Semakin Banyak Senjata Canggih Amerika Gagal Berfungsi Akibat Sistem EW Russia di Ukraine

Kali ini, perkara itu diperakui sendiri oleh pegawai kanan Pentagon yang menyatakan sistem peperangan elektronik Russia telah membuatkan persenjataan canggihnya, Ground-Launched Small Diameter Bomb (GLSDB) gagal berfungsi sebagaimana diharapkan.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Semakin banyak bukti menunjukkan senjata-senjata pintar (smart weapons) yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat kepada Ukraine telah gagal berfungsi dengan baik akibat “gangguan” daripada sistem peperangan elektronik Russia.

Kali ini, perkara itu diperakui sendiri oleh pegawai kanan Pentagon yang menyatakan sistem peperangan elektronik Russia telah membuatkan persenjataan canggihnya, Ground-Launched Small Diameter Bomb (GLSDB) gagal berfungsi sebagaimana diharapkan.

Ketua Perolehan Pentagon Bill LaPlante berkata disebabkan sistem peperangan elektronik Russia bom-bom GLSDB gagal mengenai sasaran dengan tepat apabila ia dilancar oleh Ukraine untuk membedil sasaran musuhnya itu.

“Apabila anda menghantar sesuatu (sistem persenjataan) yang akan digunakan dalam peperangan hidup mati mereka tetapi gagal berfungsi, maka mereka (tentera Ukraine) akan membuang (sistem persenjataan) itu,” menurut LaPlante.

Boeing yang membangunkan sistem persenjataan itu, GLSDB itu hanya berkata bahawa ia akan bekerjasama dengan Pentagon untuk meningkatkan lagi prestasi sistem persenjataan canggih Amerika itu, yang menjadi satu lagi persenjataaan canggih yang gagal berfungsi akibat sistem peperangan elektronik Russia.

Ground-Launched Small Diameter Bomb (GLSDB)

 

Persenjataan GLSDB berkeupayaan membedil sasaran sejauh 144km, satu kali ganda jarak berbanding sistem Guided Multiple Launch Rocket System (GMRLS) yang dibekalkan kepada Ukraine untuk membedil pusat-pusat lojistik tentera Russia.

Peruntukan untuk membekalkan GLSDB kepada Ukraine telah diluluskan pada Februari 2023 dan Ukraine dilaporkan telah mula menggunakan senjata canggih itu pada Februari tahun ini.

Senjata GLSDB bergantung kepada sistem Global Positioning System (GPS) untuk membedil sasaran, selain menggunakan sistem Inertial Navigation. Setiap sebuah GLSDB dianggarkan bernilai US$40,000 (RM190,000).

Bagaimanapun GLSDB bukanlah sistem persenjataan canggih menggunakan GPS Barat yang pertama menjadi “mangsa” kepada sistem peperangan elektronik Russia.

Dalam satu keterangan kepada Kongres Amerika Syarikat pada Mac lalu, ia diberitahu bahawa tahap keberkesanan bidikan (targeting) bagi peluru artilleri “Excalibur” yang menggunakan GPS telah menurun daripada 70 peratus kepada hanya enam peratus di dalam tempoh beberapa bulan sahaja ia diperkenalkan di Ukraine disebabkan sistem peperangan elektronik Russia.

Peluru artilleri “Excalibur”

 

Menurut laporan media Barat pada April tahun lalu,  pihak tentera Amerika Syarikat telah membekalkan kira 3,000 peluru artilleri berketepatan tinggi “Excalibur” kepada tentera Ukraine untuk digunakan membedil sasaran Russia.

Setiap sebuah peluru artilleri Excalibur dianggar bernilai US$100,000 (RM450,000).

Malah stesen televisyen terkenal CNN dalam laporannya juga menyatakan bahawa sistem peperangan elektronik Russia telah menyebabkan sistem persenjataan GMRLS yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat tersasar jauh daripada sasaran bedilannya.

Sebutir peluru berpandu GMRLS dianggarkan bernilai US$160,000 (RM758,000).

Selain itu, laporan daripada tentera Ukraine dan pegawai Amerika juga menyatakan bahawa senjata JDAM (Joint Direct Attack Munitions) yang dibekalkan kepada Kiev juga mengalami masalah besar daripada segi bidikannya (targeting) apabila berhadapan dengan sistem peperangan elektronik Russia.

Guided Multiple Launch Rocket System (GMRLS)

 

Seorang penganalisis ketenteraan berkata, konflik Ukraine-Russia telah menonjolkan kemajuan teknologi persenjataan dikedua-dua belah pihak terutamanya Russia yang telah berjaya mengubah kedudukan di medan peperangan.

Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh pihak British Mei lalu, sistem peperangan elektronik Russia telah menyebabkan kira-kira 10,000 dron yang digunakan oleh tentera Ukraine gagal berfungsi.

Dalam satu lagi laporan oleh Royal United Services Institute, pihak tentera Russia secara strategiknya telah meletakkan sistem peperangan elektronik mereka 10km sepanjang 1,200km sempadannya dengan Ukraine pada konfliki ini.

Sistem-sistem peperangan elektronik Russia itu bertanggungjawab “menembak jatuh” dron-dron Ukraine itu.

Laporan rahsia oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (Pentagon) yang didedahkan kepada umum pada April tahun lepas telah menyatakan kebimbangan mereka berkenaan kegagalan bom-bom pintar (smart bombs) yang dibekalkan kepada tentera Ukraine dalam memusnahkan sasaran tentera Russia.

Sistem “Zhitel EW Russia

 

Pegawai-pegawai Pentagon mengesahkan kepada media negara itu bahawa bom-bom pintar yang dibekalkan oleh Washington kepada tentera Ukraine telah gagal mengenai sasarannya akibat “diganggu” (jamming) oleh sistem peperangan elektronik (Electronic Warfare – EW) tentera Russia.

Laporan rahsia Pentagon yang didedahkan kepada awam memberi contoh bagaimana pesawat-pesawat pejuang Ukraine telah menggugurkan sembilan buah bom pintar JDAM-ER tetapi empat daripadanya gagal menemui sasaran selepas signal GPS bom itu “diganggu” oleh peperangan elektronik tentera Russia.

Laporan itu menyatakan kadar bom-bom pintar itu mengenai sasarannya adalah amat rendah berbanding daripada apa yang dijangkakan mereka, membuktikan bahawa kesan sistem peperangan elektronik tentera Russia terhadap keberkesanan bom pintar dibekalkan oleh Amerika Syarikat itu adalah amat tinggi. — DSA

 

AmerikaEWfeaturedRussia
Comments (0)
Add Comment