Amerika Lupus Pesawat Pengebom B-2 Spirit Bernilai RM18 Billion, Enggan Perbaikinya
Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) memutuskan untuk tidak memperbaiki pesawat pengebom B-2 dan melupuskan pesawat bernilai US$4 billion itu (RM18 billion) itu kerana kos pembaikannya adalah tidak ekonomi dan bertindak untuk melupuskannya bagi menjimatkan wang.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) memutuskan untuk melupus sebuah pesawat pengebom B-2 Spirit dianggar bernilai US$4 bilion (RM19 bilion), selepas ia terpaksa melakukan pendaratan cemas di Pangkalan Udara Whiteman, Missouri pada tahun 2022.
Tentera Udara Amerika Syarikat memutuskan untuk tidak memperbaiki pesawat pengebom itu kerana kos pembaikannya adalah tidak ekonomi dan bertindak untuk melupuskannya bagi menjimatkan wang.
Dengan pelupusan sebuah pesawat pengebom B-2 Spirit itu, USAF kini hanya memiliki 18 buah pesawat pengebom strategik yang kerap kali digunakannya dalam konflik-konflik di serata dunia.
“Pesawat pengebom B-2 dilupuskan kerana kemalangan dialaminya adalah tidak ekonomi untuk diperbaiki,” menurut Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat dalam laporan tahunan penstrukturannya yang dikeluarkan.
Jurucakap USAF mengesahkan bahawa pesawat pengebom B-2 Spirit yang mengalami kemalangan di Pangkalan Udara Whiteman pada 2022 itu berhadapan masalah ketika berada di udara dan terpaksa melakukan pendaratan cemas dan mengalami kebakaran di mendarat itu.
Akibat daripada kejadian itu, USAF menggantung operasi keseluruhan pesawat-pesawat pengebom B-2 Spirit itu selama lima bulan.
Pada 2021, sebuah pesawat pengebom B-2 Spirit juga terpaksa melakukan pendaratan cemas akibat masalah teknikal.
Pesawat pengebom strategik B-2 Spririt itu dibangunkan oleh syarikat Northrop Grumman merupakan salah sebuah daripada tiga pesawat pengebom strategik yang dioperasi oleh Tentera Udara Amerika Syarikat.
Dua buah pesawat pengebom strategik Amerika Syarikat yang lain adalah Rockwell B-1 Lancer dan Boeing B-52 Stratofortress.
Pihak Tentera Udara Amerika Syarikat merancang untuk membina sebanyak 132 buah pesawat pengebom strategik B-2 Spirit, tetapi disebabkan pemotongan bajet ia hanya mampu membina sebanyak 20 buah pesawat pengebom itu.
USAF bercadang untuk menggantikan pesawat pengebom B-2 Spirit itu dengan pesawat pengebom terbaru mereka, dikenali dengan nama B-21 Raider yang sedang menjalani ujian-ujian penerbangan pada ketika ini.
Pesawat pengebom terbaru itu akan memasuki perkhidmatan USAF pada pertengahan dekad ini, dengan USAF dijangka akan membeli 100 buah pesawat pengebom B-21 untuk menggantikan pesawat-pesawat pengebom B-2 dan B-1B Lancer.
Pesawat pengebom B-21 merupakan pesawat pengebom pertama yang dibangunkan oleh Amerika Syarikat dalam tempoh 30 tahun sejak ia memperkenalkan pesawat pengebom B-2 Spirit pada 1988.
Pesawat B-21 berkemampuan membawa pelbagai senjata konvensional dan nuklear.
Tentera Udara Amerika Syarikat bercadang memiliki sehingga 100 buah pesawat pengebom B-21 itu, dengan program pembangunan pesawat pengebom itu yang menjangkau tempoh selama 30 tahun dijangka menelan belanja sebanyak US$203 bilion (RM812 bilion).
USAF mahu menamatkan perkhidmatan 932 buah pesawat kombat dioperasikannya di antara 2025 hingga 2029 bagi membolehkannya berjimat kira-kira US$18 bilion (RM85 billion).
Antara pesawat kombat yang akan ditamatkan perkhidmatannya adalah sebuah B-2 Spirit dan 251 buah pesawat lain pada 2025, 293 buah pesawat pada 2026, 235 pada 2027, 95 pada 2028 dan 64 pada 2029.
Tetapi tindakan USAF itu dibantah oleh Kongress Amerika Syarikat.
Dilengkapi dengan empat buah enjin turbofan General Electric F118-GE-100, pesawat pengebom itu boleh terbang selaju Mach 0.95 dan beroperasi sejauh 6,000 Batu Nautika tanpa ada keperluan untuk mengisi minyak.
Ia juga berkemampuan membawa 40,000 pound atau 18 tan senjata dan bom termasuk konvensional dan nuklear. — DSA
Comments are closed.