10 Tahun Tiada Pembeli, Saab Group Letak Harapan Pada Tiga Negara Pilih Gripen
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Saab Micael Johansson dilaporkan memberitahu wartawan negara itu tentang “kekecewaannya” berhubung kegagalan Gripen menarik minat pembeli-pembeli, dengan kali terakhir mana-mana negara memilih pesawat Gripen adalah 10 tahun lepas.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kecewa kerana sudah 10 tahun tiada pembeli, syarikat Saab yang menghasilkan pesawat pejuang JAS-39 Gripen kini mengharapkan India, Thailand dan Filipina untuk memilih pesawat itu bagi digunakan oleh tentera udara negara mereka.
Dikala pesawat pejuang F-35 keluaran Lockheed Martin dan Rafale keluaran Dassault Aviation menjadi pilihan pelbagai negara di seluruh dunia, syarikat Saab terus berduka kerana percubaan demi percubaan mereka memasarkan Gripen berdepan dengan kegagalan.
Walaupun dihasilkan oleh Saab, sebuah syarikat Sweden, namun pasaran pesawat pejuang Eropah kini nampaknya didominasi oleh F-35 keluaran Amerika Syarikat, malah Rafale juga gagal mendapat tempat di Eropah walaupun ia dihasilkan oleh Perancis, sebuah negara kuasa utama di benua itu.
Rafale kini menumpukan perhatian kepada pasaran di luar Eropah, terutamanya di Timur Tengah.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Saab Micael Johansson dilaporkan memberitahu wartawan negara itu tentang “kekecewaannya” berhubung kegagalan Gripen menarik minat pembeli-pembeli.

Beliau berkata pesawat pejuang Gripen gagal menepati sasarannya dalam pasaran eksport dan menyalahkan faktor-faktor politik sebagai punca disebalik kegagalan itu.
Kali terakhir pesawat pejuang Gripen berjaya memenangi persaingan membekalkan pesawat kepada negara asing adalah pada 2014 apabila ia berjaya menambat hati Brazil yang bersetuju membeli 36 buah pesawat pejuang buatan Sweden itu bernilai US$5.4 bilion (RM21.6 bilion).
Kini India, Thailand dan Filipina memberikan peluang kepada Saab untuk cuba menamatkan “kemarau” ketiadaan pembeli bagi pesawat pejuang Gripen.
Baru-baru ini, Saab India mengeluarkan kenyataan bahawa ia menawarkan 114 buah pesawat Gripen-E yang merupakan varian paling terkini itu kepada India bagi memenuhi keperluan pesawat multirole untuk tentera udaranya.
“Dengan varian Gripen-E, India akan memperolehi pesawat pejuang generasi masa depan dengan kemampuan pertempuran udara, bersedia untuk berhadapan dengan apa-apa ancaman, pada setiap masa dan setiap ketika,” menurut Saab India.
Comments are closed.