Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Tentera Udara Turkiye Bakal Terima Lebih 100 Buah Pesawat Pejuang Gen-5 “KAAN”

Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Aerospace Industries (TAI) Mehmet Demiroglu juga mengatakan pihak TAI akan membekalkan kira-kira 150 buah pesawat pejuang generasi kelima KAAN itu kepada negara-negara sahabat Turkiye yang berminat untuk memperolehi pesawat pejuang itu.

0 8,810

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Udara Turkiye dijangka akan menerima lebih daripada 100 buah pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” sebaik sahaja pesawat pejuang yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) itu dihasilkan secara besar-besaran (mass production).

Perkara itu dimaklumkan oleh ketua pegawai eksekutifnya yang baru Mehmet Demiroglu.

TAI  merupakan kontraktor utama bagi program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN”.

“Kita akan membekalkan lebih daripada 100 pesawat pejuang KAAN kepada Tentera Udara Turkiye berdasarkan kepada kajian yang dilakukan oleh pihak kami,” kata beliau, yang dilantik untuk menggantikan Dr Temel Kotil.

Beliau juga mengatakan bahawa pihak TAI akan membekalkan kira-kira 150 buah pesawat pejuang generasi kelima KAAN itu kepada negara-negara sahabat Turkiye yang berminat untuk memperolehi pesawat pejuang yang canggih itu.

KAAN
“KAAN” semasa penerbangan sulungnya.

 

“Secara keseluruhannya, kami (TAI) menjangkakan akan menerima pesanan di antara 250 hingga 300 buah pesawat pejuang KAAN,” kata Demiroglu.

Turkiye, sebuah negara anggota NATO melancarkan projek pembangunan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” pada 2016.

TAI dijangka mula menyerahkan 20 buah pesawat pejuang KAAN Block 10 kepada Tentera Udara Turkiye pada tahun 2028.

Menjelang tahun 2029, TAI dijangka mengeluarkan dua buah pesawat pejuang KAAN setiap bulan, menjana perolehan kira-kira US$2.4 bilion (RM9.6 bilion) setiap tahun.

Pesawat pejuang generasi kelima KAAN itu bakal menggantikan lebih daripada 200 buah pesawat pejuang F-16 milik Tentera Udara Turkiye.

Turkiye pada awalnya merupakan rakan kerjasama kepada program pesawat F-35 dengan negara Mediterranean itu akan memperolehi 100 buah pesawat pejuang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin  daripada Amerika Syarikat itu.

KAAN
“KAAN” semasa penerbangan keduanya awal Jun lalu.

 

Syarikat-syarikat negara Turkiye dijangka akan menghasilkan kira-kira 900 komponen untuk pesawat F-35.

Malah negara Mediterranean itu telah pun membayar “wang pendahuluan” sebanyak US$1.4 bilion (RM6.56 billion) untuk menyertai program F-35 itu.

Bagaimanapun keputusan Turkiye untuk memperolehi sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” daripada Russia telah menyebabkan ia “ditendang keluar” daripada program pembangunan pesawat pejuang F-35 dan dilarang memperolehi pesawat pejuang itu.

Amerika Syarikat bimbang Russia akan menggunakan sistem pertahanan S-400 untuk mengumpul pelbagai maklumat tentang pesawat F-35.

Pada awal Jun lalu, “KAAN” telah berjaya melakukan penerbangannya yang kedua, beberapa bulan selepas penerbangan sulung bersejarahnya Februari lalu.

Pada penerbangan keduannya itu, pesawat pejuang generasi kelima  “KAAN” berada di udara selama 14 minit, terbang di altitud 10,000 kaki dengan kelajuan 230 knot, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Agensi Industri Pertahanan (SSB) negara itu.

KAAN
“KAAN”

 

Penerbangan sulung “KAAN” berlaku pada 21 Februari yang lalu, memastikan Turkiye menyertai segelintir negara di dunia ini yang berkemampuan membangunkan pesawat pejuang generasi kelima dengan sendirinya.

Hampir 100 peratus pesawat generasi kelima Turkiye itu dibangunkan oleh industri pertahanan negara itu sendiri, kecuali beberapa bahagian pesawat seperti kerusi injal (ejection seat), enjin dan joystick (controller). 

Buat permulaan, pesawat pejuang KAAN itu akan menggunakan enjin dibekalkan oleh Amerika Syarikat sebelum ia diggantikan oleh enjin buatan syarikat tempatan. — DSA

Comments
Loading...