Adakah Indonesia Bakal Menjadi Negara Asia Tenggara Kedua Peroleh Peluru Berpandu BrahMos ??
Sekiranya, Indonesia benar-benar memperolehi sistem peluru berpandu BrahMos sebagaimana dispekulasikan oleh media-media di India, maka ia akan menjadi negara Asia Tenggara yang kedua selepas Filipina untuk memperolehi sistem peluru berpandu itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Indonesia dilaporkan telah ditawarkan pinjaman sebanyak US$450 juta (RM2 billion) oleh India untuk membeli sistem peluru berpandu BrahMos yang dibangunkan oleh negara itu dan Russia.
Laporan media tempatan di India menyatakan bahawa pinjaman kepada Indonesia untuk membeli sistem peluru berpandu BrahMos itu sama ada ditawarkan oleh State Bank of India atau bank-bank India yang lain.
Pada mulanya, pinjaman kepada Indonesia itu sepatutnya disalurkan oleh Exim Bank India tetapi ia tidak menjadi kenyataan disebabkan beberapa isu.
Media-media tempatan India juga menyatakan bahawa pengumuman tentang perolehan sistem peluru berpandu BrahMos oleh Indonesia itu berkemungkinan akan dibuat pada 26 Januari ketika sambutan Hari Republik India di mana Presiden Indonesia Prabowo Subianti dijangka akan menjadi tetamu kehormat.
Kerajaan Indonesia sebagaimana dilaporkan oleh media-media di India, telah mengirimkan surat kepada kedutaan India di Jakarta untuk menyatakan minatnya terhadap tawaran pinjaman oleh New Delhi untuk membeli sistem peluru berpandu itu.
Sekiranya, Indonesia benar-benar memperolehi sistem peluru berpandu BrahMos sebagaimana dispekulasikan oleh media-media di India, maka ia akan menjadi negara Asia Tenggara yang kedua selepas Filipina untuk memperolehi sistem peluru berpandu itu.
Menurut akhbar Times of India, kedua-dua negara telah lama berbincang tentang perolehan sistem peluru berpandu BrahMos oleh Indonesia semenjak lawatan Prabowo ke New Delhi ketika beliau menjawat jawatan sebagai Menteri Pertahanan pada 2020.
Sistem peluru berpandu BrahMos merupakan usahasama di antara Defence Research and Development Organisation (DRDO) daripada India dan NPO Mashinostreyenia (NPOM) daripada Russia.
Peluru berpandu BrahMos adalah peluru berpandu supersonik kerana ia berkemampuan meluncur pada kelajuan 2.8-3 Mach sama ada dilancarkan oleh kapal perang, kenderaan pelancar bergerak atau pesawat pejuang.
Dengan kelajuan supersonic dan low-signature kepada radar musuh, BrahMos boleh membedil sasaran sejauh 290km, malah didalam varian extended-range jarak bedilan peluru berpandu itu telah dipertingkatkan kepada kira-kira 350km.
Payload peluru berpandu BrahMos pula adalah sekitar 300kg.
Peluru berpandu BrahMos adalah berdasarkan kepada peluru berpandu “Oniks” yang dibangunkan oleh Russia.
Russia mempunyai hubungan ketenteraan baik dengan India sejak berdekad lamanya.
Pada ketika ini, Filipina menjadi negara tunggal di Asia Tenggara yang memiliki sistem peluru berpandu BrahMos apabila ia menandatangani kontrak kontrak bernilai US$374 juta (RM1.5 bilion) awal tahun lepas dengan Brahmos Aerospace untuk memperolehi sistem peluru berpandu itu dalam varian sistem pelancar pesisir pantai.
Filipina merupakan pelanggan luar pertama memperolehi sistem peluru berpandu “BrahMos” hasil usahasama India dan Russia dalam varian lancaran darat, yang bakal ditempatkan di beberapa lokasi strategik negara itu di Laut China Selatan atau dipanggil Laut Filipina Barat (West Philippine Sea) oleh Manila.
Tiga bateri sistem peluru berpandu “BrahMos” yang diperolehi oleh Filipina itu dioperasikan oleh kor marin negara itu.
Setiap sistem peluru berpandu BrahMos itu terdiri daripada dua pelancar, sebuah radar dan pusat kawalan serta pemerintahan.
Dua buah peluru berpandu boleh dilancar dalam tempoh 10 saat sama ada daripada kapal selam, kapal perang, pesawat pejuang dan sistem lancaran darat.
Baru-baru ini, India dan Vietnam juga dikatakan semakin hampir untuk memeterai perjanjian perolehan sistem peluru berpandu BrahMos bernilai US$700 juta (RM3.14 billion), dengan kedua-dua pihak dilaporkan sedang memperincikan butiran perjanjian perolehan.
Perjanjian perolehan peluru berpandu BahMos oleh Vietnam itu dijangka dimeterai beberapa bulan akan datang, dan difahamkan butiran teknikal dan komersial awal telah dikongsi serta dibincangkan oleh Kementerian Pertahanan Vietnam.
Pesanan peluru berpandu BrahMos itu dijangka adalah untuk kegunaan Tentera Darat dan Tentera Laut Vietnam. — DSA