Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat A-10 “Thunderbolt” Bakal Pencen Pada 2029

Tahun ini, usia pesawat A-10 yang dibangunkan oleh syarikat Fairchild Aircraft lebih dikenali dengan panggilan "Warthog" (babi hutan) sudah pun mencecah 51 tahun sejak ia melakukan penerbangan sulungnya pada tahun 1972.

0 1,141

(DEFENCE SECURITY ASIA) – BRRTTTT!!! Menyedari pesawat A-10 “Thunderbolt” tidak lagi berkemampuan untuk “menyelamatkan” dirinya daripada sistem pertahanan udara moden masa kini, pihak tentera Amerika Syarikat memutuskan untuk menoktahkan perkhidmatan yang panjang pesawat pejuang yang memiliki rekabentuk unik itu pada 2029.

Tahun ini, usia pesawat A-10 yang dibangunkan oleh syarikat Fairchild Aircraft lebih dikenali dengan panggilan “Warthog” (babi hutan) sudah pun mencecah 51 tahun sejak ia melakukan penerbangan sulungnya pada tahun 1972.

Malah syarikat Fairchild Aircraft yang membangunkan pesawat A-10 itu pun sudah lama bungkus dan diambilalih oleh syarikat M7 Aerospace, sebelum ia juga dibeli oleh syarikat Elbit Systems.

Ketika dibangunkan, pesawat-pesawat A-10 Thunderbolt dibangunkan untuk melaksanakan misi di Eropah ketika ketegangan Perang Dingin sedang memuncak.

Bagaimanapun, pesawat itu sebenarnya lebih banyak melihat aksi ketika Perang Teluk serta konflik di Afghanistan apabila ia menjadi begitu popular dengan anggota tentera darat Amerika.

A-10 Thunderbolt

Malah prestasi baiknya ketika Perang Teluk dan konflik di Afghanistan telah menyelamatkan pesawat A-10 itu daripada ditamatkan khidmatnya lebih awal oleh pihak tertinggi tentera udara Amerika Syarikat.

Dilengkapi dengan tujuh meriam 30mm GAU/Avenger “Gatling Gun” yang berkemampuan meledak 3,900 tembakan seminit untuk memusnahkan kereta kebal,kereta perisai dan kedudukan tentera musuh, pesawat A-10 Thunderbolt sememangnya adalah igauan ngeri bagi armor dan infrastruktur pertahanan musuh. 

Selain meriam 30mm dengan pelurunya sebesar botol Coca Cola, pesawat A-10 itu juga dilengkapi dengan peluru berpandu “Maverick” dan bom-bom panduan JDAM.

Sebenarnya tentera Amerika Syarikat sudah mula bercadang untuk menamatkan khidmat pesawat A-10 itu seawal tahun 1991,tetapi ia gagal dilaksana disebabkan prestasi baik yang ditunjukkan oleh pesawat itu dalam Perang Teluk.

Dalam Perang Teluk itu ia didakwa memusnahkan ratusan kereta kebal serta kereta perisai milik tentera Saddam Hussein dan konflik Afghanistan.

A-10 Thunderbolt
Pesawat A-10 Thunderbolt sedang melepaskan tembakan meriam 30mm Gatling Gun.

 

Mengikut perancangan terkini, tentera Udara Amerika Syarikat akan mula membersarakan 21 buah pesawat A-10 miliknya pada tahun ini diikuti perkhidmatan-perkhidmatan lain, sehinggalah kesemua 281 buah pesawat itu ditamatkan perkhidmatannnya menjelang 2029.

Ketua Staf Tentera Udara Amerika Syarikat CQ Brown mengatakan penamatkan khidmat 21 buah pesawat A-10 itu adalah permulaan, dengan kesemua pesawat itu akan dibersarakan di dalam tempoh “lima hingga enam tahun ini.”

Pada akhir dekad ini, beliau menjangkakan tiada lagi pesawat A-10 Thunderbolt yang akan berlegar di ruang udara.

Penganalisis ketenteraan di Washington berpendapat pesawat-pesawat Thunderbolt itu sukar untuk “selamat” apabila berhadapan dengan sistem pertahanan udara moden pada masa ini, terutamanya apabila berhadapan dengan sistem pertahanan udara jarak dekat buatan Russia seperti  “TOR”, jarak sederhana “BUK” atau jarak jauh S-400 “Triumf” milik Russia.

Ini tidak termasuk sistem-sistem pertahanan udara China yang kini “bersepah” digunakan oleh pelbagai negara di serata dunia dan oleh kumpulan-kumpulan militan yang anti-Amerika.

A-10 Thunderbolt
Peluru meriam 30mm milik pesawat A-10 “Thunderbolt”

 

Tempat pesawat A-10 yang direkabentuk sebagai pesawat “close air support” (CAS) itu pada mulanya dicadang diambilalih oleh pesawat F-16.

Tetapi memandangkan pesawat F-16 itu juga telah berusia dan juga akan dibersarakan di dalam tempoh sedekad lagi, maka Amerika Syarikat merancang menggantikan pesawat Thunderbolt dengan tugasan CAS itu dengan pesawat-pesawat F-35 sesuai dengan peranannya sebagai pesawat pejuang pelbagai guna.

Persoalannya,adakah pesawat F-35 berkemampuan memainkan peranan sebagai pesawat Close Air Support (CAS) kepada anggota tentera darat dilapangan, sebagaimana dimainkan oleh pesawat-pesawat A-10 Thunderbolt itu? — DSA

apps

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...