Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Amerika Kehilangan Dron MQ-9B Reaper Keenam di Timur Tengah

(VIDEO) Ia adalah dron MQ-9B Reaper milik tentera Amerika Syarikat yang keenam ditembak jatuh di Timur Tengah dan kelima oleh pejuang Houthi di Yemen sejak kebelakangan ini.

0 3,610

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Amerika Syarikat kehilangan sebuah lagi dron MQ-9B Reaper selepas dron berteknologi tinggi yang dianggarkan bernilai US$30 juta (US$141 juta) itu ditembak jatuh oleh pejuang-pejuang Houthi Yemen.

Ia adalah dron MQ-9B Reaper milik tentera Amerika Syarikat yang keenam ditembak jatuh di Timur Tengah dan kelima oleh pejuang Houthi di Yemen sejak kebelakangan ini.

Secara keseluruhannya, Amerika Syarikat telah kerugian US$180 juta (RM847 juta) dengan enam dron MQ-9B Reaper yang ditembak jatuh di Timur Tengah, lima daripadanya oleh pejuang Houthi di Yemen.

Tiga daripada dron itu dilaporkan ditembak jatuh pada bulan ini sahaja.

Video dan gambar-gambar bangkai dron MQ-9B Reaper keenam yang berjaya ditembak jatuh oleh pejuang Houthi telah bertebaran di media-media sosial pada ketika ini, menunjukkan pejuang Houthi yang hanya berselipar berdiri di atas bangkai dron itu.

Menurut laporan di media, dron keenam MQ-9B Reaper itu telah ditembak jatuh di kawasan Marib, Yemen.

Sementara itu terdapat juga laporan mengatakan bahawa dron itu telah membuat pendaratan cemas, berkemungkinan besar selepas diserang oleh sistem Peperangan Elektronik (EW) yang dimiliki oleh pejuang-pejuang Houthi.

Pada 18 Mei lepas, dron kelima MQ-9B Reaper milik tentera Amerika berjaya ditembak jatuh di kawasan pesisiran pantai di Marib, Yemen.

Jurucakap kumpulan Houthi Brig Jen Yahya Saree mengesahkan bahawa dron MQ-9B Reaper yang kelima itu telah ditembak jatuh juga di kawasan Marib menggunakan peluru berpandu darat-ke-udara.

Beliau menyifatkan dron MQ-9B Reaper Amerika itu telah menjalankan “tugas-tugas permusuhan” di dalam Wilayah Marib.

MQ-9 Reaper
Dron keenam MQ-9B Reaper yang ditembak jatuh.

 

Kumpulan bersenjata Houthi itu dipercayai menggunakan peluru berpandu canggih “Saqr 358” yang memiliki kombinasi kemampuan sebagai sebuah dron berani mati dan juga peluru berpandu anti-pesawat.

Peluru berpandu dwi-mod “Saqr 358” itu menggabungkan kemampuan sebagai dron berani mati dan juga peluru berpandu anti-pesawat dengan sasaran utama adalah dron-dron yang dioperasikan oleh musuh Iran di kawasan-kawasan konflik di Timur Tengah.

Dibangunkan oleh Iran, peluru berpandu canggih itu turut digunakan dengan berkesan oleh kumpulan-kumpulan proksi Iran di beberapa kawasan konflik di Timur Tengah seperti Houthi di Yemen dan beberapa kumpulan bersenjata lain di Iraq dan kini oleh Hezbollah di selatan  Lubnan.

Sejak 2020, kumpulan bersenjata Houthi telah mengeluarkan video menunjukkan penggunaan peluru berpandu “Saqr 358” sebagai peluru berpandu anti-pesawat dalam memusnahkan pesawat pejuang, helikopter dan dron-dron.

Tentera Amerika Syarikat menggunakan dron MQ-9 Reaper yang dibangunkan oleh syarikat General Atomics Aeronautical Systems (GASI) untuk tujuan memastikan kawasan perairan di pesisiran pantai Yemen itu selamat bagi digunakan oleh kapal-kapal komersial.

Houthi
MQ-9B Reaper
Saqr
Peluru berpandu”Saqr-358″

 

Dron canggih itu berkemampuan untuk terbang selama 27 jam tanpa henti dan setinggi 50,000 kaki serta membawa muatan seberat lebih daripada 1.7 tan termasuk sistem sensor dan elektronik yang sensitive.

Dron MQ-9 Reaper yang dioperasikan terutamanya untuk operasi dan misi Intelligence, Surveillance dan Reconnaisance (ISR) juga boleh dilengkapi dengan peluru berpandu “Hellfire”, GBU-12 Paveway II, GBU-38 Joint Direct Attack Munition (JDAM) untuk tujuan serangan.

Berdasarkan kepada data yang diperolehi pada 2021, tentera Amerika Syarikat (terutamanya Tentera Udara Amerika Syarikat – USAF) dilaporkan mengoperasikan sejumlah lebih daripada 300 buah dron-dron MQ-9 Reaper yang mula diperkenalkan kepada tentera Amerika Syarikat pada 2007.

Dron MQ-9 Reaper itu dijangka akan menamatkan perkhidmatannya pada tahun 2035. — DSA

Comments
Loading...