Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

KD Pendekar Berjaya Diapungkan – TLDM

Pada 25 Ogos lepas, TLDM mengesahkan KD Pendekar mengalami kebocoran dan kebanjiran ketika sedang melaksanakan tugasan dipercayai akibat pelanggaran dengan objek bawah air,di posisi dua batu nautika di Tenggara dari Tanjung Penyusop, Johor

0 3,557
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam satu kenyataan pada malam mini menyatakan bahawa KD Pendekar telah berjaya diapungkan kembali pada jam 1638H, 12 Oktober 2024.
Kapal kini sedang menjalani pembaikan awalan sebelum diserahkan kembali kepada TLDM.
“Operasi salvage KD Pendekar pada dasarnya telah dapat diselesaikan walaupun terdapat beberapa cabaran.”
“Lokasi di mana kapal tersebut karam kini disahkan selamat dan tiada tinggalan peluru atau bahan letupan yang boleh mengancam keselamatan komuniti maritim khususnya yang sering menggunakan perairan tersebut,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Komunikasi Strategik Markas TLDM.
Ia berkata, masa hadapan kapal yang berusia lebih 45 tahun tersebut akan diputuskan bersekali dengan rancangan “Phasing In – Phasing Out” kapal-kapal usang yang masih di dalam perkhidmatan secara menyeluruh selaras dengan Penjajaran Pelan Transformasi TLDM 15 to 5.
KD Pendekar
KD Pendekar (kredit Media Sosial)
Punca dan faktor-faktor terlibat yang membawa kepada insiden tenggelamnya KD PENDEKAR masih sedang disiasat oleh Lembaga Siasatan.
Pada 25 Ogos lepas, TLDM mengesahkan KD Pendekar mengalami kebocoran dan kebanjiran ketika sedang melaksanakan tugasan dipercayai akibat pelanggaran dengan objek bawah air.
Ia mula dikesan di bilik jentera kapal sebelum merebak dengan cepat dan tidak terkawal namun semua 39 kru berjaya diselamatkan selepas usaha untuk mengawal kebocoran serta menstabilkan kapal tidak berjaya.
Seorang penyelam ranjau TLDM dari Markas Selam dan Peperangan Periuk Api (MSPPA) telah meninggal dunia ketika membuat selaman dalam operasi salvaj KD Pendekar.
Penyelam ranjau TLDM yang maut itu dikenali sebagai Laskar Kelas (LK) I PLM Arman San bin Hermansa.
Lembaga Siasatan Khas telah ditubuhkan bagi mengenalpasti punca kejadian.
KD Pendekar
KD Pendekar
Kapal serang laju milik TLDM berusia 45 tahun, KD Pendekar telah tenggelam sepenuhnya di posisi dua batu nautika di Tenggara dari Tanjung Penyusop, Johor pada jam 3.54 petang.
Kebocoran tersebut menurut TLDM, dipercayai berpunca apabila kapal perang berusia 45 tahun itu terlanggar objek bawah air.
“Kebocoran yang mula dikesan di Bilik Jentera kapal telah merebak dengan cepat dan tidak terkawal.
“Kesemua kru berjaya diselamatkan setelah usaha untuk mengawal kebocoran serta menstabilkan kapal tidak berjaya,” menurut kenyataan TLDM.
TLDM akan menubuhkan lembaga siasatan khas dengan kadar segera bagi mengenalpasti punca kejadian dan pada masa yang sama merakamkan jutaan terima kasih kepada agensi-agensi yang terlibat atas tindakan pantas memberi bantuan terhadap insiden.
Kapal KD Pendekar dengan nombor penant-nya 3513 telah ditauliahkan ke dalam perkhidmatan TLDM pada 21 Ogos 1979, sekaligus menjadikan kapal serang laju itu berusia 45 tahun pada tahun ini. — DSA

Comments
Loading...