangani ancaman peluru berpandu atau pesawat kombat Russia.

Israel’s “Arrow” anti-ballistic missile system

 

Ukraine sememangnya amat memerlukan sistem pertahanan udara Patriot untuk mempertahankan bandar-bandar dan aset-aset kritikal tenteranya daripada serangan Russia.

Walaupun kemungkinan sistem-sistem pertahanan udara Patriot milik Israel itu akan dipindahkan kepada Ukraine, namun Tel Aviv dipercayai akan melakukannya dengan berhati-hati supaya ia tidak membuatkan Russia marah.

Israel memerlukan kerjasama Russia terutamanya dalam usahanya untuk menangani perluasan pengaruh Iran di negara-negara tetangganya seperti di Lubnan, Syria dan Iraq.

Sistem pertahanan udara Patriot mula dioperasikan oleh Israel pada tahun 1991 semasa Perang Teluk untuk menangani ancaman Presiden Saddam Hussein yang mahu menyerang Israel menggunakan  peluru-peluru  berpandu Scud.

Sistem pertahanan udara Patriot milik Israel itu telah dinaiktaraf pada 2012 dan buat kali pertama pada 2014 ia dilaporkan telah berjaya menembak jatuh sebuah dron yang dilancarkan oleh kumpulan pejuang di Semenanjung Gaza.

“David Sling”

 

Sistem pertahanan udara MIM-104 Patriot terdiri daripada enam komponen iaitu peluru berpandu itu sendiri, sistem pelancar, radar, stesen kawalan, unit kuasa dan antenna frekuensi tinggi.

Sistem pertahanan udara MIM-104 Patriot menggunakan peluru berpandu PAC-2  itu boleh memusnahkan sasaran udara termasuk peluru berpandu ballistik sejauh 160km manakala jika ia menggunakan peluru berpandu PAC-3 pula boleh membedil sasaran sejauh 40km.

Center for Strategic and International Studies (CSIS) menganggarkan setiap bateri sistem pertahanan udara MIM-104 Patriot bernilai US$1.1 bilion (RM4.95 bilion).

Setiap sebuah peluru berpandu sistem pertahanan udara Patriot itu dianggarkan bernilai US$4.1 juta (RM18.45 juta). — DSA

featuredIsraelKejayaanPatriot
Comments (0)
Add Comment