Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Menteri Pertahanan Akan Ke Korea Selatan Bulan Depan. Lagi Banyak Perolehan Bakal Menyusul?

Sudah pasti, fokus lawatan Menteri Pertahanan ke Korea Selatan bulan depan itu akan menjuruskan kepada topik mempereratkan lagi hubungan pertahanan, bukan sahaja di antara kerajaan dengan kerajaan tetapi juga syarikat-syarikat industri pertahanan kedua-dua negara.

0 1,745

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kerjasama lebih erat di antara Malaysia dan Korea Selatan akan menjadi tumpuan apabila Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melawat negara Asia Timur bermula pada 8 Sept hingga 13 Sept depan.

Sudah pasti, fokus lawatan Menteri Pertahanan ke Korea Selatan bulan depan itu akan menjuruskan kepada topik mempereratkan lagi hubungan pertahanan, bukan sahaja di antara kerajaan dengan kerajaan tetapi juga syarikat-syarikat industri pertahanan kedua-dua negara.

Setakat ini tidak banyak maklumat yang diperolehi tentang jadual lawatan Mohamed Khaled ke Korea Selatan pada bulan depan itu, tetapi apa yang pasti adalah beliau akan melawat Korea Aerospace Industries (KAI).

Lawatan ke KAI itu bakal menjadi highlight kepada lawatan kerja rasmi Menteri Pertahanan ke Korea Selatan, memandangkan “pelaburan besar” yang dibuat negara kepada KAI dalam usaha meningkatkan kemampuan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Defence Security Asia difahamkan bahawa ada beberapa lagi “pelaburan besar” di dalam sektor pertahanan sedang dicadangkan pada ketika ini membabitkan syarikat-syarikat pertahanan Malaysia dan Korea Selatan.

Khaled
Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin

 

Maklumat tentang “pelaburan besar” akan dikeluarkan apabila sudah mendapat clearance, tetapi apa yang sudah pasti, jika ia menjadi realiti maka sememangnya hubungan pertahanan di Malaysia dan Korea Selatan itu bakal diangkat ke suatu tahap yang lebih tinggi selepas ini.

Pada tahun lepas, Kementerian Pertahanan telah menandatangani kontrak dengan KAI bagi perolehan 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20 yang dianggarkan bernilai kira-kira RM4 billion.

Malaysia dijangka mula menerima kumpulan pertama pesawat FA-50 Block 20 pada akhir tahun 2026.

Pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20 atau secara rasminya diberikan nama FA-50M (Malaysia) itu adalah varian paling berkemampuan dan berkeupayaan dalam keluarga FA-50 yang turut digunakan oleh beberapa negara lain.

Hanya Poland sahaja memiliki varian FA-50 Block 20 itu.

Selain FA-50 Block 20, KAI juga dilaporkan sedang berusaha supaya Malaysia memperoleh 18 buah lagi pesawat pejuang ringan itu, bagi menjadikan keseluruhan pesawat yang dimiliki oleh TUDM itu kepada 36 buah.

FA-50
FA-50 (File picture)

 

KAI menerusi pegawai-pegawai kanannya juga telah beberapa kali menyatakan hasratnya untuk menarik perhatian Malaysia supaya memilih pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21 “Boramae” bagi menggantikan pesawat-pesawat MRCA sedia adanya pada ketika ini, F/A-18D Hornet dan Sukhoi Su-30MKM.

TUDM merancangkan menamatkan perkhidmatan pesawat-pesawat F/A-18D dan Su-30MKM itu pada 2035 dan 2040.

Sudah pasti KAI akan melakukan “pitch” berkenaan tambahan pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20 dan KF-21 “Boramae” kepada Menteri Pertahanan Malaysia itu ketika beliau melawat dan mengadakan perbincangan dengan pengurusan kanan KAI itu kelak.

Baru-baru ini juga, syarikat Korea Selatan, Hanwha Aerospace dan rakan tempatan mereka, Cendana Auto telah menandatangani Memorandum Perjanjian baru-baru ini untuk menaiktaraf kenderaan perisai berantai (tracked) K200 MIFV (Malaysia Infantry Fighting Vehicle) milik Tentera Darat Malaysia.

Syarikat Hanwha Aerospace telah mengesahkan kepada portal pertahanan antarabangsa, Janes pada 9 Ogos lalu bahawa kedua-dua syarikat akan membangunkan kenderaan prototaip K200 MIFV yang dinaiktaraf untuk tujuan ujian dan kajian (evaluation).

Menurut kenyataan oleh Kementerian Pertahanan lagi, pemeteraian Memorandum Perjanjian  itu adalah usaha untuk membangunkan industri pertahanan tempatan di dalam bidang ’Maintenance, Repair & Overhaul’ (MRO) kenderaan perisai.

FA-50
Panglima TUDM bergambar dengan pesawat pejuang KF-21 “Boramae (RMAF)

 

Ia juga adalah usaha untuk menjadikan Malaysia antara HUB bagi MRO serantau dalam sektor MRO-Automotif.

Tentera Darat dipercayai memiliki 111 buah kenderaan perisai K200 MIFV yang mula diperolehi dalam beberapa peringkat bagi membantu operasi tentera kita di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di wilayah bergolak, Bosnia-Herzegovina.

Kenderaan perisai K200 MIFV itu memiliki berat 13 tan dan dilengkapi dengan mesingan berat 12.7mm.

 Selain itu, Sistem Roket Lancaran Berganda (MRLS) “K239 Chunmoo” keluaran syarikat Hanwha Aerospace daripada Korea Selatan juga nampaknya sedang mengintai pasaran Malaysia, sama ada untuk menggantikan atau bergandingan dengan sistem ASTROS yang digunakan oleh tentera darat sejak sekian lama.

Sistem MRLS “K239 Chunmoo” dikatakan adalah pesaing utama kepada sistem MLRS HIMARS dan menurut penganalisis, kemampuan sistem MRLS buatan Korea Selatan adalah menyamai sistem HIMARS buatan Amerika Syarikat itu.

Pada pameran DSA & NATSEC 2024 beberapa bulan lalu,, syarikat Hanwha Aerospace itu telah menjalin kerjasama MoU dengan pemain industri pertahanan meningkat naik tempatan, Widad Business Group.

Chunmoo
“Chunmoo”

 

Digunakan oleh angkatan tentera negara-negara seperti Korea Selatan, Poland dan beberapa negara lain di Timur Tengah, sistem MRLS “K239 Chunmoo” boleh melancarkan dua roket kaliber berlainan pada masa yang sama.

Ia berkemampuan melancarkan roket-roket berkaliber 130mm, 227mm dan 239mm yang boleh membedil sasaran sejauh 36km, 80km dan 290km, sekaligus membolehkan ia memenuhi pelbagai keperluan operasi dengan berkesan.

Sistem MRLS “K239 Chunmoo” dilaporkan turut berkemampuan untuk melancarkan peluru berpandu taktikal berkaliber 600mm.

Korea Selatan juga dilaporkan sedang cuba menarik perhatian Malaysia terhadap sistem pertahanan udara jarak sederhana (MERAD – Medium Range Air Defence System) yang dibangunkan oleh firma pertahanan negara itu.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah membuat permohonan untuk memperolehi satu bateri Sistem Misil Pertahanan Udara Jarak Sederhana (MERAD – Medium Range Air Defence) dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Dalam perancangan pembangunan CAP55 TUDM, ia telah menggariskan perolehan sehingga empat buah bateri sistem pertahanan udara jarak sederhana (MERAD) bermula dariada Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-25) hingga RMK-15 (2035-2040).

KS-SAM
Sistem Pertahanan Udara Jarak Sederhana “KS-SAM” sedang beraksi.

 

Sistem MERAD yang sedang cuba dipromosi oleh Korea Selatan kepada Malaysia itu dikenali dengan nama “KM-SAM” atau yang juga dikenali dengan nama Koreanya, “Cheongung” atau Cheolmae II.

Satu ciri yang menarik mengenai sistem pertahanan udara jarak sederhana KM-SAM  adalah ianya merupakan satu-satunya sistem MERAD yang mempunyai sentuhan DNA teknologi dari kedua-dua Blok Barat dan Rusia.

Ia adalah sistem pertahanan udara jarak sederhana Korea Selatan yang dibangunkan oleh firma pertahanan LIG Nex1 Agency for Defense Development (ADD) dengan bantuan teknikal daripada firma Russia, Almaz-Antey yang terkenal dengan pembangunan sistem pertahanan udara S-300,S-400 dan terkini, S-500.

Turut sama membangunkan sistem pertahanan udara itu adalah Hanwha Systems yang membangunkan sistem radarnya dan Hanwha Aerospace pula membekalkan kenderaan pelancarnya.

Sistem KM-SAM dibangunkan oleh Korea Selatan berinspirasikan sistem-sistem pertahanan udara yang telah dibangunkan oleh firma pertahanan terkenal Russia, Almaz-Antey seperti S-300 dan S-400. — DSA

 

 

Comments
Loading...