Pembuat Dron Tentera India Diharam Guna Komponen, Peralatan Buatan China
Pegawai-pegawai kanan tentera India melahirkan kebimbangan aspek pengumpulan maklumat perisikan oleh dron-dron terbabit boleh terjejas akibat penggunaan komponen-komponen yang dibuat di China, terutamanya berkaitan dengan sistem komunikasinya.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Bimbang terhadap isu keselamatan, kerajaan India telah bertindak mengharamkan syarikat pembuat dron ketenteraan negara itu daripada menggunakan komponen-komponen yang dibuat di China pada dron mereka.
Pegawai-pegawai kanan tentera India melahirkan kebimbangan aspek pengumpulan maklumat perisikan oleh dron-dron terbabit boleh terjejas akibat penggunaan komponen-komponen yang dibuat di China, terutamanya berkaitan dengan sistem komunikasinya.
Keputusan oleh kerajaan India untuk mengharamkan penggunaan komponen-komponen dron buatan China pada dron-dron tenteranya dibuat ketika hubungan kedua-dua negara kuasa nuklear tegang terutamanya selepas pertempuran antara anggota tentera masing-masing di kawasan sempadan.
Pegawai-pegawai India telah pun memaklumkan syarikat-syarikat yang memasuki proses bidaan bekalan dron bahawa tidak akan menerima sebarang peralatan atau komponen dibuat di China di atas sebab-sebab keselamatan.
Mereka bimbang pengumpulan maklumat perisikan oleh dron-dron yang mempunyai komponen buatan China akan terjejas.
Antara komponen-komponen dron yang menjadi perhatian pegawai-pegawai keselamatan India adalah komunikasi, kamera, transmisi radio dan sistem operasi perisian.
Menurut salah satu dokumen tender, dron-dron dilengkapi dengan komponen buatan China mempunyai lompong-lompong keselamatan yang menjejaskan data-data ketenteraan yang amat kritikal.
Kerajaan India dipimpin oleh Perdana Menteri Narendra Modi mahu membina kemampuan dron negara itu.
Bagaimanapun, pengharaman komponen-komponen dron buatan China di dron-dron tentera India itu dijangka akan meningkatkan lagi kos pembuatan dron itu kerana ia akan memaksi pembuat-pembuat dron India menggunakan komponen dari negara lain yang lagi mahal.
Seorang pemilik syarikat pembuat dron India menyatakan bahawa penggunaan komponen dron selain daripada China sudah semestinya akan meningkatkan kos dengan mendadak, sekurang-kurangnya 50 peratus lebih tinggi berbanding dron buatan China.
Comments are closed.