Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kakitangan Kedutaan Korea Utara Diarah Tinggalkan Malaysia Dalam Tempoh 48 Jam

Kakitangan diplomatik dan tanggungan Korea Utara perlu meninggalkan Malaysia dalam tempoh 48 jam.

0 5,184

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Malaysia mengarahkan kakitangan kedutaan Korea Utara dan tanggungan mereka di Kuala Lumpur supaya meninggalkan negara ini di dalam tempoh 48 jam bermula hari ini, sebagai reaksi terhadap keputusan Pyongyang memutuskan hubungan diplomatik dengan negara ini.

Arahan itu dinyatakan oleh Wisma Putra dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

KORUT

Wisma Putra menyatakan ia amat kesal dengan tindakan Pyongyang memutuskan hubungan dengan Kuala Lumpur.

“Malaysia mengecam keputusan itu yang disifatkan sebagai tidak wajar, tidak membina dan tidak menghormati hubungan baik sesame masyarakat antarabangsa,” kata kenyataan hari ini.

Awal hari ini, Pyongyang bertindak memutuskan hubungan dengan Malaysia berhubung tindakan mahkamah di Kuala Lumpur memerintahkan seorang warga Korea Utara diekstradisi ke Amerika Syarikat bagi menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram.

Pengumuman mengenai tindakan memutuskan hubungan dengan Malaysia itu dilakukan oleh agensi berita rasmi Korea Utara rasmi, KCNA.

Menurut agensi terbabit di dalam satu kenyataan,  Malaysia telah “melakukan jenayah yang tidak boleh dimaafkan dengan memaksa penghantaran pulang rakyatnya yang tidak bersalah ke Amerika Syarikat.”

Kementerian Luar Korea Utara dengan ini “mengumumkan hubungan dengan Malaysia telah putus secara keseluruhannya.”

Korea Utara

Kenyataan itu juga menyebut, tindakan Malaysian itu adalah sesuatu yang “hostile” dan dilakukan di atas tekanan daripada Amerika Syarikat.

Ia juga mengatakan dakwaan yang rakyatnya terlibat dalam aktiviti (pengubahan wang haram) yang di Singapura adalah fabrikasi  (tidak benar).

Seorang lelaki Korea Utara akan diekstradisi dari Malaysia untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram di Amerika Syarikat (AS) selepas gagal dalam rayuan terakhir untuk mencabar perintah ekstradisi terhadapnya.

Mun Chol Myong, yang tinggal di Asia Tenggara selama sedekad bersama keluarganya, ditangkap pada 2019 berikutan permohonan ekstradisi oleh Washington.

Beliau menafikan dakwaan FBI bahawa dirinya terbabit mengetuai kumpulan penjenayah yang melanggar sekatan dengan membekalkan barang terlarang ke Korea Utara dan mencuci dana haram melalui syarikat samaran.

Chol Myong mencabar perintah ekstradisi itu di mana peguamnya berhujah dalam prosiding rayuan bahawa dia tidak bersalah dan terperangkap di tengah-tengah ketegangan diplomatik di antara Washington dan Pyongyang.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya, dengan memutuskan semua syarat di bawah perjanjian ekstradisi antara AS dan Malaysia sudah dipenuhi.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...