Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Russia Letak Tayar Atas Pesawat Pengebom, Lindunginya Dari Serangan Dron Ukraine

Pakar-pakar pertahanan antarabangsa mempersoalkan sama ada tindakan meletakkan tayar-tayar di atas pesawat Russia itu merupakan langkah yang berkesan untuk melindunginya daripada sebarang kerosakan berpunca daripada serangan dron Ukraine.

0 9,473

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Dalam usaha untuk memastikan pesawat-pesawat tenteranya tidak menjadi mangsa kepada serangan dron Ukraine, pihak tentera Russia telah memikirkan kaedah yang unik untuk memastikan pesawat-pesawatnya itu selamat daripada serangan dron.

Kaedah unik itu menyaksikan tentera Russia menutup beberapa bahagian pesawat pengebomnya Tu-95 yang berada di Pangkalan Udara Engels-2 di Wilayah Saratov dengan tayar-tayar, sebagaimana yang dapat dilihat daripada imej-imej satelit.

Russia berharap tayar-tayar yang diletakkan di beberapa bahagian pesawat dapat menyerap kesan letupan dron-dron itu.

Russia

Pangkalan Udara Engels-2 di Wilayah Saratov itu terletak kira-kira 700km daripada sempadan Russia-Ukraine.

Pada Disember tahun lepas, pangkalan udara yang menempatkan pesawat-pesawat pengebom Russia diserang oleh dron-dron Ukraine, menyebabkan dua buah pesawat pengebom musnah manakala dalam serangan kedua dalam bulan yang sama menyebabkan tiga anggota tentera terbunuh.

Selepas daripada serangan dron-dron berani mati itu, Moscow bertindak memindahkan pesawatnya yang berada di Pangkalan Udara Engels-2 itu ke pangkalan udara yang lain.

Selepas beberapa bulan selamat daripada serangan dron berani mati Ukraine, pangkalan udara di Wilayah Saratov menjadi sasaran Ukraine sekali lagi.

Beberapa hari lepas, pangkalan udara tentera Russia di bandar Pskov turut diserang oleh dron-dron Ukraine, menyebabkan dua buah pesawat pengangkut Ilyushin IL-76 musnah manakala dua lagi buah mengalami kerosakan.

Russia
Pangkalan Udara Engels-2 di Wilayah Saratov.

 

Kementerian Pertahanan Russia menyatakan serangan dron Ukraine terhadap pangkalan udara di bandar Pskov itu menyebabkan empat buah pesawat rosak.

Pakar-pakar pertahanan antarabangsa mempersoalkan sama ada tindakan meletakkan tayar-tayar di atas pesawat Russia itu merupakan langkah yang berkesan untuk melindunginya daripada sebarang kerosakan berpunca daripada serangan dron Ukraine.

Mereka menyatakan tidak semua bahagian pesawat tentera Russia itu dilindungi dengan tayar-tayar, manakala, dron-dron berani mati Ukraine itu masih lagi boleh dipandu untuk meletup di bawah pesawat yang tidak dilindungi oleh tayar-tayar.

Selain itu mereka juga menyatakan bahawa tayar-tayar itu adalah bahan yang mudah terbakar dan boleh memburukkan kebakaran jika letupan dron-dron itu menyebabkan kebakaran terhadap pesawat itu.

Russia
Pesawat pengebom Tu-95 “Bear”
Tu-160M
Tu-160

 

Pangkalan Udara Engels-2 di Wilayah Saratov dan menempatkan Rejimen Pengebom ke-121 dan 184 yang mengoperasikan pesawat-pesawat pengebom strategik Tu-160 “Blackjack” dan Tu-95M “Bear” milik Tentera Udara Russia.

Selain pesawat-pesawat pengebom Russia yang melancarkan serangan terhadap kedudukan tentera Ukraine daripada Pangkalan Udara Engels-2 itu, Moscow turut menggunakan pangkalan udara itu untuk melancarkan peluru berpandu kruis KH-101 terhadap Ukraine. — DSA

Donlod

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...