Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

APMM Bakal Terima Bekas Kapal Pengawal Pantai Amerika “USCGC Steadfast” Tahun Depan

Pemangku Ketua Pengarah APMM Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata penyerahan kapal berkenaan bakal menjadi aset penting bagi memperkukuhkan keselamatan Zon Maritim Malaysia khususnya di Laut China Selatan.

0 7,284

(DEFENCE SECURITY ASIA)– Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dijangka menerima kapal Pengawal Pantai Amerika Syarikat, “USCGC Steadfast” yang telah ditamatkan perkhidmatannya selepas proses penyediaan di Baltimore, Amerika Syarikat selesai dan dibawa pulang ke Malaysia pada suku tahun pertama 2025.

Pemangku Ketua Pengarah APMM Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata penyerahan kapal berkenaan bakal menjadi aset penting bagi memperkukuhkan keselamatan Zon Maritim Malaysia khususnya di Laut China Selatan.

“Pertambahan aset itu secara tidak langsung dapat memperluaskan lagi operasi dengan lebih berkesan dan efektif,” katanya sebagaimana dipetik berkata pada sidang media selepas sesi tamat latihan Laskar Kelas II Maritim Siri 17/2023 yang melibatkan 75 pelatih di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS).

Saiful Lizan berkata kapal Pengawal Pantai Amerika Syarikat “USCGC Steadfast” berukuran panjang 64.16 meter itu, mempunyai lebar 10 meter serta berat 1,100 tan.

Kapal itu boleh mengisi kapasiti 12 pegawai serta 63 anggota lain-lain pangkat dalam satu masa dengan kelajuan mencecah hingga 18 knot dan jarak operasi sehingga 6,100 Batu Nautika.

APMM
USCGC Steadfast

 

Kapal “USCGC Steadfast” itu telah ditauliahkan di dalam perkhidmatan Pengawal Pantai Amerika Syarikat pada 1968 iaitu 56 tahun yang lalu.

Kapal Pengawal Pantai Amerika Syarikat itu telah ditamatkan perkhidmatannya pada 1 Februari 2024.

Kini “USCGC Steadfast” diletakkan di bawah status Artikel Pertahanan Lebihan (Excess Defence Article), akan berlayar ke Baltimore, Maryland di mana ia akan disediakan untuk dijual kepada negara-negara lain melalui Program Jualan Ketenteraan Asing Pengawal Pantai.

Saiful turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Dalam Negeri atas termeterai persetujuan kedua-dua pihak antara kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat melalui Surat Setuju Terima (LOA) bagi penyerahan kapal berkenaan. 

 Dalam pada itu, beliau berkata proses pengeluaran tender kapal induk (mothership) APMM dengan perolehan RM330 juta dijangka dimuktamadkan sebelum penghujung tahun ini.

APMM
USCGC Steadfast

 

Saiful Lizan berkata spesifikasi kapal tersebut dijangka akan dimuktamadkan pada hujung bulan ini, manakala sebelum dan menjelang suku pertama tahun depan akan mula dilaksanakan oleh syarikat yang dilantik.

Sementara itu, bagi menjadikan AMSAS sebagai pusat kecemerlangan antarabangsa beliau berkata pihaknya telah melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan fasiliti berkenaan bermula tahun lepas dengan nilai peruntukan keseluruhan RM1.3 juta.

“Sejumlah RM11 juta juga telah diperuntukkan kepada AMSAS di bawah Rancangan Malaysia Ke-12  bagi menaik taraf lapang sasar terbuka yang dijangka siap sepenuhnya pada 2026,” katanya. — DSA

 

Comments
Loading...