Pesawat J-11 China “Tumbang” Di Tangan JAS39 Gripen Thailand Dalam Latihan Udara Bersama
Sebagaimana dilaporkan oleh portal pertahanan bulgarianmilitary.com baru-baru ini, pesawat pejuang JAS39 Gripen milik Tentera Udara Thailand telah menunjukkan prestasi amat baik dalam pertempuran jarak jauh atau Beyond Visual Range (BVR) menentang pesawat Shenyang J-11 milik China.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat-pesawat pejuang JAS39 Gripen milik Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) dilaporkan telah menunjukkan prestasi yang baik apabila berhadapan dengan dengan pesawat-pesawat Shenyang J-11 (varian buatan China pesawat Su-27) milik Tentera Udara China pada latihan udara bersama “Falcon Strike” pada 2015.
Sebagaimana dilaporkan oleh portal pertahanan bulgarianmilitary.com baru-baru ini, pesawat pejuang Gripen telah menunjukkan prestasi amat baik dalam pertempuran jarak jauh atau Beyond Visual Range (BVR) dengan pesawat J-11 milik China.
“Pesawat pejuang Gripen telah menunjukkan tahap keberkesanan yang tinggi dalam aspek pertempuran Beyond Visual Range dengan data menunjukkan mereka mencapai 88 peratus kejayaan dalam pertempuran pada jarak 30km atau lebih jauh.”
“Ini menunjukkan kepakaran pesawat Gripen dalam bertempur pada jarak jauh,” menurut portal berkenaan sambil menambah pesawat pejuang J-11 China berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam latihan udara bersama dengan Thailand itu.
“Mereka (Tentera Udara China) kehilangan 41 buah pesawat J-11 kepada pesawat-pesawat pejuang Thailand yang kehilangan sembilan buah pesawat pejuang Gripen.”
Ini menurut portal itu, menunjukkan kemampuan pesawat-pesawat pejuang Gripen dan membuktikan keperluan Tentera Udara China untuk meningkatkan lagi aspek strategi mengelak daripada buruan peluru berpandu udara-ke-udara.
Kedua-dua pesawat pejuang Thailand dan China itu berpangkalan di Pangkalan Udara RTAF di Korat.
Walaupun Thailand adalah sekutu kepada Amerika Syarikat di Asia Tenggara, namun negara itu berhadapan dengan cabaran dalam hubungannya dengan Washington sejak jeneral-jeneral tentera Thailand melakukan rampasan kuasa pada 2014.
Sejak daripada itu kepimpinan Thailand yang ditunjangi oleh jeneral tentera telah memperkuatkan hubungannya dengan China menerusi pembelian senjata-senjata daripada kuasa besar Asia itu.
Pada Ogos 2015, Thailand dan China mengukuhkan lagi hubungan di anatara mereka menerusi penganjuran latihan udara bersama dinamakan “Falcon Strike”.
Tahun lepas, edisi terkini latihan udara bersama “Falcon Strike” itu telah diadakan di Thailand yang berlangsung selama 21 hari.
Semasa latihan udara bersama itu, anggota tentera Thailand dan China terlibat dalam latihan intensif dalam pelbagai lapangan termasuk bantuan udara, serangan darat, pertahanan udara bersama dan kerahan tentera secara besar-besaran.
Menurut penganalisis, Thailand menggabungkan taktik udara Barat dan Timur dalam operasi pesawat dan operasi kombat.
Penganalisis mendakwa bahawa penggabungkan kedua-dua taktik udara daripada Barat dan Timur telah meningkatkan lagi keberkesanan program latihan Tentera Udara Thailand.
Dalam latihan Falcon Strike 2015 itu, pesawat-pesawat J-11 China telah menunjukkan prestasi yang baik dalam pertempuran jarak dekat iaitu Within Visual Range (WVR).
Semasa dua hari pertama latihan itu, pesawat J-11 China telah berjaya menembak jatuh pesawat Gripen Thailand sebanyak 25 kali dalam pertempuran “Within Visual Range (WVR) dengan hanya satu pesawatnya berjaya ditembak jatuh oleh pesawat buatan Sweden digunakan Thailand itu.
Laporan mengatakan dalam latihan pertempuran WVR itu, Gripen menggunakan peluru berpandu AIM-9 manakala J-11 pula menggunakan peluru berpandu PL-8.
PL-8 adalah peluru berpandu udara-ke-udara jarak dekat yang dihasilkan sendiri oleh industri pertahanan tempatan China.
Bagaimanapun pada keesokkan hari, iaitu pada hari ketiga latihan yang telah beralih ke fasa Beyond Visual Range dimana pesawat Gripen telah dilengkapkan dengan peluru berpandu AIM-120 AMRAAM manakala J-11 pula menggunakan peluru berpandu PL-12.
Dalam fasa latihan BVR itu, pesawat Gripen Thailand telah berjaya menembak jatuh pesawat J-11 China sebanyak 41 kali berbanding hanya sembilan kali pesawat Gripen “tumbang” ditangan J-11.
Penganalisis mengatakan 88 peratus daripada kejayaan pesawat Gripen menembak jatuh J-11 itu adalah pada jarak lebih daripada 30km,
Pesawat Gripen juga berjaya menembak jatuh J-11 sekurang-kurangnya 11 kali pada jarak melebihi 50km. — DSA