Aung San Suu Kyi Minta Rakyat Myanmar Bangkit Tentang Rampasan Kuasa Tentera
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pemimpin Myanmar yang kini ditahan oleh pihak tentera negara itu, Aung San Suu Kyi meminta rakyat negara itu supaya tidak menerima rampasan kuasa oleh pihak tentera dan bangkit menentangnya.
Kenyataan Suu Kyi yang turut meminta rakyat negara itu mengadakan protes bagi menentang rampasan kuasa tentera itu telah dibuat menerusi akaun Facebook parti pimpinannya, National League for Democracy (NLD).
Sejak ditahan oleh pihak tentera awal pagi semalam bersama-sama pemimpin partinya itu termasuk presiden negara itu dan aktivis lain, pemimpin pro-demokrasi Myanmar itu yang juga penerima Nobel Peace Prize gagal dilihat di khalayak ramai.
Tentera Myanmar dibantu oleh kereta kebal, kereta perisai, helicopter bersenjata dan anggota polis melakukan rampasan kuasa dengan menahan pemimpin-pemimpin pro-demokrasi negara itu dan membatalkan sesi parlimen, memutuskan jalinan internet dan membatalkan penerbangan keluar masuk ke negara itu.
Selepas menahan presiden negara itu, tentera Myanmar yang dipanggil “Tatmadaw” telah menabalkan Naib Presiden Myint Swe yang juga merupakan seorang bekas jeneral sebagai presiden negara itu.
Selain itu, tentera Myanmar dibawah pemimpin tentera Jeneral Min Aung Hlaing mengumumkan darurat (pemerintahan tentera) selama setahun.
Pihak tentera Myanmar mendakwa pilihanraya negara itu yang berlangsung pada November lepas penuh dengan penipuan yang menyebabkan parti NLD dipimpin oleh Suu Kyi menang besar.
Pemimpin-pemimpin dunia termasuk daripada ASEAN menyeru supaya pemimpin tentera Myanmar menamatkan pemerintahan darurat itu dan menyerahkan kembali kuasa kepada rakyat negara itu.