Gambar Satelit Tunjukkan Pesawat Pejuang Mirage 2000-9 Milik UAE di Pangkalan Udara China
Sebagaimana ditunjukkan oleh gambar-gambar satelit itu, terdapat lima buah pesawat pejuang Mirage 2000-9 berada di pangkalan udara itu, dengan sebuah lagi pesawat pejuang buatan syarikat Dassault Aviation daripada Perancis itu sedang berada di udara dan ini tidak menyenangkan Amerika Syarikat.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Gambar-gambar satelit yang diambil pada 10 Julai telah menunjukkan beberapa perkara menarik yang sedang berlaku di salah sebuah pangkalan udara terpenting China yang terletak di wilayah Xinjiang.
Pangkalan udara yang dimaksudkan itu adalah Pangkalan Udara Hotan.
Sebagaimana ditunjukkan oleh gambar-gambar satelit itu, terdapat lima buah pesawat pejuang Mirage 2000-9 berada di pangkalan udara itu, dengan sebuah lagi pesawat pejuang buatan syarikat Dassault Aviation daripada Perancis itu sedang berada di udara.
Sebuah pesawat pengisi minyak A330 MRTT (Multi Role Transport Tanker), sebuah dron Medium Altitude Longe-Endurance (MALE) dan juga dua pesawat pengangkut C-17 Globemaster III juga dikesan oleh gambar satelit berada di pangkalan udara itu.
Pesawat-pesawat pejuang Mirage 2000-9, A330 MRTT, C-17 Globemaster III dan dron itu adalah milik Tentera Udara Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Sudah pasti kehadiran pesawat pengangkut C-17 Globemaster III buatan Amerika Syarikat di China itu tidak disenangi oleh Amerika Syarikat, yang bimbang teknologi-teknologi sensitif ketenteraannya akan jatuh ke tangan pihak Beijing.
Kesemua aset-aset Tentera Udara UAE itu berada di pangkalan udara Hotan di China itu untuk mengambil bahagian dalam latihan udara bersama dipanggil “Falcon Shield 2024”,yang dianjurkan oleh Tentera Udara China (People’s Liberation Army Air Force).
Ia adalah tahun kedua berturut-turut Tentera Udara UAE mengambil bahagian dalam latihan udara bersama dengan China itu.
Menurut laporan beberapa portal pertahanan, Tentera Udara UAE pada mulanya mahu membawa pesawat-pesawat pejuang F-16 Block 60 miliknya ke China untuk latihan udara “Falcon Shield” itu tetapi telah dihalang oleh Amerika Syarikat yang bimbang teknologi sensitif pesawat pejuang itu akan jatuh ke tangan China.
Amerika bimbang kerana pesawat pejuang F-16 itu turut digunakan oleh Taiwan.
Dihalang daripada membawa pesawat pejuang F-16, Tentera Udara UAE membawa pesawat pejuang Mirage 2000-9 buatan Perancis yang tidak menghalangnya, walaupun Taiwan turut mengunakan pesawat pejuang Mirage 2000-5.
Menurut International Institute for Strategic Studies (IISS), terdapat alasan strategik mengapa Perancis membenarkan Tentera Udara UAE membawa pesawat pejuang Mirage 2000-9 ke negara itu.
Latihan udara bersama itu boleh memberikan peluang kepada Perancis untuk memiliki pengetahuan dan maklumat tentang kemampuan radar buatan China dan sistem penjejakan peluru berpandu buatan negara itu.
Menganjurkan latihan-latihan udara itu memberikan peluang kepada China untuk menggunakan pelbagai aset, secara terbuka atau secara rahsia.
Sebagai contohnya, Tentera Udara China boleh menggunakan pesawat Amaran Awal (AEW) untuk memantau perjalanan latihan udara itu,sekaligus memberikan Perancis peluang untuk mengkaji bagaimana pesawat AEW China beroperasi dalam mengesan pesawat-pesawat “musuh” seperti Mirage 2000-9.
Selain itu latihan udara itu memberikan peluang untuk menguji radar, sistem electro-optical dan radio-frequency missile guidance systems milik pesawat-pesawar pejuang China.
Latihan udara sebegini juga boleh digunakan untuk menguji prestasi seeker dan jarak pengesanan peluru berpandu udara-ke-udara jarak dekat PL-10 buatan China dalam senario peperangan udara .
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini,hubungan ketenteraan antara China dengan UAE semakin rapat sehingga ia “membimbangkan” Amerika Syarikat.
Pada Februari tahun lepas, syarikat China National Aero-Technology Import & Export Corporation (CATIC) telah mengumumkan bahawa ia telah menandatangani kontrak dengan kerajaan Emiriah UAE bagi penjualan 12 buah pesawat latihan dan pejuang ringan L-15 “Hongdu”.
Kontrak itu juga memperuntukan opsyen untuk memperolehi 36 buah lagi pesawat L-15 oleh UAE pada masa akan datang.
Pembelian pesawat L-15 oleh UAE membuatkan hubungan di antara UAE dan Amerika Syarikat semakin dingin, apatah lagi berikutan sikap Washington yang “membatalkan” penjualan pesawat generasi kelima F-35 kepada negara negara Teluk yang kaya-raya itu.
Pentadbiran Presiden Jo Biden bertindak “membatalkan” penjualan pesawat generasi kelima F-35 kepada UAE dipercayai berikutan tindakan negara Teluk itu menjalin hubungan komersial yang erat dengan syarikat penyedia infrastruktur telekomunikasi China, Huawei berkenaan teknologi 5G.
Washington bimbang China menggunakan teknologi 5G oleh Huawei itu untuk mengintip “rahsia” pesawat F-35. — DSA