Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

TUDM Hantar Kumpulan Pertama Pegawai Ke Korea Selatan Untuk Projek FA-50 Block 20

Pada pameran LIMA yang berlangsung di pulau Langkawi Mei lepas, Kementerian Pertahanan dan Korea Aerospace Industries (KAI) menandatangani perjanjian untuk memperolehi 18 buah varian terkini pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20 untuk TUDM dianggarkan bernilai RM4 billion.

0 1,630

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kumpulan pertama enam orang pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi projek perolehan pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20 buatan Korea Aerospace Industries (KAI) akan dihantar ke Korea Selatan pada November depan.

TUDM dalam posting menerusi akaun Facebook miliknya semalam berkata perkara itu telah dibincangkan dalam pertemuan di antara Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dengan Jeneral Jung Sanghwa, Chief of Staff Republic of Korea Air Force (ROKAF CoS).

Kenyataan di dalam media sosial TUDM itu menyebut: “Dalam pertemuan ini, perkara yang dibincangkan adalah berhubung kerjasama strategik pertahanan TUDM bersama ROKAF khususnya melibatkan SMEE pesawat FA-50 ke arah merealisasikan perolehan pesawat FA-50 untuk TUDM. “

“TUDM telah membuat perancangan bagi penghantaran kumpulan pertama enam (6) pegawai TUDM bagi projek FLIT-LCA pesawat FA-50 ke ROK yang dijadualkan pada November 2023. Selain daripada itu, turut diperbincangkan berhubung perancangan bagi kerjasama bilateral kedua angkatan udara TUDM dan ROKAF.”

Panglima TUDM itu berada di ibu negara Korea Selatan untuk menghadiri  Seoul International Aerospace & Defense Exhibition 2023 (Seoul ADEX 2023) bermula pada 16 hingga 22 Oktober 2023.

FA-50
(TUDM)

 

Sewaktu pertemuan dengan Jeneral Jung Snaghwa itu, Panglima TUDM turut menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih di atas penglibatan Pasukan Aerobatik ROKAF iaitu Black Eagles pada menyertai Pameran LIMA ’23.

Beliau juga berharap penyertaan pasukan aerobatik Black Eagles akan diteruskan pada siri Pameran Antarabangsa LIMA yang akan datang. 

Pada pameran LIMA yang berlangsung di pulau Langkawi Mei lepas, Kementerian Pertahanan dan KAI menandatangani perjanjian untuk memperolehi 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50 untuk TUDM dianggarkan bernilai RM4 billion.

TUDM akan memperolehi varian terkini pesawat pejuang itu, FA-50 Block 20.

Varian Block 20 pesawat FA-50 yang bakal dimiliki oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) adalah varian paling terkini dan berkemampuan berbanding varian-varian lain termasuk yang digunakan oleh Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF) itu sendiri.

FA-50
Pasukan aerobatik Black Eagles ROKAF. (TUDM)

 

Hanya TUDM dan Tentera Udara Poland memilih untuk memiliki varian FA-50 Block 20.

Poland menandatangani perjanjian dengan KAI pada tahun lepas untuk membeli 48 buah pesawat FA-50.

Sebagaimana yang telah dilaporkan oleh Defence Security Asia sebelum ini, varian Block 20 yang bakal dimiliki oleh Malaysia dan Poland itu akan dilengkapi dengan radar AESA “PhantomStrike” yang dibangunkan oleh firma Raytheon daripada Amerika Syarikat.

Ia juga akan dilengkapi dengan sistem pengisian minyak di udara “Chobham Mission System” dan “Sniper” Advanced Targeting Pod.

Kesemua kelengkapan ini tidak dimiliki oleh varian-varian lain T-50/FA-50 termasuk yang dimiliki oleh ROKAF dan tentera-tentera udara Indonesia, Thailand dan Filipina.

FA-50
Pesawat FA-50

 

Maklumat diperolehi juga mengesahkan bahawa pesawat FA-50 Block 20 yang ditawarkan kepada TUDM akan dilengkapi dengan dengan kelengkapan radio U/VHF yang hampir sama digunakan digunakan oleh varian terkini pesawat pejuang F-16 Block 70.

Selain itu, pesawat FA-50 Block 20 yang ditawarkan kepada TUDM itu juga akan dilengkapi dengan “Link 16 Block Upgrade 2”.

Laporan sebelum ini juga menyebut bahawa sebanyak 14 buah pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20 yang diperolehi TUDM bakal menjalani kerja-kerja pemasangan akhir (final assembly) di Malaysia.

Manakala empat buah pesawat pejuang FA-50 Block 20 milik Malaysia itu akan dipasang sepenuhnya di Korea Selatan.

Menurut sumber yang memberitahu Defence Security Asia, program pemasangan akhir 14 buah pesawat pejuang FA-50 Block 20 itu adalah sebahagian daripada persetujuan di dalam aspek Industrial Collaboration Program (ICP) dengan Korea Aerospace Industries (KAI) yang membangunkan pesawat itu. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...