Turkiye Ganti Peluru Berpandu “Harpoon” Dengan “Atmaca” Di 11 Buah Kapal Perangnya
Jika Malaysia benar-benar memilih kapal-kapal kelas-Ada untuk program LMS Batch II, adakah TLDM bakal menjadi tentera laut pertama di Asia Tenggara yang menggunakan peluru berpandu anti-kapal “Atmaca” buatan Turkiye itu?
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Turkiye akan menggantikan sistem peluru berpandu anti-kapal “Harpoon” buatan Amerika Syarikat yang kini digunakan oleh 11 buah kapal perangnya dengan peluru berpandu anti-kapal “Atmaca” dibangunkan oleh industri pertahanan tempatan.
Tindakan negara Mediterranean itu adalah langkah terkini dalam usahanya untuk berdikari dalam pembuatan sistem dan komponen pertahanan.
Kementerian Pertahanan Turkiye telah menandatangani perjanjian dengan syarikat ROKETSAN, yang membangunkan peluru berpandu anti-kapal itu dan syarikat STM yang membangunkan 11 buah kapal perang negara itu yang akan dilengkapi dengan “Atmaca”.
Peluru berpandu anti-kapal buatan tempatan “Atmaca” itu akan menggantikan 350 buah peluru berpandu anti-kapal “Harpoon” yang sudah berusia, dengan kerja-kerja integrasi peluru berpandu anti-kapal tempatan dijangka selesai dilaksanakan pada 2027, menurut STM.
Turkiye dijangka dalam menjimatkan kira-kira US$500 juta (RM2.25 bilion) dengan menggantikan peluru berpandu anti-kapal “Harpoon” dengan peluru berpandu anti-kapal “Atmaca” buatan tempatan.
Kos peluru berpandu anti-kapal “Atmaca” itu dikatakan hanya separuh berbanding peluru berpandu anti-kapal “Atmaca.”
Antara kapal-kapal perang Tentera Laut Turkiye yang akan dilengkapkan dengan peluru berpandu “Atmaca” itu adalah kapal friget kelas-I, kapal Meko 200TN kelas-Barbaros dan kapal korvet kelas-Ada.
Kapal korvet kelas-Ada digembar-gemburkan sebagai kapal perang yang ditawarkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk program perolehan lapan buah kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch II.
Jika Malaysia benar-benar memilih kapal-kapal kelas-Ada untuk program LMS Batch II, adakah TLDM bakal menjadi tentera laut pertama di Asia Tenggara yang menggunakan peluru berpandu anti-kapal “Atmaca” buatan Turkiye itu?
Kementerian Pertahanan dijangka mengumumkan perolehan kapal-kapal LMS Batch II itu pada tahun ini.
Comments are closed.