Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

TEGANG!! Pesawat Su-35 Russia Pintas Pengebom B-52 Amerika Di Laut Hitam

Kementerian Pertahanan Russia dalam satu kenyataan menyatakan sebuah pesawat pejuang Su-35 dikerah ke Laut Hitam untuk berhadapan dengan pesawat pengebom B-52 Amerika Syarikat yang terbang menuju ke sempadan negara itu pada Isnin dan hanya kembali ke pangkalan udaranya selepas "pertembungan" mencemaskan antara kedua-dua pesawat berakhir. 

0 1,833

(DEFENCE SECURITY ASIA) – – Beberapa hari selepas sebuah dron Amerika dipintas sebelum terhempas di Laut Hitam, kini pesawat pengebom B-52 “Stratofortress” milik negara kuasa besar dunia itu pula dipintas oleh pesawat pejuang Su-35 Russia di kawasan perairan yang sama, meningkatkan lagi ketegangan di antara kedua-kedua kuasa nuklear itu. 

Insiden pemintasan pesawat pengebom B-52 itu berlaku ketika keadaan di antara Moscow dan Washington itu semakin panas akibat insiden membabitkan tentera kedua-dua negara, selepas pencerobohan Russia di Ukraine. 

Menurut Kementerian Pertahanan Russia, sebuah pesawat pejuang Su-35 dikerah ke Laut Hitam untuk berhadapan dengan pesawat pengebom B-52 Amerika Syarikat yang sedang terbang menuju ke sempadan negara itu pada Isnin dan hanya kembali ke pangkalan udaranya selepas “pertembungan” mencemaskan antara kedua-dua pesawat berakhir. 

Su-35
Pesawat pejuang Su-35

 

Pertembungan di antara Su-35 dan B-52 itu berlaku tidak lama selepas Russia menerbangkan dua buah pesawat pengebom berkemampuan membawa senjata nuklear di Laut Jepun (Sea of Japan) selama tujuh jam ketika Perdana Menteri Jepun mengadakan lawatan mengejut ke Ukraine manakala Presiden Xi Jinping dari China mengadakan kunjungan ke Moscow.

Pesawat pengebom Tupolev Tu-95MS berkemampuan membawa senjata nuklear dan Moscow kerapkali mengerah pesawat itu untuk terbang di perairan-perairan antarabangsa di Artik, Lautan Atlantik dan Pasifik sebagai taktik menunjukkan kekuatan Russia serta untuk mengertak musuh-musuhnya.

Penerbangan pesawat pengebom Tu-95MS di Laut Jepun itu berlaku selepas insiden pada 14 Mac apabila sebuah dron MQ-9 Reaper milik Amerika Syarikat terhempas di Laut Hitam selepas berlanggar dengan sebuah pesawat pejuang Russia yang cuba memintasnya.

Tu-95
Pesawat pengebom Tu-95 Russia

 

Ia adalah insiden pertama membabitkan pertembungan secara langsung tentera Amerika dan tentera Russia sejak Moscow menceroboh Ukraine pada Februari tahun lepas.

Sambung kenyataan Kementerian Pertahanan Russia itu lagi, radar miliknya yang mengawasi Laut Baltik telah mengesan dua buah sasaran udara sedang terbang menuju ke sempadan negara itu.

Terdahulu, kedua-dua pesawat pengebom B-52 itu diiringi oleh pesawat pejuang Tentera Udara Poland.

Aplikasi Flightradar24 menunjukkan pesawat pengebom B-52 itu terbang merentasi beberapa negara Eropah pada ketinggian 26,500 kaki.

Tu-95
Pesawat pengebom Tu-95

 

Menurut Russia lagi, pesawat Su-35 dikerah untuk memastikan pesawat pengebom Amerika itu tidak menceroboh ruang udara negara itu dan hanya selepas B-52 itu bergerak jauh daripada sempadan negara itu pesawat pejuang itu kembali ke pangkalan udaranya.

Kementerian Pertahanan Russia berkata penerbangan pesawat Su-35 itu mematuhi peraturan antarabangsa tentang penggunaan ruang udara dan Moscow menyatakan bahawa sebarang pencerobohan ruang udara negara itu tidak akan dibenarkan sama sekali.

Ia tidak menyatakan sama ada pesawat pejuang Su-35 itu membawa sebarang peluru berpandu udara-ke-udara.- – DSA

Apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...