Tentera Israel Tembak Mati 9 Penduduk Palestin Di Tebing Barat, Anggota Hezbollah Maut
Bilangan kematian itu disahkan oleh Pihak Berkuasa Palestin.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sekurang-kurang sembilan orang penduduk Palestin ditembak mati oleh anggota tentera Israel hari ini apabila keganasan merebak ke Tebing Barat bagi membantah keganasan Tel Aviv di Semenanjung Gaza.
Bilangan kematian itu disahkan oleh Pihak Berkuasa Palestin.
Penduduk Palestin itu yang hanya bersenjatakan batu terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Israel di beberapa lokasi di Palestin termasuk Nablus dan lain-lain bagi membantah apa yang berlaku terhadap saudara mereka di Gaza.
Pihak tentera Israel mengatakan kira-kira 3,000 penduduk Palestin mengadakan bantahan di beberapa tempat di Tebing Barat.
Presiden Palestin Mahmoud Abbas membantah kematian penduduk Palestin di Tebing Barat dan meminta dunia serta Amerika Syarikat menghentikan kekejaman Israel itu.
Pada hari ini juga, seorang pegawai kanan Amerika Syarikat tiba di Tel Aviv untuk mengadakan rundingan dengan Israel supaya menghentikan operasi tenteranya di Gaza.
Disempadan Israel-Lubnan pula, seorang warga Lubnan dikenali sebagai Mohammad Qassem Tahhan maut ditembao oleh tentera Israel selepas dia menceroboh pagar sempadan.
Mohammad Qassem menurut media Lubnan merupakan anggota simpanan Hezbollah.

Sementara itu Israel melaksanakan serangan udara paling ganas terhadap Gaza hari ini, menumpukan usaha mereka untuk memusnahkan terowong-terowong bawah tanah yang dipercayai digunakan oleh pejuang Palestin.
Tentera Israel mengatakan ia mengerah 160 pesawat pejuang untuk menjatuhkan kira-kira 80 tan bahan letupan terhadap kawasan-kawasan di Gaza yang dipercayai menempatkan terowong –terowong bawah tanah terbabit.
Comments are closed.