Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Poland Muncul Negara NATO Pertama Beli Dron “Bayraktar TB2” Buatan Turki

Keputusan Poland itu menyusul Ukraine yang membeli 48 buah dron Bayraktar TB2.

0 1,441

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Poland menjadi negara anggota NATO yang pertama membeli pesawat tanpa pemandu “Bayraktar TB2” yang dibangunkan oleh Turki, sebagaimana yang diumumkan oleh Menteri Pertahanan Poland Mariusz Blaszczak hari ini.

Keputusan Poland itu menyusul Ukraine yang membeli 48 buah dron Bayraktar TB2.

Menteri Pertahanan Poland itu membuat pengumuman tersebut ketika ditemuramah oleh sebuah stesen radio awam negara itu.

“Dron (Bayraktar TB2) itu mempunyai kemampuan menyerang dan telah terbukti kemampuannya dalam aksi di Eropah Timur,”katanya yang jelas merujuk kepada penggunaan dron terbabit oleh angkatan tentera Azerbaijan dalam konflik di Nagorno-Karabakh baru-baru ini.

Dron Bayraktar TB2 itu memainkan peranan yang penting dalam usaha Azerbaijan untuk membebaskan sebahagian besar daripada Nagorno-Karabakh daripada penaklukan Armenia.

Bayraktar

Ia dibangunkan oleh firma pertahanan Turki, Baykar dan pada ketika ini selain Turki, dron Bayraktar TB2 turut digunakan oleh Qatar, Ukraine dan Azerbaijan.

Admin berharap Angkatan Tentera Malaysia akan menyusuli dengan menjadi negara pertama di Asia Tenggara menjadi pengguna dron Bayraktar TB2 pada suatu masa nanti.

Poland dijangka menandatangani perjanjian pembelian dron Bayraktar TB2 itu ketika lawatan presiden negara itu Andrezj Duda ke Turki bermula Isnin depan ini.

Dron Bayraktar TB2 yang akan dibeli oleh Poland itu akan dilengkapi dengan peluru berpandu anti-kereta kebal selain pelbagai lagi sistem penderiaan dan sensor canggih.

Pakej pembelian oleh Poland itu akan turut meliputi latihan pengendalian.

Negara NATO itu selalunya memperolehi keperluan ketenteraan mereka daripada Amerika Syarikat, dengan tahun lepas sahaja negara Eropah itu membelanjakan US$4.7 billion untuk membeli senjata daripada negara Uncle Sam itu.

Keputusan Poland untuk membeli dron Bayraktar TB2 ini merupakan suatu kejayaan industri pertahanan Turki menembusi pasaran pertahanan negara-negara NATO yang selama ini dikuasai oleh firma-firma pertahanan Eropah dan Amerika Syarikat.

Ia juga memperkuatkan lagi imej Turki sebagai negara pengeluar dron terkemuka dunia.

Dron Bayraktar TB2 itu mampu untuk terbang setinggi 27,000 kaki dan selama lebih 24 jam, membawa lebih daripada 150kg persenjataan.

Ia juga berkemampuan beroperasi 24 jam sehari walau di dalam keadaan cuaca yang buruk.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...