🎬Ironik!!! Iran Hantar F-4 Phantom Buatan Amerika Iringi Pesawat Rasmi Vladimir Putin
(VIDEO) Apa yang menjadi ironi bagi pemerhati pertahanan serantau adalah sebaik sahaja rombongan pesawat rasmi membawa Putin dan pesawat pejuang daripada Russia itu memasuki ruang udara Iran, ia telah "disambut" oleh pesawat F-4 Phantom milik Tentera Udara Iran tetapi buatan Amerika Syarikat.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada 6 Disember yang lalu, Presiden Russia Vladimir Putin telah melakukan lawatan terhadap Timur Tengah untuk bertemu dengan pemimpin-pemimpin Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.
Pesawat rasmi Ilyushin IL-96 membawa Presiden Russia ke Timur Tengah itu telah diiringi oleh empat buah pesawat pejuang Su-35 yang dilengkapi dengan peluru-peluru berpandu udara-ke-udara R-73 dan R-77.
Vladimir Putin telah ke UAE dahulu sebelum singgah di Arab Saudi dimana beliau telah mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Mohamad bin Salman.
Penerbangan pesawat rasmi Presiden Putin diiringi oleh empat buah pesawat pejuang Su-35 UAE dan Arab Saudi itu turut melalui ruang udara Iran, dimana “rombongan rasmi” daripada Moscow itu kemudiannya turut diiringi sebuah pesawat milik Tentera Udara Iran.
Apa yang menjadi ironi bagi pemerhati pertahanan serantau adalah sebaik sahaja rombongan pesawat rasmi membawa Putin dan pesawat pejuang daripada Russia itu memasuki ruang udara Iran, ia telah “disambut” oleh pesawat F-4 Phantom milik Tentera Udara Iran tetapi buatan Amerika Syarikat.
Amat ironi dimana penerbangan rasmi membawa Presiden Russia itu telah diiringi oleh pesawat pejuang buatan Amerika Syarikat yang dianggap sebagai pesaing utama Moscow.
Bagaimanapun ia bukanlah kali pertama pesawat pejuang buatan Amerika Syarikat mengiringi pesawat Russia.
Pada 2015, sebuah pesawat pejuang F-14 Tomcat milik Tentera Udara Iran yang juga diperbuat oleh Amerika Syarikat telah mengiringi pesawat pengebom Tu-95 Bear milik Tentera Udara Russia ketika ia terbang di dalam ruang udara negara Parsi itu.
Pada ketika itu, pesawat pengebom Tu-95 itu sedang melaksanakan misi yang berlangsung selama lebih sembilan jam membabitkan penerbangan daripada Pangkalan Udara Engels untuk melakukan misi pengeboman di Syria sejauh 6,500km sebelum pulang semula ke pangkalan.
Iran pada mulanya memesan 80 buah pesawat F-14 Tomcat dengan pesawat-pesawat pejuang itu mula dihantar ke Iran pada 1976 ketika negara itu masih lagi diperintah oleh Shah Iran yang merupakan sekutu kuat kepada Washington.
Selepas kejatuhan Shah Iran, negara Parsi itu terus menggunakan pesawat-pesawat pejuang buatan Amerika Syarikat itu walaupun Teheran dikenakan sekatan ketenteraan oleh Amerika Syarikat, menyebabkan Iran sukar mendapatkan bekalan alat ganti untuk pesawat-pesawat itu.
Namun industri pertahanan tempatan memastikan Iran terus berkemampuan mengoperasikan pesawat-pesawat pejuang buatan Amerika Syarikat.
Menurut laporan media tempatan, pada ketika ini Iran masih memiliki di antara 40 hingga 42 pesawat F-14 itu sebelum ia dinaiktaraf kepada varian F-14AM (Modernized) yang dilengkapi dengan sistem avionik tempatan termasuk radar dan radar warning receiver (RWR).
Dmitry Peskov, setiausaha akhbar kepada Presiden Russia berkata, untuk mengiringi pesawat rasmi Ilyushin IL-96 presiden memerlukan kelulusan khas daripada negara-negara di mana penerbangan itu berlaku.
Pesawat pejuang Su-35 itu dilengkapkan dengan sistem radar berkemampuan tinggi, sistem penjejakan sasaran optoelektronik dan sistem electronic counter measures.
Tindakan mengiringi pesawat rasmi Presiden Russia itu oleh empat buah pesawat pejuang Su-35 menggambarkan protokol keselamatan standard untuk Presiden Russia ketika melakukan lawatan di peringkat antarabangsa, bagi memastikan keselamatan dan integriti semasa penerbangan itu, kata Peskov. — DSA
DEFENCE SECURITY ASIA APPS
To advertise contact: lulwabyadah@gmail.com