Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Tentera Israel Gusar Dengan Peluru Berpandu Anti-Kereta Kebal “Kornet” Pejuang Palestin

Ia selepas kejadian semalam di mana unit peluru berpandu anti kereta kebal Hamas berjaya melancarkan peluru berpandu “Kornet” terhadap satu kenderaan tentera Israel, menyebabkan seorang anggota tentera negara itu terbunuh manakala tiga yang lain cedera parah.

0 4,935

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Israel hari ini menumpukan perhatian terhadap usaha mengesan sel-sel peluru berpandu anti kereta kebal pejuang-pejuang Palestin yang dipercayai beroperasi di sempadan Israel-Semenanjung Gaza.

Ia selepas kejadian semalam di mana unit peluru berpandu anti kereta kebal Hamas berjaya melancarkan peluru berpandu “Kornet” terhadap satu kenderaan tentera Israel, menyebabkan seorang anggota tentera negara itu terbunuh manakala tiga yang lain cedera parah.

Anggota tentera Israel yang terkorban itu dikenali dengan nama Staff Sgt Omer Tabib, 21, daripada Nahal Brigade.

Hari ini tentera Israel mengumumkan ia berjaya memusnahkan empat sel peluru berpandu anti-kereta kebal milik pejuang-pejuang Palestin yang beroperasi di sepanjang sempadan Gaza dengan Israel.

Dalam salah satu operasi terbabit, ia berkata berjaya memusnahkan unit peluru berpandu anti kereta kebal pejuang Palestin bersama-bersama tiga sistem pelancar peluru berpandu itu.

Kornet

Mungkin juga operasi dipertingkatkan terhadap unit-unit peluru berpandu anti-kereta kebal Hamas dan pejuang Palestin yang lain adalah petanda jelas bahawa Israel berkemungkinan besar akan menghantar tentera daratnya bersama-sama ketumbukan armor masuk ke Semenanjung Gaza tidak lama lagi.

Israel mahu “soften the ground” sebelum tenteranya memulakan fasa operasi darat di Gaza.

Negara itu memerlukan operasi darat untuk mencapai kejayaan total dalam memusnahkan infrastruktur ketenteraan Hamas dan pejuang Palestin yang lain di Gaza, tetapi operasi darat amat berisiko dan boleh menjadi “perangkap” mengerikan bagi tentera Israel.

Sebab itulah tentera Israel amat berhati-hati sebelum menghantar tenteranya ke Gaza, apatah lagi, sebagaimana yang kita lihat, Hamas dan pejuang Palestin jauh amat bersedia berbanding konflik pada 2014.

Ok berbalik pada peluru berpandu anti-kereta kebal, menurut akhbar Israel, Jerusalem Post, peluru berpandu anti-kereta kebal “Kornet” yang dibangunkan oleh Russia itu adalah suatu ancaman kepada tentera Israel yang beroperasi di sepanjang sempadan Gaza-Israel.

Kornet

Dan beberapa kejadian sebelum ini membuktikan bahawa pejuang-pejuang Palestin sememangnya menggunakan peluru berpandu “Kornet” sebagai peluru berpandu anti-kereta kebal utama mereka dalam menentang pendudukan Israel.

Pada 5 Mei, 2019, peluru berpandu “Kornet” telah digunakan untuk memusnahkan sebuah kereta yang sedang menggunakan sebuah jalan di Route 34 berhampiran komuniti Erez.

Setahun sebelum ini pada 2018, sebuah bas membawa anggota tentera Israel di Kfar Aza menjadi sasaran peluru berpandu “Kornet”.

Malah pada hari pertama konflik terbaru ini, pejuang Palestin telah memusnahkan sebuah kenderaan awam dengan peluru berpandu “Kornet”. (gambar bawah)

Peluru berpandu anti-kereta kebal “Kornet” yang memiliki kemampuan untuk membedil sasaran sejauh 5.5km menurut akhbar Israel itu, adalah senjata yang amat berkesan dan menggerunkan bagi tentera Israel.

Pejuang-pejuang Hezbollah turut menggunakan peluru berpandu anti-kereta kebal “Kornet” dalam pertempurannya dengan kereta-kereta kebal Merkava Israel beberapa tahun lepas.

Tentera Israel mengetahui bahawa Hamas dan pejuang-pejuang Palestin lain memiliki stok peluru berpandu “Kornet” yang mencukupi untuk memberikan masalah kepada unit-unit tenteranya serta kereta kebal Merkava.

Menurut akhbar Jerusalem Post lagi,  berikutan kemampuannya membedil sasaran daripada jarak yang jauh (5.5km) peluru berpandu “Kornet” itu memberikan ancaman yang serius terhadap tentera Israel yang bertugas di sepanjang sempadan Gaza-Israel.

Pihak tentera Israel telah melakukan beberapa cara bagi mengurangkan ancaman unit-unit peluru berpandu anti-kereta kebal pejuang Palestin yang beroperasi di sempadan termasuk membersihkan kawasan itu daripada sebarang semak-samun, mendirikan tembok, pagar serta mengaplikasi teknologi scan selain meningkatkan pemantauan sama ada daripada darat atau udara.

Bagaimanapun, insiden semalam yang mengorbankan Staff Sgt Omer Tabib dan mengakibatkan tiga anggota tentera Israel lain parah telah menunjukkan bahawa unit-unit peluru berpandu anti kereta kebal Hamas dan pejuang-pejuang Palestin yang lain sentiasa berada di hadapan untuk mengatasi halangan dicipta Israel.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...