Kedutaan Amerika Syarikat Kenang Pengorbanan Anggota Tentera Malaysia Di Somalia
Dalam operasi menyelamatkan anggota tentera Amerika Syarikat di Pasar Bakara, Somalia itu, seorang anggota tentera Malaysia, Allahyarham Lans Koperal Mat Aznan Awang, 33 tahun daripada Batalion ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanis telah terkorban.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur di dalam satu posting di dalam akaun Facebook miliknya hari ini mengingati pengorbanan yang dilakukan oleh anggota tentera Malaysia dalam satu operasi untuk menyelamatkan anggota tentera negara itu di Somalia kira-kira 28 tahun yang lalu.
Pada ketika itu, anggota tentera Malaysia bertugas di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di bawah operasi “United Nations Operations in Somalia II” atau UNOSOM II.
Dalam operasi untuk menyelamatkan anggota tentera Amerika Syarikat itu, seorang anggota tentera Malaysia, Allahyarham Lans Koperal Mat Aznan Awang, 33 tahun daripada Batalion ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanis telah terkorban.
“Pada hari ini kita mengingati Pertempuran Mogadishu dan kesemua 21 anggota tentera yang terbunuh ketika membantu operasi UNOSOM II.”
“Hero Malaysia Lans Koperal Mat Aznan Awang, anggota tentera daripada Batalion ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja adalah sebahagian daripada anggota tentera pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang membantu untuk menyelamatkan anggota tentera kami,” sebagaimana ditulis oleh kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur dalam posting FB itu.
Kedutaan Amerika Syarikat itu menyanjung tinggi pengorbanan yang dilakukan oleh rakan-rakan Malaysia mereka.
“We are forever grateful for the heroism of our Malaysian partners. (Kami selama-lamanya terhutang budi terhadap sikap heroisme oleh rakan-rakan (anggota tentera) Malaysia kita,” menurut kedutaan itu.
Dalam pertempuran yang berlaku di Pasar Bakara, Mogadishu, pada 3 Oktober 1993 itu, Allahyarham Mat Aznan dari Batalion 19 Rejimen Askar Melayu Diraja Malaysia (RAMD) Mekanis, mengendalikan kereta perisai RPZ Condor, dalam misi menyelamat 70 anggota tentera Rangers dan lima anggota Tentera Udara Amerika Syarikat, yang dikepung militia Panglima Perang Somalia Jeneral Mohamad Farah Aidid di Pasar Bakara.
Misi menyelamat itu dilakukan selepas dua buah helikopter Black Hawk tentera Amerika Syarikat ditembak jatuh oleh militia Farah Aidid di Pasar Bakara.
Menurut timbalan komander anggota tentera Malaysia di Somalia pada ketika itu Leftenan Kolonel Mohd Rozi Baharom (bersara sebagai Mejar Jen) dalam memoir yang diterbitkan pada 2011 menulis bahawa 51 pegawai dan 113 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion 19 RAMD Mekanis telah dikerah dengan segera untuk menyelamatkan anggota tentera Amerika yang terperangkap serta mengeluarkan mereka yang terbunuh.
Dalam operasi menyelamat anggota tentera Amerika itu, kereta perisai Malaysia dipandu Allahyarham ditembak dengan senjata antikereta kebal dari arah hadapan menembusi cermin kalis peluru sehingga mengenai bahagian bahunya.
Tembakan senjata anti-kereta kebal itu menyebabkan Mat Aznan maut, manakala sembilan anggota lain turut cedera.
Akhirnya, 18 anggota tentera Amerika dilaporkan terbunuh sementara 77 lain cedera dan enam yang lain disenaraikan sebagai Missing In Action (MIA).
Salah seorang daripada juruterbang helikopter itu, Kapten Mike Durant diheret keluar daripada helikopter Black Hawk dan diarak oleh militia Somalia itu.
Di pihak Somalia, panglima perang Farah Aidid melaporkan bahawa 315 orang terbunuh manakala 812 tercedera, bagaimanapun duta Amerika Syarikat Robert Oakley menganggarkan di antara 1,500 hingga 2,000 warga Somalia terbunuh, kebanyakkannya orang awam.
Anggota tentera Malaysia itu berjaya menyelamatkan 70 daripada 75 anggota tentera Amerika Syarikat yang terperangkap itu, tetapi peranan yang dimainkan oleh mereka serta keberanian tidak diiktiraf terutamanya di dalam filem Hollywood, “Black Hawk Down.”
Leftenan Jeneral Cevik Bir, komander UNOSOM II di Somalia telah menulis satu surat kepada Komander tentera Malaysia di Somalia Kolonel Abdul Latif Ahmad (bersara sebagai Brig Jen) berkata bahawa pengorbanan Mat Aznan adalah amat tinggi dan tidak boleh dilupakan. Keberanian dan pengorbanan beliau telah meletakkan aras bukan sahaja untuk misi di Somalia itu tetapi untuk misi-misi PBB pada masa depan.
Comments are closed.