Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kilang Senjata Milik Jerman di Ukraine Adalah “Sasaran Sah” Bagi Tentera Russia

Kilang-kilang senjata di Ukraine yang dibina oleh syarikat pertahanan Jerman, Rheinmetall merupakan “sasaran yang sah” oleh pihak tentera Russia, menurut jurucakap kerajaan Russia Dmitry Peskov.

0 6,518
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Kilang-kilang senjata di Ukraine yang dibina oleh syarikat pertahanan Jerman, Rheinmetall merupakan “sasaran yang sah” oleh pihak tentera Russia, menurut jurucakap kerajaan Russia Dmitry Peskov.
Ketika ditanya sama ada kilang yang baru dibuka oleh syarikat pertahanan Jerman di Ukraine adalah sasaran yang sah oleh pihak tentera Russia, beliau yang dikenali sebagai individu yang rapat dengan Presiden Vladimir Putin menjawab “sudah semestinya.”
Agensi berita Russia, TASS memetik beliau berkata demikian.
Syarikat pertahanan Jerman merancang untuk membuka empat buah kilang senjata di dalam Ukraine, yang menghasilkan peluru artilleri, belerang untuk senjata dan juga peluru-peluru untuk sistem pertahanan udara.
Produk-produk kilang senjata milik syarikat pertahanan Jerman itu adalah untuk dibekalkan kepada tentera Ukraine.

Leopard

Selain itu ia juga merancang untuk membuka kemudahan-kemudahan di dalam Ukraine untuk memperbaiki dan menyelenggara kereta-kereta perisai dan kereta kebal terutamanya Leopard yang dihasilkan oleh Jerman.
Kilang terbaru milik syarikat Jerman itu baru sahaja dirasmikan pada Oktober lepas, bertujuan untuk memulakan kerja-kerja membuat kenderaan kombat “Lynx”.
 Jerman merupakan antara negara penyumbang senjata paling utama kepada Ukraine, di belakang Amerika Syarikat.
Syarikat pertahanan Jerman itu yang didakwa oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Armin Paperger sebagai syarikat pertahanan paling menguntungkan di dunia – telahpun menyumbang kira-kira 200 buah kenderaan perisai kombat (Infantry Combat Vehicles) kepada Ukraine.
Selain itu kerajaan Jerman juga telah mendermakan sistem pertahanan udara kepada Ukraine bertujuan untuk membantu Kiev menangani serangan udara pihak Russia, bersama-sama peluru-peluru artilleri.

Ukraine

Ketua Pegawai Eksekutif Rheinmetall itu memberikan alasan bahawa syarikat perlu melabur untuk membina kilang-kilang di Ukraine bagi membantu Ukraine mendapatkan bekalan 4 juta peluru meriam yang diperlukannya bagi menangani serangan daripada tentera Russia.
Paperger juga berkata bahawa ia bukanlah ancaman yang pertama diterimanya daripada Russia kerana ia telah berlaku sebelum ini.
Menurutnya, pihak telah meningkatkan keselamatan di kilang dan kemudahan miliknya di Ukraine bagi menangkis sebarang ancaman daripada pihak Russia.
Pada pertengahan tahun ini,terdapat laporan mendakwa bahawa ejen-ejen Russia bercadang mahu membunuh Paperger, tetapi usaha itu dapat dipatahkan oleh pihak perisikan Amerika Syarikat dan Jerman. — DSA

 

Comments
Loading...