Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Brunei “Dihadiahkan” Dua Kapal Peronda Kelas-Fearless Oleh Singapura

Tentera Laut Diraja Brunei (TLDM) berkemungkinan mengerahkan kedua-dua kapal peronda kelas-Fearless yang diterimanya daripada Singapura itu ke perairan Laut China Selatan untuk mengawasi Zon Ekonomi Eksklusifnya (ZEE) yang kaya dengan sumber minyak dan gas tetapi sering diceroboh oleh kapal-kapal peronda China.

0 7,972

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) akan mengoperasikan dua buah kapal peronda kelas-Fearless yang pernah berkhidmat dengan Tentera Laut Singapura iaitu RSS Gallant dan RSS Brave.

Menurut laporan media, TLDB sedang di dalam proses untuk menerima kedua-dua kapal peronda terbabit daripada Singapura.

“Kedua-dua kapal peronda kelas-Fearless itu (RSS Gallant dan RSS Brave) dipindahkan kepada Tentera Laut Diraja Brunei sebagai hadiah dan simbol kepada hubungan pertahanan yang erat di antara kedua-dua negara Asia Tenggara itu,” menurut laporan Janes.

Brunei dan Singapura mempunyai hubungan pertahanan yang erat sejak berdekad lamanya.

Singapura memiliki beberapa kemudahan latihan tentera di Brunei termasuk di Kem Jalan Aman dan kemudahan latihan hutan di Temburong.

Fearless

TLDB berkemungkinan mengerahkan kedua-dua kapal yang diterimanya daripada Singapura itu ke perairan Laut China Selatan untuk mengawasi Zon Ekonomi Eksklusifnya (ZEE) yang kaya dengan sumber minyak dan gas tetapi sering diceroboh oleh kapal-kapal peronda China.

Sebaik sahaja diterima dan ditauliah sebagai anggota keluarga terbaru TLDB, kedua-dua kapal peronda kelas-Fearless itu akan dikenali dengan nama barunya iaitu, KDB As-Siddiq dan KDB Al-Faruq.

Kapal peronda RSS Gallant dilucut tauliah oleh Tentera Laut Singapura pada Disember 2020 manakala RSS Brave pula menamatkan perkhidmatannya dengan republik selatan Semenanjung Malaysia itu pada Ogos 2019.

Tentera Laut Singapura mengoperasikan kira-kira 12 buah kapal peronda kelas-Fearless di dalam armadanya, dengan kesemua kapal peronda itu ditauliahkan di antara tahun-tahun 1996 sehinggalah 1998.

Enam kapal peronda kelas-Fearless yang awal direkabentuk sebagai kapal anti-kapal selam manakala enam kapal selebihnya pula direkabentuk sebagai kapal peronda.

Fearless

Kedua-dua kapal RSS Brave dan RSS Gallant adalah kapal yang kedua dan keempat dibina dan ditauliah oleh Tentera Laut Singapura, bermakna ia berkemungkinan besar adalah kapal anti-kapal selam dilengkapi dengan kemampuan sonar dan torpedo.

Kapal-kapal peronda kelas-Fearless itu mempunyai berat keseluruhan 500 tan dan panjang 55 meter serta berkelajuan 20 knot dengan radius operasinya sehingga 1,000 batu nautika.

Ia dilengkapkan dengan search radar, navigation radar, sonar,fire control radar dan electronic support measures (esm).

Tentera Laut Diraja Brunei berkemungkinan menukar sebahagian besar radar-radar pada kapal peronda kelas-Fearless yang diterimanya itu kerana Tentera Laut Singapura menggunakan radar yang dibuat oleh syarikat-syarikat pertahanan Israel seperti IAI dan Elta, Rafael serta Elbit.

Manakala bagi bagi sistem persenjataannya, kapal-kapal peronda kelas Fearless dilengkapi dengan sistem peluru berpandu “Mistral” untuk pertahanan udara, torpedo Eurotorp A244/S, meriam utama Oto Melara 76mm dan mesingan 12.7mm.

Kapal-kapal peronda kelas-Fearless itu dibina oleh syarikat ST Engineering (Marine).

Selain membina kapal-kapal peronda kelas-Fearless untuk Tentera Laut Singapura, syarikat ST Eng (Marine) turut bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan Emiriah Arab Bersatu (UAE dan Oman untuk membina kapal-kapal peronda kelas itu untuk tentera laut kedua-dua negara Teluk itu.– DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...