Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Amaran Terakhir Terhadap Kontraktor Bekal Empat Helikopter Black Hawk Pada Tentera Darat

Sekiranya, kontraktor tempatan itu gagal menghantar helikopter Black Hawk  berkenaan itu kepada Tentera Darat menjelang Oktober ini, maka, kontrak itu akan dibatalkan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagaimana dipetik oleh agensi berita nasional, Bernama hari ini.

0 5,490

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Pertahanan (MINDEF) memberi amaran terakhir kepada kontraktor  tempatan yang sepatutnya menghantar empat buah helikopter sewaan UH-60A Black Hawk kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bahawa mereka hanya ada sehingga Oktober ini untuk menghantar helikopter terbabit atau berdepan tindakan.

Sekiranya, kontraktor tempatan itu gagal menghantar helikopter Black Hawk  berkenaan itu kepada Tentera Darat menjelang Oktober ini, maka, kontrak itu akan dibatalkan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagaimana dipetik oleh agensi berita nasional, Bernama hari ini.

Kita beri masa sampai Oktober untuk penghantaran. Jika tiada penghantaran, akan batal (kontrak pembekal),” katanya kepada pemberita di Kota Tinggi hari ini.

Kementerian Pertahanan menurutnya, masih belum membuat perancangan lanjut sekiranya kontrak perolehan perkhidmatan sewaan empat helikopter itu dibatalkan.

“Perancangan lain akan dibuat selepas pembatalan,” katanya.

Black Hawk
Helikopter Black Hawk dengan kemudahan ESSS bagi membawa peluru berpandu Hellfire.

 

Kementerian Pertahanan telah menandatangani kontrak penyewaan empat buah helikopter Black Hawk pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ‘23) yang pada Mei lepas.

Kontrak penyewaan helikopter itu telah ditandatangani dengan syarikat tempatan, Aerotree Defence & Services Sdn Bhd bernilai RM187 juta.

Penyewaan empat buah helikopter itu dikatakan untuk tempoh selama lima tahun.

Keempat-empat helikopter itu akan berfungsi sebagai pletfom kepada Tim Nukleus Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) sebagai latihan dan tugasan penerbangan operasi.

TDM telah menghantar juruterbang ke Turkiye untuk menjalani latihan simulator helikopter Black Hawk.

Pada 16 Julai lalu, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dilaporkan berkata Aerotree Defence and Services memaklumkan peperangan berlarutan di Ukraine menjadi antara punca kelewatan perolehan perkhidmatan sewaan helikopter berkenaan.

Manakala pada awal bulan lepas, Menteri Pertahanan dilaporkan berkata kementeriannya sudah mendapat maklum balas daripada Pejabat Peguam Negara (AGC) berhubung cadangan pembatalan kontrak sewaan helikopter Black Hawk untuk tentera darat.

Khaled
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

 

Helikopter UH-60A Black Hawk berkemampuan untuk membawa 11 hingga 20 orang anggota tentera lengkap bersenjata serta seorang juruterbang, pembantu juruterbang dan seorang krew.

Model ‘A’ bagi helikopter Black Hawk itu berfungsi sebagai utiliti, serangan (air assault), medevac, command and control dan pemantauan.

Helikopter UH-60A Black Hawk dilengkapi dengan dua enjin General Electric T700-GE-701 turboshaft dan dengan tangki minyak boleh menampung 450 gelen membolehkan ia terbang sejauh 1,200 batu nautika.

Helikopter terbabit juga boleh dilengkapi dengan apa yang dipanggil sebagai “External Stores Support System” (ESSS) yang seakan-akan seperti “sayapnya.”

Dengan ESSS, helikopter UH-60A Black Hawk itu boleh membawa sehingga 16 buah peluru berpandu “Hellfire” dan membawa 16 buah peluru berpandu itu di dalam pesawat itu,sekaligus membolehkan ia ESSS itu diisi semula dengan Hellfire ketika ditengah-tengah misi.

Selain peluru berpandu dipasang di peralatan ESSS, helikopter itu juga boleh dilengkapkan dengan mesingan. — DSA

Comments
Loading...