Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kerjasama M’sia-Singapura Dalam Bidang Pelancaran Roket

0 929

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Makmal Penyelidikan Bahan Tenaga Tinggi (Hemrel) yang diwujudkan hasil kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan MTC Engineering Sdn Bhd (MTC), membuktikan keupayaannya apabila terlibat dalam pelancaran empat roket ujian.

Ketua UiTM-MTC Hemrel Dr Zuraidah Salleh berkata selepas melancarkan tiga roket pada 21 Sept lalu, pihaknya sekali lagi dipilih untuk pelancaran roket ‘demonstrator’ altitud rendah (LAD) berkuasa hibrid berukuran 1.5 meter, ciptaan Equatorial Space System (ESS), sebuah syarikat dari Singapura.

Roket
Roket LAD yang boleh terbang altitud setinggi 1.5km.

Katanya UiTM-MTC Hemrel memberikan sokongan operasi kepada ESS dengan menyediakan peralatan, ruang kerja dan tapak pelancaran yang diperlukan di Felcra, Seberang Perak, di sini.

“Kerjasama tersebut dapat dilihat sebagai batu loncatan dalam membina kerjasama lain yang lebih besar, terutama dalam pengembangan teknologi roket dan ruang angkasa, kemudahan serta sumber daya manusia. Penglibatan universiti dan syarikat tempatan dengan ESS juga akan membuka jalan untuk lebih banyak peluang pekerjaan, bagi aktiviti ekonomi bernilai tinggi,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran LAD di Felcra Seberang Perak, hari ini.

Roket
Gambar kredit Facebook High Energy Material Research Laboratory (HEMREL)

Pengurus Besar MTC Leftenan Kolonel (B) Ir Mohammad Juani Sujana berkata kerjasama antara pihaknya bersama UiTM, secara tidak langsung dapat mewujudkan pertukaran teknologi, persefahaman dan ilmu yang penting untuk masa akan datang.

“Pelancaran roket LAD ini berupaya menghasilkan sistem roket motor yang selamat digunakan dan pengujiannya berjaya dilaksanakan. Diharapkan, pada masa akan datang lebih banyak aktiviti bersama ESS,” katanya.

Roket
Gambar kredit Facebook High Energy Material Research Laboratory (HEMREL)

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas ESS Simon Gwozdz berkata beliau yakin Malaysia mampu menjadi hab pelancaran roket susulan kejayaan pelancaran roket LAD pada hari ini.

“Saya tidak nampak kenapa Asia Tenggara tidak boleh menjadi hub perniagaan pelancaran roket dan Malaysia adalah negara yang berpotensi. Sinergi yang ada adalah menakjubkan dan kami tentunya akan datang kembali,” katanya.

— BERNAMA

 

Comments
Loading...