Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

TLDM Kerah Tiga Aset Tangani Pencerobohan Kapal-Kapal China

Aset ketiga TLDM itu akan membantu tugas-tugas pengawasan dua lagi buah aset TLDM yang telah dikerah lebih awal ke Beting Patinggi Ali dan Terumbu Layang-Layang.

0 18,209

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebanyak tiga buah aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah dikerah ke perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) milik negara di perairan Sabah dan Sarawak bagi menangani pencerobohan yang dilakukan oleh kapal-kapal penyelidik dan pengawal pantai China.

Panglima Armada Timur TLDM Laksamana Madya Datuk Sabri Zali yang mengesahkan perkara itu berkata, dua buah aset TLDM telah pun dikerahkan ke Beting Patinggi Ali dan perairan berhampiran Terumbu Layang-Layang untuk memantau kapal-kapal China itu.

“Kami (TLDM) telah mengerahkan kapal yang ketiga ke kawasan perairan terbabit, berikutan perkembangan terbaru melibatkan pencerobohan kapal-kapal asing itu.”

“Kapal ketiga itu adalah tambahan kepada dua lagi aset TLDM di Beting Patinggi Ali dan berhampiran terumbu Pulau Layang-Layang yang sentiasa diawasi 24 jam di sepanjang Laut China Selatan.”

— Panglima Armada Timur TLDM Laksamana Madya Datuk Sabri Zali.

Beliau berkata demikian selepas menutup Latihan Eksesais Operasi Laut (OSTEX) Timur di Sandakan.

TLDM
Kredit TLDM

 

Menurut Sabri, kehadiran kapal-kapal asing di perairan Malaysia bukanlah suatu perkara yang baru, terutama yang menjalin usaha sama dengan Brunei kerana mereka perlu melalui perairan Malaysia.

Bagaimanapun, daripada pemerhatian TLDM kata beliau, pergerakan kapal asing terbaru baru-baru ini adalah ‘lebih dari setakat lalu’ yang mendorong pihaknya untuk menghantar satu laporan dihantar kepada Kementerian Pertahanan yang kemudiannya turut dipanjangkan ke Wisma Putra.

Kenyataan Panglima Armada Timur TLDM itu dipercayai merujuk kepada sebuah kapal penyelidik China, “Da Yang Hao” yang dilaporkan menceroboh kawasan perairan pelantar benua dan ZEE Malaysia pada 24 September lepas, sehari selepas pesawat-pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Amerika Syarikat mengadakan latihan bersama di Selat Melaka.

Menurut laporan oleh pemerhati Laut China Selatan, @duandang, data daripada aplikasi penjejakan kapal (ship tracking data) menunjukkan kapal penyelidik itu memasuki perairan pelantar benua dan ZEE Malaysia sambil diiringi oleh sebuah kapal pengawal pantai China.

Mungkin ada lebih daripada satu kapal pengawal pantai China berhampiran atau kapal perang tentera laut negara itu.

“Selepas memasuki perairan Malaysia, kapal penyelidik Da Yang Hao dikesan belayar menuju ke kapal pengerudi (drillship) West Capella. Pada ketika ini, kedudukannya adalah kira-kira 50 batu nautika daripada West Capella,” menurut pemerhati dalam laporannya.

China
Kapal penyelidik, Da Yang Hao yang dilaporkan menceroboh perairan Malaysia. (gambar kredit @duandang)

 

Pada 24 Sept lalu, kapal Da Yang Hao dilaporkan sedang melakukan penyelidikan di perairan pelantar benua Vietnam selepas meninggalkan Fiery Cross Reef, sebelum, menukar laluan secara tiba-tiba dan menuju ke perairan Malaysia.

Ia adalah hari yang sama di mana pesawat-pesawat TUDM melaksanakan latihan bersama sebuah pesawat pengebom B-52 “Stratofortress” di Selat Melaka.

Pesawat-pesawat TUDM yang terlibat adalah F/A-18D Hornet, Sukhoi Su-30MKM dan Hawk 208 serta A400M.

Kapal penyelidik, Da Yang Hao mempunyai panjang 98 meter dan berat 4,800 tan.

“Dengan kelajuan 16 knot dan jarak sejauh 14,000 batu nautika, kapal Da Yang Hao memiliki kemampuan untuk melakukan eksplorasi laut dalam di mana-mana perairan dunia ini,” menurut laporan media China.

Kapal penyelidik, Da Yang Hao ini dimiliki oleh Kementerian Sumber Asli China.

Mengenai OSTEX Timur, Laksamana Sabri berkata latihan selama 10 hari itu yang bermula 27 September turut melibatkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), untuk meningkatkan kecekapan tentera laut dan bagi menguji keupayaan asetnya.

“Kebanyakan aset kami berusia lebih 40 tahun dan kami perlu mengujinya secara maksimum untuk melihat sama ada ia berkeupayaan tanpa mengalami kerosakan besar,” katanya.

Mengenai perkembangan pangkalan baharu Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) di sini, Sabri berkata TLDM masih menunggu pengambilalihan tanah seluas 2.2 hektar daripada kerajaan negeri.

tldm
Kredit TLDM

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...