Jakarta pantau pencerobohan kapal CCG China di Laut Natuna
KUALA LUMPUR, 13 Sept (Defence Security Asia) — Kapal milik Badan Keamanan Laut (BAKAMLA) Indonesia telah menghalau sebuah kapal pengawal pantai China yang menceroboh perairan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) negara itu di utara Laut Natuna berhampiran Kepulauan Riau.
Menurut akhbar Jakarta Post, kapal pengawal pantai China itu dikenali dengan no penantnya, 5204 telah dikesan oleh kapal BAKAMLA iaitu KN Nipah menerusi Automatic Identification System (AIS) sekitar 10 pagi tadi (hari ini, Sabtu).
“BAKAMLA sedang menyelaras dengan Kementerian Luar dan pejabat Menteri Koordinasi Politik, Undang-Undang dan Hal Ehwal Keselamatan mengenai perkara ini,” kata BAKAMLA dalam satu kenyataan hari ini.
KN Nipah merupakan salah sebuah kapal peronda yang terlibat di dalam Operasi Cegah Tangkal di perairan bahagian barat negara itu.
Operasi itu bermula September ini dan akan hanya berakhir pada November.
Tujuan utama operasi ini kata ketua BAKAMLA Laksamana Madya Aan Kurnia adalah untuk memelihara keselamatan laut di zone maritim yang diutamakan.
Menurut BAKAMLA lagi, kapal pengawal pantai China itu bertegas ia mempunyai hak untuk meronda disekitar perairan yang ditakrifkannya “Nine Dash Line”.
Beijing berpendapat perairan “Nine Dash Line” yang merangkumi perairan beberapa negara Asia Tenggara termasuk Malaysia sebagai miliknya sejak turun-temurun dan menjadi kawasan tradisi penangkapan ikan nelayan China.
Ia juga berkata pemilikannya terhadap Laut China Selatan adalah selaras dengan sejarah.
Bagaiamanpun “Nine Dash Line” dan tuntutan China terhadap Laut China Selatan tidak pernah diperakui oleh masyarakat antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
— DEFENCE SECURITY ASIA