Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kumpulan Enam Pegawai TUDM Tiba Di Korea Selatan Untuk Program Pesawat FA-50 Block 20

Sebagaimana yang telah dilaporkan oleh Defence Security Asia sebelum ini, varian FA-50M Block 20 yang bakal dimiliki oleh Malaysia dan Poland itu akan dilengkapi dengan radar AESA “PhantomStrike” yang dibangunkan oleh firma Raytheon daripada Amerika Syarikat.

0 7,867

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sekumpulan enam orang pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah tiba di Seoul, Korea Selatan pada 29 November lalu untuk memulakan program FA-50M dengan syarikat Korea Aerospace Industries (KAI).

“Tugas utama mereka (kumpulan pegawai TUDM) adalah untuk memantau perjalanan program (perolehan 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50M untuk  TUDM daripada KAI),” kata sumber yang enggan mendedahkan identitinya.

Kumpulan pegawai TUDM itu diketuai oleh seorang berpangkat Kolonel.

Dalam satu posting akaun media sosial TUDM pada akhir Okt lalu, isu mengenai penghantaran kumpulan pegawai TUDM ke Korea Selatan telah dibincangkan dalam pertemuan di antara Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dengan Jeneral Jung Sanghwa, Chief of Staff Republic of Korea Air Force (ROKAF CoS).

Kenyataan di dalam media sosial TUDM itu menyebut: “Dalam pertemuan ini, perkara yang dibincangkan adalah berhubung kerjasama strategik pertahanan TUDM bersama ROKAF khususnya melibatkan SMEE (Subject Matter Expert Exchange) pesawat FA-50 ke arah merealisasikan perolehan pesawat FA-50 untuk TUDM. “

FA-50
(File picture)

 

“TUDM telah membuat perancangan bagi penghantaran kumpulan pertama enam (6) pegawai TUDM bagi projek FLIT-LCA pesawat FA-50 ke ROK (Republic of Korea) yang dijadualkan pada November 2023.

“Selain daripada itu, turut diperbincangkan berhubung perancangan bagi kerjasama bilateral kedua angkatan udara TUDM dan ROKAF.”

Panglima TUDM berada di ibu negara Korea Selatan untuk menghadiri  Seoul International Aerospace & Defense Exhibition 2023 (Seoul ADEX 2023) bermula pada 16 hingga 22 Oktober 2023 lalu.

Pada pameran LIMA yang berlangsung di pulau Langkawi Mei lalu, Kementerian Pertahanan dan KAI menandatangani perjanjian untuk memperolehi 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50 untuk TUDM dianggarkan bernilai RM4 billion.

TUDM akan memperolehi varian terkini pesawat pejuang itu, FA-50 Block 20, dengan TUDM dijangka menerima kumpulan pertama empat buah pesawat pejuang ringan itu pada suku keempat tahun 2026. 

Varian Block 20 pesawat FA-50 yang bakal dimiliki oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) adalah varian paling terkini dan berkemampuan berbanding varian-varian lain termasuk yang digunakan oleh Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF) itu sendiri.

FA-50
Pesawat FA-50 milik Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF)

 

Hanya TUDM dan Tentera Udara Poland memilih untuk memiliki varian FA-50 Block 20.

Poland menandatangani perjanjian dengan KAI pada tahun lepas untuk membeli 48 buah pesawat FA-50.

Sebagaimana yang telah dilaporkan oleh Defence Security Asia sebelum ini, varian FA-50M Block 20 yang bakal dimiliki oleh Malaysia dan Poland itu akan dilengkapi dengan radar AESA “PhantomStrike” yang dibangunkan oleh firma Raytheon daripada Amerika Syarikat.

Ia juga akan dilengkapi dengan sistem pengisian minyak di udara “Chobham Mission System” dan “Sniper” Advanced Targeting Pod.

Kesemua kelengkapan ini tidak dimiliki oleh varian-varian lain T-50/FA-50 termasuk yang dimiliki oleh ROKAF dan tentera-tentera udara Indonesia, Thailand dan Filipina.

Maklumat diperolehi juga mengesahkan bahawa pesawat FA-50 Block 20 yang ditawarkan kepada TUDM akan dilengkapi dengan dengan kelengkapan radio U/VHF yang hampir sama digunakan digunakan oleh varian terkini pesawat pejuang F-16 Block 70.

Selain itu, pesawat FA-50 Block 20 yang ditawarkan kepada TUDM itu juga akan dilengkapi dengan “Link 16 Block Upgrade 2”. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...