Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Amerika Bimbang Peningkatan “Kehadiran” Kapal Selam Russia, China di Perairan Pesisirnya

Komander Pemerintahan Utara Amerika Syarikat Jeneral Gregory Guillot berkata, mereka memerlukan peningkatan kemampuan untuk mengesan kehadiran kapal-kapal selam Russia dan China itu bagi membolehkan ia bersedia terhadap segala kemungkinan dan ancaman.

0 10,694
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pegawai kanan tentera Amerika Syarikat telah melahirkan kebimbangan mereka terhadap peningkatan trend kapal-kapal selam Russia dan China menghampiri kawasan perairan pesisirnya dan memohon peruntukan tambahan daripada kerajaan negara itu untuk meningkatkan kemampuan pengesanan kapal-kapal selam “musuh” itu.
Komander Pemerintahan Utara Amerika Syarikat Jeneral Gregory Guillot berkata, mereka memerlukan peningkatan kemampuan untuk mengesan kehadiran kapal-kapal selam Russia dan China itu bagi membolehkan ia bersedia terhadap segala kemungkinan dan ancaman.
“Trend kapal selam Russia dan China menghampiri perairan kita semakin meningkat, dan kita memerlukan keupayaan pengesanan bawah laut yang lebih luas bagi memastikan kita menyedari kehadiran mereka serta dapat bersiap siaga untuk mempertahankan negara daripada ancaman peluru berpandu kruis atau peluru berpandu ballistik yang dilancarkan dari kapal selam,” katanya kepada Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Senat Amerika Syarikat.
Menurut Guillot, bilangan kapal selam Russia dan China yang dikesan berhampiran pesisir pantai Amerika Syarikat, termasuk di perairan Alaska, serta penerbangan pesawat tentera Russia dan China di zon kawalan NORAD sebenarnya telah meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, walaupun konflik di Ukraine masih berlangsung.
NORAD ialah singkatan kepada North American Aerospace Defense Command, iaitu Pemerintahan Pertahanan Aeroangkasa Amerika Utara.
Ia merupakan kerjasama ketenteraan dua hala antara Amerika Syarikat dan Kanada yang bertanggungjawab untuk mengesan, memantau dan mempertahankan ruang udara benua Amerika Utara daripada sebarang ancaman udara dan peluru berpandu, termasuk serangan dari pesawat pengebom, peluru berpandu ballistik atau ancaman aeroangkasa lain.
NORAD juga memainkan peranan penting dalam amaran awal strategik serta kawalan operasi pertahanan udara di rantau tersebut.
China
Kapal selam nuklear China
Guillot sekali lagi menyifatkan kerjasama yang semakin erat antara Russia, China, Iran dan Korea Utara sebagai satu ancaman.
Dalam pada itu, kerajaan Russia dalam kenyataannya sebelum ini menegaskan bahawa pesawat tentera dan kapal selamnya menjalankan misi rondaan mengikut peraturan dan undang-undang antarabangsa yang ditetapkan.
Tahun lepas ketika memberi keterangan kepada jawatankuasa yang sama,  Guillot menggesa agar kehadiran tentera Amerika Syarikat dipertingkatkan melalui latihan ketenteraan di sepanjang pesisir pantai Alaska bagi mengekang peningkatan aktiviti ketenteraan China dan Russia di rantau Artik.
“Cara terbaik untuk kita mengekang mereka (Russia dan China) adalah dengan menunjukkan kehadiran kita sendiri. Oleh itu, pelaksanaan latihan dan rondaan dalam semua domain amat penting di sepanjang pesisir pantai kita, dengan fokus utama ketika ini di wilayah Alaska,” katanya.
Guillot mengambil alih jawatan sebagai ketua NORTHCOM dan NORAD daripada Jeneral Glen VanHerck pada 5 Februari tahun lepas.
Ketika memberikan keterangan kepada jawatankuasa yang sama tahun lepas, Guillot turut menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan ketenteraan China di zon Artik — dengan menjangkakan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) akan mula menghantar pesawat ke kawasan Zon Pengenalan Pertahanan Udara (ADIZ) Amerika Syarikat yang dipantau oleh NORAD bagi mengesan sebarang pesawat yang menghampiri ruang udara negara itu.
Yasen
Kapal selam kelas-Yasen
Sementara itu, Pengarah Russia Maritime Studies Institute (RMSI) Michael Peterson yang pakar berkenaan kemampuan maritim Russia juga dilaporkan berkata terdapat banyak petanda bahawa Russia telah meningkatkan kerahan kapal-kapal selam berkuasa nuklearnya ke kawasan perairan pesisir Amerika Syarikat.
Kerahan kapal-kapal selam konvensional dan berkuasa nuklear itu bukan sahaja disasarkan kepada kawasan-kawasan pesisir  Amerika Syarikat tetapi juga di Mediterranean dan juga di sekitar Eropah.
Apa yang dilakukan oleh Moscow pada ketika ini kata penyelidik itu,adalah sama sebagaimana dilakukan oleh Kesatuan Soviet ketika ketegangan pada zaman Perang Dingin.
Strategi Russia itu semakin jelas ketika Presiden Russia Vladimir Putin dan pucuk pimpinan tentera mentauliahkan beberapa aset tentera dasar lautnya termasuk kapal selam berkuasa nuklear terbarunya, Generalissimus Suvorov yang berkemampuan melancarkan peluru berpandu nuklear.
Menurut presiden Russia itu, negara itu akan membina lebih banyak kapal selam berkuasa nuklear bagi “memastikan keselamatan negara itu untuk berdekad akan datang.”
Sejak kejatuhan Kesatuan Soviet pada 1991, Russia tanpa penat dan lelah telah berusaha untuk memperkuatkan lagi armada kapal selam berkuasa nuklearnya.
Kelas Jin
Kapal selam nuklear Type 094 kelas-Jin milik China.
Di dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, Moscow telah membangunkan beberapa jenis kapal selam berkuasa nuklear yang mampu menyelam ke lokasi-lokasi strategik di Amerika Syarikat dan Eropah.
Dengan anggaran pemilikan 58 buah kapal selam berkuasa nuklear terdiri daripada beberapa kelas, aseet-aset dasar laut berkuasa nuklear Russia itu mampu dikerah ke mana-mana lokasi dunia termasuk ke perairan pesisir Amerika.
Tindakan tentera Russia mengerah kapal-kapal selam untuk membuat kemunculan di perairan pesisir Amerika itu dianggap sebagai tindakan mencabar komander-komander tentera laut Amerika Syarikat serta sedikit-sebanyak mengikis pengaruh ketenteraan Washington.
— DEFENCE SECURITY ASIA

 

 

Leave A Reply

Your email address will not be published.