Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Jenayah Perang Australia: Perang Melawan Keganasan atau Peluang Mengizinkan Keganasan Sendiri

0 646

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Baru-baru ini, kita telah dikejutkan dengan pengesahan bahawa terdapat anggota pasukan khas Australia yang telah melakukan jenayah perang dalam bentuk pembunuhan haram di Afghanistan.

Perbuatan-perbuatan ini telah dibongkarkan setelah perincian mengenai siasatan selama empat tahun ke atas jenayah perang Angkatan Pertahanan Australia di Afghanistan akhirnya dikeluarkan kepada umum.

Perang
Tentera Australia di Afghanistan. (gambar internet)

Siasatan ini merekodkan bahawa terdapat sekurang-kurangnya 23 insiden maut yang melibatkan 39 orang awam Afghanistan, termasuk kanak-kanak, telah terbunuh secara haram; dan melibatkan sekurang-kurangnya 25 tentera Australia dari Rejimen Perkhidmatan Udara Khas (SAS).

Laporan tersebut juga menggambarkan persekitaran di mana ‘blood lust’ (keinginan yang kuat sangat untuk bertindak kejam) dan ‘pembunuhan persaingan’ telah menjadi suatu norma, dan lebih mengejutkan lagi, satu proses yang dikenali sebagai ‘blooding’ telah dipraktikkan sebagai sebahagian dari “budaya pahlawan” di kalangan beberapa anggota pasukan khas Australia.

Perang
Tentera Australia di Afghanistan. (gambar internet)

Dalam perbuatan ini, menurut Angkatan Pertahanan Australia (ADF), yang telah melakukan siasatan ini, beberapa komander peronda, akan mengarahkan tentera baru untuk membunuh tahanan dan orang awam untuk merekodkan pembunuhan pertama mereka. Pembunuhan haram ini kemudiannya ditutup dengan bukti-bukti palsu seperti senjata atau radio yang diletakkan pada mayat sehingga kelihatan seperti orang itu dibunuh dalam peperangan.

Lebih menyedihkan, laporan itu turut menyebut askar membunuh seorang kanak-kanak berumur 6 tahun semasa serbuan di rumah, dan seorang banduan ditembak mati supaya dapat menjimatkan ruang dalam helikopter.

Menurut laporan itu, tidak ada satu pun dari 39 pembunuhan itu berlaku dalam pertempuran, dan mereka yang dibunuh bukan pejuang.

perang
Tentera Australia di Afghanistan. (gambar internet)

Mereka terus percaya bahawa mereka sedang berjuang untuk matlamat yang baik di Afghanistan, walaupun bukti-bukti jelas menunjukkan sebaliknya. Sementara pegawai-pegawai dan para pengulas Australia memberi alasan seperti seperti yang dilakukan sekutu-sekutu mereka seperti Amerika yang menyembunyikan bukti penyeksaan dan pembunuhan di penjara Abu Ghraib di Iraq.

Ini adalah bagaimana mereka mengaburi mata kita, dengan slogan hebat seperti “perang melawan keganasan”, namun apa yang dilakukan adalah menjadian orang awam sebagai “collateral damage” atau suspek pengganas, pejuang kebebasan dilabel pengganas dan pengganas digelar orang Islam. Manakala raksasa sebenar diangkat menjadi pahlawan.

perang
Kemusnahan akibat peperangan berterusan di Aghanistan. (gambar internet)

Kesan “perang melawan keganasan” telah menjadikan hidup manusia murah, mudah dibuang, dan tidak bernilai. Setakat ini, lebih dari setengah juta orang dibunuh di Afghanistan, Pakistan dan Iraq ketika dalam pertempuran, tetapi perincian mengenai pembunuhan mereka tidak disertai dalam mana-mana laporan.

Normalisasi keganasan yang dilakukan negara-negara Barat di tempat-tempat tertentu di seluruh dunia ini telah membuka ruang untuk amalan-amalan seperti “blooding” – pembunuhan tanpa belas kasihan terhadap orang awam dan tahanan sebagai pembunuhan pertama – untuk berkembang. Di sinilah pembunuhan orang-orang tanpa yang tidak bersenjata dijadikan ritual untuk menjadikan mereka seorang pahlawan. Di sinilah mereka, mabuk dengan khayalan fantasi mereka sendiri, datang untuk merasai diri mereka kebal dan tidak boleh tersentuh.

perang
Tentera Australia di Afghanistan. (gambar internet)

Bawa ke muka pengadilan

Bagi Pakar Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Azmi Hassan berpendapat mereka yang bersalah harus dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) bukan mengikut lunas undang-undang Australia.

“Biar pun kerajaan Australia telah memecat 25 anggota tentera yang terlibat dalam salah laku itu tetapi dalam hal ini, ICC harus memainkan peranan membawa mereka yang bersalah ini ke muka pengadilan peringkat atarabangsa agar nasib rakyat Afghanistan yang menjadi mangsa ini terbela.

“Tindak tanduk yang dilakukan tentera elit itu terhadap warga Afghanistan memperlihatkan nyawa masyarakat berkenaan tidak penting di mata mereka. Ini sesuatu yang menyedihkan dan disebabkan itu tindakan tegas perlu diambil segera oleh ICC,” katanya.

perang
Tentera Australia di Afghanistan. (gambar internet)

Jenayah perang di Afghanistan

Pasukan dari Amerika Syarikat dan United Kingdom, dua rakan sekutu Australia di Afghanistan, juga menghadapi tuduhan melakukan pembunuhan yang menyalahi undang-undang.

Menurut pendakwa tentera AS, sekumpulan askar Tentera Darat AS didapati bersalah menyasari orang awam Afghan untuk dibunuh mulai Januari 2010. Mereka kemudiannya mengambil trofi-trofi ngeri dalam bentuk tulang dari mayat orang Afghan.

Pada bulan November 2011, dalang dari kumpulan yang dipanggil ” skuad bunuh,” Staff Sgt. Calvin R. Gibbs, dijatuhi hukuman seumur hidup di penjara tentera dengan kelayakan pembebasan bersyarat dalam 10 tahun.

perang
Tentera Australia di Afghanistan. (gambar internet)

Koperal Jeremy Morlock yang dijangka memberi keterangan terhadap empat tertuduh lain, mengakui membunuh atau membantu membunuh tiga lelaki, dan menggunakan senjata Afghan yang diperolehi secara haram untuk membuat mangsa kelihatan seperti pejuang musuh.

perang
Koperal Jeremy Morlock (kredit internet)

Tahun lalu, Presiden AS Donald Trump mengampuni dua orang tentera AS yang telah berkhidmat di Afghanistan. Salah seorang daripada mereka didapati bersalah pada tahun 2013 kerana memerintahkan anak buahnya menembak tiga lelaki tidak bersenjata yang sedang menungang motosikal di Afghanistan.

Sementara itu, siasatan lain mengenai dakwaan pembunuhan haram oleh tentera Britain di Afghanistan, Operasi Northmoor, ditutup pada tahun 2017 tanpa sebarang tuduhan dikenakan.

Dalam kes yang berasingan, seorang British Royal Marine, disabitkan di mahkamah tentera kerana menembak tahanan Taliban yang tidak bersenjata pada tahun 2011 dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

Hukumannya kemudiannya dikurangkan dan pada tahun 2017 dia dibebaskan dari penjara setelah menjalani hukuman selama tiga tahun.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...