Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Aktiviti Haram Korea Utara Berpusat Di Asia Tenggara?

Ekstradisi warga Korea Utara itu telah membuatkan Pyongyang berang dan bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia yang sedia terjalin sejak 1973.

0 3,394

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Awal pagi tadi, Korea Utara mengumumkan bahawa ia akan memutuskan hubungan dengan Malaysia bagi membantah tindakan mahkamah negara ini memerintahkan Mun Chol Myong supaya diekstradisi ke Amerika Syarikat atas kesalahan pengubahan wang haram.

Myong ditahan oleh polis pada 2019 dan selepas lebih setahun  perbicaraan di mahkamah, pada 9 Mac lalu beliau diperintah supaya diserahkan kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat.

KORUT

Ekstradisi warga Korea Utara itulah yang membuatkan Pyongyang berang dan bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia yang sedia terjalin sejak 1973.

Malaysia adalah diantara negara Asia Tenggara “yang paling mesra” dengan rejim di Korea Utara sehinggalah pembunuhan Kim Jong Nam, iaitu abang kepada pemimpin negara itu, Kim Jong Un di KLIA beberapa tahun lepas.

Jadi siapakah Mun Chol Myong ini?

Adakah beliau salah seorang daripada anggota perisikan Korea Utara, yang bekerja dalam bidang komersial terutamanya dalam memastikan Pyongyang berjaya memperolehi barangan keperluan walaupun ianya dilarang  oleh sekatan oleh PBB dan Amerika Syarikat?

Sememangnya, kemungkinan Myong adalah perisik Korea Utara itu adalah tinggi, sebab itulah Amerika Syarikat beria-ia mahu beliau diekstradisi ke Amerika Syarikat.

Sekatan ekonomi oleh PBB dan Amerika Syarikat telah merudumkan ekonomi Korea Utara dan untuk mengatasi kesan-kesan buruk daripada sekatan itu,  agen-agennya yang berteraburan di seluruh dunia mewujudkan syarikat-syarikat (front companies) bagi memastikan negara itu terus-menerus dapat berdagang dengan seluruh dunia.

Front companies milik Korea Utara ini membantu negara itu memperolehi tukaran wang asing yang amat berharga bagi kerajaannya.

Strategi sama juga digunakan untuk memastikan tentera dan industri pertahanan Korea Utara terus berkemampuan memperolehi pelbagai peralatan sensitif untuk digunakan oleh angkatan tenteranya.

Front companies ini juga digunakan untuk Korea Utara menjual senjata-senjata keluarannya bagi memastikan ia memperolehi tukaran wang asing.

Sebelum ditahan oleh polis pada 2019, warga Korea Utara itu, Mun Chol Myong telah tinggal di Malaysia selama 10 tahun bersama isteri dan anak-anaknya.

Daripada Malaysia, beliau sebagaimana didakwa  oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat telah terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram menerusi pelbagai syarikat dan menguruskan penghantaran barangan mewah daripada Singapura ke Korea Utara serta melanggar sekatan yang dikenakan terhadap negara itu.

Dalam afidavitnya di mahkamah, warga Korea Utara itu menafikan semua tuduhan itu dan menyifatkannya sebagai mangsa perintah ekstradisi yang bermotivasikan politik dan tekanan dunia supaya Pyongyang menghentikan program senjata nuklearnya.

Sebagaimana yang kita ketahui, Korea Utara memiliki rekod yang jelas dalam aktiviti pengubahan haram menggunakan syarikat-syarikat terutamanya di rantau Asia Tenggara termasuk di Malaysia.

KORUT

Menurut penganalisis, Jason Bartlett yang menulis di portal The Diplomat berkata, Korea Utara menjalankan pelbagai aktiviti di Malaysia daripada pembunuhan kepada perdagangan haram barangan yang dikenakan sekatan oleh badan dunia  serta jenayah-jenayah kewangan siber.

Dalam satu laporan oleh pakar-pakar PBB pada 2017 mendakwa sebuah syarikat berpengkalan di Malaysia, Glocom adalah sebuah front company kepada syarikat bernama Pan Systems Pyongyang yang menyokong penyebaran skim-skim kewangan rejim itu di luar negara.

Laporan itu dipanggil 2017 U.N. Panel of Experts report on North Korea.

Pihak tentera Amerika Syarikat dalam satu laporan juga menamakan Malaysia sebagai salah satu daripada lima negara termasuk China, Russia, India dan Belarus dimana aktiviti siber Korea Utara dijalankan.

Korea Utara mengenalpasti rantau Asia Tenggara sebagai kawasan di mana ia boleh memusatkan dan membangunakan operasi-operasi haramnya bagi membolehkan negara itu mengelakan daripada sekatan ekonomi yang dikenakan oleh PBB dan Amerika Syarikat.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

 

 

 

Comments
Loading...