Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Britain Laung Amaran Kepada China Jangan Halang Kapal-Kapal Perangnya

Amaran itu disuarakan oleh Menteri Pertahanannya Ben Wallace ketika berkunjung ke Jepun baru-baru ini.

0 5,026

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Britain memberi amaran kepada China supaya tidak menghalang pelayaran kapal-kapal perangnya ke perairan di Indo-Pasifik di bawah Carrier Strike Group 2021 (CSG2021) dan diketuai oleh kapal pengangkut pesawat terbarunya, HMS Queen Elizabeth.

Amaran itu disuarakan oleh Menteri Pertahanannya Ben Wallace ketika berkunjung ke Jepun baru-baru ini.

Beliau berkata, Britain mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan kebebasan pelayaran apabila CSG21 dan HMS Queen Elizabeth belayar di beberapa perairan dalam perjalannnya ke Jepun.

“Ia bukan sesuatu yang rahsia lagi bahawa China ‘shadow’ (memantau) dan mencabar mana-mana kapal yang transit di perairan antarabangsa dalam laluan pelayaran yang diperakui oleh pihak antarabangsa,” katanya kepada media di Tokyo.

Britain katanya menghormati China dan berharap supaya Beijing menghormatinya.

HMS Queen Elizabeth

“Kita akan belayar di mana-mana (perairan) yang dibenarkan oleh undang-undang antarabangsa,” katanya.

China mendakwa 90 peratus daripada Laut China Selatan itu adalah miliknya dan telah menghantar kapal-kapalnya sama ada pengawal pantai atau tentera laut untuk mencabar mana-mana kapal asing yang belayar dikawasan perairan yang didakwa sebagai miliknya.

Dakwaan China bahawa 90 peratus Laut China Selatan itu adalah milik tidak pernah diakui oleh masyarakat antarabangsa.

Pendapat Menteri Pertahanan Britain itu turut disokong oleh rakan sejawatannya daripada Jepun, Nabuo Kishi yang mengatakan pihaknya akan menentang sebarang cubaan untuk menukar status quo maritim rantau itu secara paksa.

Jepun dan Britain berkongsi komitmen untuk memastikan di Indo-Pasifik itu kekal bebas dan berdasarkan kepada undang-undang.

Pada ketika ini hampir kesemua kapal CSG21 termasuk HMS Queen Elizabeth sudah pun memasuki Selat Melaka, dalam perjalanan mereka ke Laut China Selatan dan seterusnya ke Jepun sebagai penamat kepada pelayaran ke Indo-Pasifik.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...