Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Juruterbang Pengebom Strategik Russia Ditawar Wang Tunai, Kerakyatan Untuk Berpaling Tadah ke Ukraine

Dalam satu kenyataan hari ini, agensi perisikan Russia FSB mendakwa juruterbang pesawat pengebom Tu-22M3 itu ditawarkan wang tunai dan kerakyatan sebuah negara Eropah oleh agensi perisikan Ukraine itu supaya berpaling tadah dan menerbangkan pesawat pengebom Russia itu ke Ukraine.

0 1,061

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Agensi perisikan Russia “FSB” (Federal Security Service) telah mengagalkan percubaan oleh agensi perisikan Ukraine untuk merekrut juruterbang pesawat pengebom strategic Tupolev Tu-22M3 yang berkemampuan membawa senjata nuklear.

Dalam satu kenyataan hari ini, FSB mendakwa juruterbang pesawat pengebom Tu-22M3 itu ditawarkan wang tunai dan kerakyatan sebuah negara Eropah oleh agensi perisikan Ukraine itu supaya berpaling tadah dan menerbangkan pesawat pengebom Russia itu ke Ukraine.

Pesawat pengebom Tu-22M3 yang diberi panggilan “Backfire” dianggap oleh syarikat membangunkannya, Tupolev sebagai pesawat pengebom berkelajuan supersonik jarak jauh  yang  berkeupayaan menggugurkan bom-bom dan melancarkan peluru berpandu untuk memusnahkan sasaran di daratan dan lautan.

Tentera Ukraine mendakwa bahawa pesawat pengebom Tu-22M3 itu kerapkali digunakan oleh Russia untuk menyerang Ukraine dalam konflik antara mereka yang sedang berlangsung pada ketika ini.

Pesawat pengebom strategik itu dilengkapi dengan peluru berpandu KH-22 yang boleh membawa peledak nuklear.

Tu-22M3
“Tu-22M3”

 

“Agensi perisikan Russia, Federal Security Service telah berjaya menumpaskan percubaan oleh agensi perisikan Ukraine untuk melaksanakan operasi merampas sebuah pesawat pengebom strategik Tu-22M3 milik Tentera Udara Russia,” menurut kenyataan oleh FSB menerusi agensi berita Interfax.

“Agensi perisikan Ukraine merancang untuk merekrut juruterbang Russia dengan menawarkan wang tunai dan kerakyatan Itali untuk memujuk beliau supaya menerbangkan pesawat pengebom itu dan mendaratkannya ke Ukraine.”

FSB juga mendakwa bahawa plot oleh agensi perisikan Ukraine itu berkomplot dengan agensi-agensi perisikan NATO dalam usaha mereka untuk menjayakan komplot itu.

Agensi perisikan Russia itu turut telah mengeluarkan video yang didakwanya menunjukkan juruterbang pesawat pengebom strategik Tu-22M3 itu tetapi mengaburi wajahnya untuk tujuan keselamatan.

Ia mendakwa agensi perisikan Ukraine telah menghubungi juruterbang Russia itu  menerusi Telegram dan cuba merekrut beliau.

“Individu tidak dikenali telah menulis di dalam Telegram. Tiada moral, tiada etika dan terus mengeluarkan ancaman terhadap anggota keluarga terdekat saya. Mereka mahukan pesawat itu dibakar,” menurut juruterbang itu.

Tu-22M3
“Tu-22M3”

 

“Saya telah memaklumkan kepada pusat pemerintahan dan menceritakannya semua sekali. Orang perantaraan itu tidak menyembunyikan bahawa beliau daripada agensi perisikan Ukraine dan memberitahu namanya Pavlo.”

“Beliau menawarkan untuk merampas pesawat kombat dan membawanya ke Ukraine, tetapi bukan pesawat kombat sembarangan tetapi adalah pesawat pengebom jarak jauh, berkeupayaan membawa peluru berpandu nuklear, ” kata beliau.

Ukraine telah beberapa kali berusaha untuk memusnahkan pesawat-pesawat pengebom jarak jauh Tu-22M3 Russia.

Ogos lepas, Russia mendakwa Ukraine melancarkan serangan dron terhadap pangkalan udara di wilayah Novgorod di utara Russia yang menempatkan pesawat-pesawat pengebom Tu-22M3.

“Kebakaran dapat dilihat di kawasan penempatan pesawat pengebom itu tetapi berjaya dipadamkan. Sebuah pesawat pengebom starategik itu mengalami kerosakan tetapi tiada yang cedera,” menurut Kementerian Pertahanan Russia pada ketika itu.

 

Pesawat pengebom Tu-22M3 merupakan varian terkini yang telah dipertingkatkan kemampuannya dan mula terbang pada 2018.

Pesawat asal Tu-22 mula terbang pada 1978 ketika ketegangan Perang Dingin antara blok diketuai oleh Amerika Syarikat da blok Kesatuan Soviet sedang memuncak. — DSA

Comments
Loading...