Algeria Bakal Pengguna Pertama Pesawat Pejuang Gen-5 Russia Su-57E ???
Walaupun identiti pembeli masih dirahsiakan, terdapat spekulasi bahawa Algeria akan menjadi pelanggan eksport pertama pesawat pejuang generasi kelima buatan Russia, Su-57E "Felon".
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Ketika pameran aeroangkasa Airshow 2024 yang baru sahaja berakhir di Zhuhai, China, Russia telah mengumumkan kontrak pertama bagi Su-57E Felon, varian eksport pesawat pejuang generasi kelima yang dibangunkan oleh firma pembuat pesawat Sukhoi.
Pengumuman itu dibuat oleh Alexander Mikheev, Ketua Pegawai Eksekutif Rosoboronexport, agensi eksport senjata milik kerajaan Russia,namun beliau enggan mendedahkan identiti negara luar pertama yang membeli pesawat pejuang generasi kelima keluaran Russia itu.
“Kita telah menandatangani kontrak (penjualan kepada pelanggan asing) yang pertama,” katanya dan menambah bahawa minat terhadap pesawat pejuang generasi kelima buatan Russia itu adalah tinggi.
Mikheev juga berkata bahawa pengalaman kombat yang dilalui oleh varian eksport pesawat pejuang Su-57E telah melayakkannya untuk dikategorikan sebagai pesawat pejuang generasi kelima.
“Su-57E memenuhi segala keperluan sebagai pesawat pejuang generasi kelima. Kelebihan kompetitifnya yang utama adalah pengalaman kombat sebenar.”
“Kementerian Pertahanan Russia menyatakan bahawa ia telah beraksi dengan cukup baik dalam kombat. Pesawat pejuang itu adalah sistem persenjataan yang berkuasa tinggi dengan peluru berpandu terkini serta high survivability menerusi aspek low signature dan sistem pertahanan dalaman yang moden,” katanya.
Walaupun identiti pembeli masih dirahsiakan, terdapat spekulasi bahawa Algeria akan menjadi pelanggan eksport pertama.
Jumlah pesawat yang terlibat belum diketahui, namun pada tahun 2019 semasa lawatan delegasi tentera Algeria ke Pameran Penerbangan dan Angkasa Antarabangsa Moscow (MAKS), dilaporkan bahawa Algeria akan memperoleh 14 pesawat pejuang Su-57 itu.
Pada September 2020, Algeria dinamakan sebagai pelanggan eksport pertama, dan pada November 2020 dilaporkan bahawa kontrak telah ditandatangani.
Mengikut laporan awal, penghantaran pertama 14 pesawat pejuang Su-57 itu dijangka bermula selepas tahun 2025 sehingga 2027.
Secara tradisinya, Algeria merupakan antara pelanggan utama bagi produk-produk pertahanan Russia, bertujuan bagi mengekalkan keseimbangan kuasa tenteranya di rantau Afrika Utara itu.
Tentera Udara Algeria kini mengoperasikan pelbagai pesawat buatan Rusia, termasuk Su-30MKA, MiG-29, dan jet serangan Su-24.
Sejarah kerjasama ini mengukuhkan reputasi Algeria sebagai rakan utama dalam strategi eksport pertahanan Moscow, menjadikannya pilihan logik untuk memperkenalkan Su-57 ke pasaran antarabangsa.
Sepanjang dekad lalu, hubungan pertahanan antara Algeria dan Rusia telah berkembang pesat, didorong oleh tumpuan strategik Algeria untuk menaik taraf keupayaan ketenteraannya dan mempelbagaikan sumber persenjataanya dengan sistem terkini.
Antara tahun 2010 dan 2020, Algeria menandatangani kontrak besar untuk platform canggih seperti Su-30MKA dan pejuang MiG-29M/M2, serta kereta kebal utama T-90S yang telah dipertingkatkan.
Russia juga membekalkan Algeria dengan sistem pertahanan udara yang canggih, termasuk S-300PMU-2 dan, baru-baru ini, S-400 Triumf, yang menekankan kepentingan kerjasama mereka.
Perjanjian ini mencerminkan kebergantungan Algeria terhadap kepakaran Russia untuk mengimbangi aset yang dibekalkan NATO di rantau tersebut.
Buat pertama kalinya, Russia telah menampilkan varian eksport Su-57E dan senjata dibawanya pada Airshow China 2024 di Zhuhai.
Varian Su-57E turut mengadakan penerbangan demonstrasi pada pameran udara di Zhuhai itu dan ia adalah berdasarkan kepada Su-57 Felon.
Kehadiran varian eksport Su-57E di Airshow China, Zhuhai menunjukkan komitmen Russia mahu menarik perhatian pihak-pihak yang berminat untuk memperolehi pesawat pejuang Su-57 sebagai pesawat pejuang generasi kelima mereka.
Dengan maximum takeoff weight (MTOW) seberat 34,000 kg dan jarak operasi sehingga 7,800 km dengan in-flight refueling, pesawat pejuang Su-57E direkabentuk untuk ketahanan dan versatility.
Ia dilengkapi dengan dua enjin, setiap satunya menjana 14,500 kgf kuasa tujahan (thrust) dan boleh mencapai kelajuan maksimum 1,350 km/h di “near-ground level”.
Pesawat pejuang itu dikategorikan sebagai “supermaneuverability” dan kemampuan supersonik untuk memenuhi keperluan pelbagai misi operator-operator di luar negara.
Pesawat pejuang Su-57 merupakan pesawat pejuang generasi kelima yang direkabentuk untuk memusnahkan kesemua sasaran udara, daratan dan perairan selain memantau ruang udara daripada pangkalannya dan lain-lain.
Ia berkeupayaan membawa muatan persenjataan mencecah 10 tan. — DSA