Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Pesawat Pejuang Gen-5 Turkiye “KAAN” Lakukan Penerbangan Kedua

(VIDEO) Pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” itu melakukan penerbangan keduanya pada pagi Isnin dan berada di udara selama 14 minit, terbang di altitud 10,000 kaki dengan kelajuan 230 knot, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Agensi Industri Pertahanan (SSB) negara itu.

0 7,934

(DEFENCE SECURITY ASIA) – “KAAN”, pesawat pejuang generasi kelima dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) telah berjaya melakukan penerbangannya yang kedua pada Isnin, beberapa bulan selepas penerbangan sulung bersejarahnya pada bulan Februari lalu.

Pesawat pejuang generasi kelima  “KAAN” itu melakukan penerbangan keduanya pada pagi Isnin dan berada di udara selama 14 minit, terbang di altitud 10,000 kaki dengan kelajuan 230 knot, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Agensi Industri Pertahanan (SSB) negara itu.

Penerbangan sulung “KAAN” berlaku pada 21 Februari yang lalu, memastikan Turkiye menyertai segelintir negara di dunia ini yang berkemampuan membangunkan pesawat pejuang generasi kelima dengan sendirinya.

“KAAN” menyertai pesawat-pesawat generasi kelima yang lain di pasaran pada ketika ini seperti F-22 “Raptor”, F-35 buatan Amerika Syarikat, J-20 “Mighty Dragon” dan J-31 buatan China dan Su-57 “Felon” buatan Russia.

“Hari ini (Isnin) kami menyaksikan satu lagi hari bersejarah di dalam sejarah aeroangkasa Turkiye dan sejarah pertahanan Turkiye,” kata ketua SSB Haluk Gorgun.

“Penerbangan kali ini, sama seperti penerbangan pertama adalah amat berjaya. Data yang diperolehi pada hari ini akan dikaji oleh keseluruhan pasukan dan persediaan untuk penerbangan seterusnya akan diteruskan,” kata beliau.

Turkiye, sebuah negara anggota NATO melancarkan projek pembangunan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” pada 2016.

Ankara mempergiatkan usaha membangunkan pesawat pejuang generasi kelimanya sendiri, selepas ia dikeluarkan daripada program F-35 kerana berkeras meneruskan hasratnya untuk membeli sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” buatan Russia.

Sebagai rakan pembangunan program pesawat pejuang F-35, Turkiye telah bersetuju untuk memperolehi 100 buah pesawat pejuang F-35 itu, tetapi, penyertaan Ankara dalam program pesawat pejuang generasi kelima buatan syarikat Lockheed Martin itu ditamatkan berikutan keputusannya membeli sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” daripada Russia.

 KAAN sebelum ini hanya dikenali sebagai TF-X atau Milli Muharip Ucak (National Combat Aircraft -MMU).

Hampir 100 peratus pesawat generasi kelima Turkiye itu dibangunkan oleh industri pertahanan negara itu sendiri, kecuali beberapa bahagian pesawat seperti kerusi injal (ejection seat), enjin dan joystick (controller). 

KAAN

Bagaimanapun ketiga-tiga komponen asing pada pesawat KAAN tu akan digantikan dengan komponen buatan Turkiye apabila pembangunan pesawat itu memasuki fasa lebih maju.

Di dalam tempoh ujian penerbangan pada ketika ini, kesemua pesawat-pesawat prototaip KAAN akan menggunakan enjin F110 buatan syarikat GE sebelum ia digantikan sepenuhnya dengan enjin turbofan yang sedang dibangunkan oleh syarikat tempatan, TEI (TUSAS Engine Industries).

 Syarikat pembuat enjin Turkiye, TEI menyatakan bahawa enjin buatan dalam negeri yang akan digunakan oleh pesawat pejuang generasi kelima negara itu “KAAN” sudah hampir siap.

Syarikat TEI merupakan usahasama di antara Turkish Aerospace Industries (TAI) dan General Electric Aerospace (GE Aerospace).

“Engine TF10000 yang akan menghasilkan 6,000 lbf kuasa tujahan (thrust) dan akan melengkapi banyak platform berpemandu dan tidak berpemandu (manned and unmanned) termasuk pesawat pejuang KAAN sudah hampir siap,” kata ketua TEI, Mahmut Faruk Aksit kepada media tempatan Turkiye baru-baru ini.

KAAN

TAI yang merupakan kontraktor utama bagi program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” itu, dilapor akan menyiapkan sejumlah 20 buah pesawat pejuang KAAN Block 10 kepada Tentera Udara Turkiye pada tahun 2028.

Menjelang tahun 2029, TAI dijangka mengeluarkan dua buah pesawat pejuang KAAN setiap bulan, menjana perolehan kira-kira US$2.4 bilion (RM9.6 bilion) setiap tahun.

Pesawat pejuang generasi kelima KAAN itu bakal menggantikan lebih daripada 200 buah pesawat pejuang F-16 milik Tentera Udara Turkiye. — DSA

Comments
Loading...