Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Tentera Darat Terima Dua Dari Empat Helikopter Black Hawk Akhir Tahun ini

Juruterbang-juruterbang PUTD akan dihantar ke Turki untuk menjalani latihan menggunakan simulator helikopter Black Hawk sebelum helikopter itu dihantar ke Malaysia, kata Panglima Tentera Darat.

5,462

(DEFENCE SECURITY ASIA) –Tentera Darat Malaysia (TDM) dijangka mula menerima dua daripada empat buah helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk yang disewa pada akhir tahun ini, kata Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Keempat-empat helikopter itu akan berfungsi sebagai pletfom kepada Tim Nukleus Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) sebagai latihan dan tugasan penerbangan operasi.

TDM menurut Mohammad, akan menghantar juruterbang ke Turki untuk menjalani latihan simulator Black Hawk sebelum helikopter itu dibawa ke Malaysia.

Black Hawk
Helikopter Black Hawk dengan kemudahan ESSS bagi membawa peluru berpandu Hellfire.

 

“Kami akan menghantar juruterbang (PUTD) pada Oktober ini agar latihan simulator Black Hawk dapat dikendalikan sepenuhnya oleh juruterbang secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Istiadat Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Darat ke-29 di Dataran PTD Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.

Kementerian Pertahanan telah menandatangani kontrak penyewaan empat buah helikopter Black Hawk pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ‘23) yang pada Mei lepas.

Kontrak penyewaan helikopter itu telah ditandatangani dengan syarikat tempatan, Aerotree Defence & Services Sdn Bhd bernilai RM187 juta.

Penyewaan empat buah helikopter itu dikatakan untuk tempoh selama lima tahun.

Helikopter UH-60 Black Hawk itu bukanlah asing kepada rantau Asia Tenggara mahupun Malaysia kerana Angkatan Tentera Malaysia turut menggunakannya untuk pengangkutan orang-orang kenamaan.

Black Hawk

Sementara itu di Thailand dan Filipina, helikopter Black Hawk memainkan peranan penting dalam operasi tentera darat negara itu.

Helikopter UH-60A Black Hawk berkemampuan untuk membawa 11 hingga 20 orang anggota tentera lengkap bersenjata serta seorang juruterbang, pembantu juruterbang dan seorang krew.

Model ‘A’ bagi helikopter Black Hawk itu berfungsi sebagai utiliti, serangan (air assault), medevac, command and control dan pemantauan.

Helikopter UH-60A Black Hawk dilengkapi dengan dua enjin General Electric T700-GE-701 turboshaft dan dengan tangki minyak boleh menampung 450 gelen membolehkan ia terbang sejauh 1,200 batu nautika.

Black Hawk

Helikopter terbabit juga boleh dilengkapi dengan apa yang dipanggil sebagai “External Stores Support System” (ESSS) yang seakan-akan seperti “sayapnya.”

Dengan ESSS, helikopter UH-60A Black Hawk itu boleh membawa sehingga 16 buah peluru berpandu “Hellfire” dan membawa 16 buah peluru berpandu itu di dalam pesawat itu,sekaligus membolehkan ia ESSS itu diisi semula dengan Hellfire ketika ditengah-tengah misi.

Selain peluru berpandu dipasang di peralatan ESSS, helikopter itu juga boleh dilengkapkan dengan mesingan. — DSA

Donlod

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]

 

 

Comments are closed.