(VIDEO) Selepas “Kekalahan Teruk”, Briged Golani Tentera Israel Diundurkan Dari Gaza
(VIDEO) Dalam serangan hendap oleh pejuang-pejuang Palestin di kawasan dinamakan “Kasbah” di Shujaiya pada pertengahan bulan ini, 10 anggota Briged Golani Tentera Israel itu terbunuh termasuk ketua komandannya Kolonel Itzhak Ben Basat, 44, dan komander Batalion ke-13 briged itu, Lt Kol Tomer Grinberg, 35.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Salah satu unit elit tentera Israel, Briged Golani telah diundurkan daripada Gaza selepas 60 hari berada di kawasan pertempuran, dalam apa yang dinyatakan sebagai langkah “penyusunan semula” organisasi tentera selepas unit elit terbabit mengalami kekalahan paling teruk ditangan pejuang-pejuang Palestin.
Menurut stesen televisyen Channel 13 Israel, Briged Golani telah menyerahkan kawalan operasi di beberapa lokasi panas di Bandar Gaza itu kepada unit-unit lain tentera Israel sebelum ia berundur.
Media-media elektronik serta media sosial Israel telah menyiarkan rakaman pergerakan pengunduran anggota Briged Golani itu, menunjukkan anggotanya berada dalam keadaan gembira dan menyanyi beramai-ramai.
Menurut tentera Israel, Briged Golani itu diundurkan daripada Gaza selepas ia berjaya menguasai kawasan Shujaiya di bandar Gaza yang disifatkan sebagai kubu kuat Hamas.
Bagaimanapun penganalisis menyatakan bahawa pengumuman tentera Israel berkenaan penguasaan mereka terhadap Shujaiya itu “adalah untuk mengurangkan rasa terkejut terhadap berita bahawa unit elit tentera Israel itu (Briged Golani) telah mengalami kekalahan sehingga memaksa ia berundur lebih awal daripada sepatutnya.”
Dalam serangan hendap oleh pejuang-pejuang Palestin di kawasan dinamakan “Kasbah” di Shujaiya pada pertengahan bulan ini, 10 anggota Briged Golani itu terbunuh termasuk ketua komandannya Kolonel Itzhak Ben Basat, 44, dan komander Batalion ke-13 briged itu, Lt Kol Tomer Grinberg, 35.
Kematian 10 orang anggota Briged Golani itu telah mengejutkan rakyat Israel, menyebabkan mereka mempersoalkan strategi dan taktik digunakan oleh tentera Israel dalam operasi daratnya di Gaza.
Ramai mencadangkan supaya tentera Israel lebih bergantung kepada serangan udara dan mengelak menghantar anggota tentera nya daripada bertempur dengan pejuang Palestin di kawasan-kawasan bandar yang padat kerana dibimbangkan apa yang telah berlaku di Shujaiya berulang.
Tentera Israel mendakwa Ben Basat merupakan pegawai tentera Israel paling kanan terbunuh pada konflik kali ini. Sebelum ini, beliau merupakan ketua kepada Briged Yiftah, satu unit anggota komando simpanan.
Sejak 7 Okt lalu, tentera Israel telah kehilangan lapan orang pegawai tentera berpangkat Lt Kolonel dan lima orang pegawai tentera berpangkat Kolonel.
(Komander Batallion ke-13 Briged Golani Lt Kol Tomer Grinberg dirakam mengucapkan tahniah kepada salah seorang anggota unitnya, sehari sebelum beliau terbunuh dalam serangan hendap pejuang Palestin di Shujaiya, Gaza)
Tentera Israel didakwa tidak memberitahu bilangan sebenar kematian anggota tentera Israel.
Beberapa hari sebelum kematiannya, Grinberg dirakam memberikan semangat kepada anggota-anggotanya dan menjanjikan “kemenangan” di Gaza kepada rakyat Israel.
Briged Golani merupakan unit elit tentera Israel dan kerapkali dihantar ke Gaza untuk berhadapan dengan pejuang-pejuang Palestin.
Dalam konflik di Gaza pada 2014, tujuh anggota Briged Golani terbunuh juga di Shujaiya selepas kenderaan perisai mereka dibedil oleh pejuang Palestin.
Sementera itu bekas pegawai kanan tentera Israel, Jen Moshe Kaplinsky dilaporkan berkata bahawa Briged Golani telah kehilangan 88 orang anggota tentera sejak konflik di Palestin tercetus pada 7 Oktober lalu.
Menurut beliau, 72 anggota Briged Golani itu terbunuh pada hari pertama konflik itu atau suku daripada kekuatan keseluruhan briged itu. — DSA
DEFENCE SECURITY ASIA APPS
To advertise contact: lulwabyadah@gmail.com