Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Russia Terima, Mula Operasi Sistem Pertahanan Udara S-500 Mulai Tahun Ini

(VIDEO) Sistem pertahanan udara jarak jauh S-500 yang bakal diterima dan dioperasikan oleh tentera Russia bermula pada tahun ini akan datang dalam dua varian iaitu – untuk menangani peluru berpandu ballistik (Ballistic Missile Defence – BMD) dan sistem pertahanan udara jarak jauh.

0 7,787

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Russia akan mula menerima dan mengoperasikan sistem pertahanan jarak jauh S-500 “Prometheus” pada tahun ini, sekaligus melipatgandakan usahanya untuk menangani peluru-peluru berpandu hypersonik yang bergerak dengan kelajuan Mach 10.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Pertahanan Russia Sergey Shoigu.

Sistem pertahanan udara jarak jauh S-500 yang bakal diterima dan dioperasikan oleh tentera Russia bermula pada tahun ini akan datang dalam dua varian iaitu – untuk menangani peluru berpandu ballistik (Ballistic Missile Defence – BMD) dan sistem pertahanan udara jarak jauh.

Menurut laporan oleh media Russia, Izvestia yang memetik sumber-sumber daripada Kementerian Pertahanan negara itu menyatakan bahawa tentera negara itu telah melaksanakan pelbagai ujian sebelum mengoperasikan sistem itu pada tahun ini.

Ujian-ujian yang dilakukan terhadap sistem pertahanan udara S-500 itu menunjukkan ia sememangnya berkemampuan memintas dan menembak jatuh peluru berpandu hypersonic.

Malah dalam satu ujian yang dilaksanakan pada Februari tahun ini, sistem peluru berpandu S-500 telah berjaya memintas dan menembak jatuh peluru berpandu ballistik antara benua (Intercontinental Ballistic Missile – ICBM) R-29RMU2 Sineva.

Dalam ujian yang dilakukan itu, peluru berpandu ICBM Sineva yang dilancarkan oleh kapal selam berkuasa nuklear di Laut Laptev telah dipintas oleh sistem pertahanan udara S-500 di tapak ujian Chizha yang berada di wilayah Arkhangelsk.

Selain itu, sistem pertahanan udara S-500 juga telah menjalani ujian dimana ia dilaporkan telah menembak jatuh satelit Russia, Kosmos-1408 yang dimusnahkan di orbit pada pada November 2021.

Ujian penembakan jatuh satellit Kosmos itu turut membimbangkan Amerika Syarikat terhadap kemampuan sistem pertahanan udara anti-satellit.

Kementerian Pertahanan Russia menyatakan bahawa ujian-ujian yang dilakukan menunjukkan bahawa sistem pertahanan udara S-500 telah melepasi segala ujian yang telah ditetapkan bagi membolehkan ia menangani ancaman udara masa kini dan masa depan.

Russia

Sistem pertahanan udara S-500 merupakan suatu peningkatan daripada semua segi berbanding sistem pertahanan udara S-400 “Triumf.”

Untuk menangani sasaran-sasaran aerodinamik, sistem pertahanan udara S-500 itu menggunakan peluru berpandu jarak jauh (interceptor) 40H6M yang telah pun digunakan oleh sistem pertahanan udara S-400 manakala bagi memintas peluru berpandu ballistik di luar atmosfera bumi berkemungkinan di kedudukan berhampiran angkasa lepas,ia menggunakan peluru berpandu 77N6.

Sistem pertahanan udara S-500 yang dibangunkan oleh firma pertahanan Russia, Almaz-Antey berkemampuan menembak jatuh sasaran pada jarak 500km hingga 600km, yang diperakui sebagai sistem pertahanan udara paling jauh.

Ia menembak jatuh 10 sasaran secara serentak.

Satu bateri sistem pertahanan udara itu memiliki sehingga empat buah radar yang membolehkan ia mengesan dan menjejaki sasaran daripada jarak diantara 800km sehingga 2,000km. — DSA

Iklan

Comments
Loading...