Kewujudan “HTMS Chakri Naruebet” Jadi Bahan Jenaka Rakyat Thailand Sendiri
Pada 1992, Thailand memulakan usaha membina sebuah kapal pengangkut pesawat dianggarkan bernilai US$285 juta (RM1.14 bilion) dinamakan “HTMS Chakri Naruebet” (CVH-911) yang bermaksud Kedaulatan Dinasti Chakri. Ia adalah satu-satunya kapal pengangkut pesawat di rantau Asia Tenggara.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sekitar akhir 1980-an, Tentera Laut Thailand mahukan suatu simbol yang dapat menonjolkan kekuasaan dan kekuatan tentera laut negara Asia Tenggara itu, lalu ia memutuskan untuk memiliki sebuah kapal pengangkut pesawat (aircraft carrier).
Maka pada 1992, Thailand memulakanlah usaha membina sebuah kapal pengangkut pesawat yang dianggarkan bernilai US$285 juta (RM1.14 bilion) dinamakan “HTMS Chakri Naruebet” (CVH-911) yang bermaksud Kedaulatan Dinasti Chakri.
Kerja-kerja pembinaan HTMS Chakri Naruebet mengambil masa selama lima dan siap sepenuhnya pada 1997 bagi membolehkan Thailand muncul sebagai satu-satunya negara di Asia Tenggara yang memiliki kapal pengangkut pesawat di rantau ini.

Sudah semestinya, Thailand dan tentera laut negara itu amat berbangga untuk muncul sebagai satu-satunya negara di Asia Tenggara untuk memiliki kapal pengangkut pesawat, aset yang berprestij melambangan kekuatan tentera laut sesebuah negara.
Rekabentuk kapal pengangkut pesawat HTMS Chakri Naruebet milik Tentera Laut Thailand itu adalah berdasarkan kepada kapal pengangkut pesawat milik Tentera Laut Sepanyol “Principe de Asturias” dan dibina oleh syarikat pembuat kapal Sepanyol, Bazan.
Bagaimanapun, malang menimpa negara Asia Tenggara itu kerana sebaik sahaja ia selesai membina kapal pengangkut pesawatnya itu pada 1997, Thailand sebagaimana negara-negara Asia yang lain telah dilanda masalah kewangan dan ekonomi yang serius dalam apa yang dipanggil “Krisis Kewangan Asia” (Asia Financial Crises).
Disebabkan masalah kewangan dan ekonomi serius dihadapi oleh kerajaan Thailand akibat krisis kewangan serantau itu, maka kapal “HTMS Chakri Naruebet” yang sepatutnya menjadi simbol kebanggaan negara dan tentera laut negara itu lebih banyak menghabiskan masanya di Pangkalan Laut Sattahip daripada belayar di laut.

Dengan berat mencecah 11,400 tan (full load), panjang keseluruhan kapal kebanggaan tentera laut Thailand adalah 182 meter.
Dengan “saiz” keseluruhannya itu, kapal “Chakri Naruebet” itu juga diiktiraf sebagai kapal pengangkut pesawat terkecil di dunia, jauh lebih kecil berbanding kapal-kapal pengangkut pesawat dimiliki oleh negara-negara lain walaupun tidak banyak negara di dunia memiliki kapal pengangkut pesawat.
Russia juga hanya memiliki sebuah kapal pengangkut pesawat, iaitu Admiral Kuznetsov.
Comments are closed.