Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kepentingan Tentera Laut Thai Diketepikan Dalam Isu Enjin Kapal Selam?

Tentera Laut Thailand tetap mahukan kapal selam pertama negara itu dilengkapkan dengan enjin buatan Jerman sebagai dipersetujui dalam kontrak, tetapi akhbar Bangkok Post mendakwa kerajaan Thailand dipimpin oleh Perdana Menteri Jeneral Prayut Chan-o-cha "keberatan" menolak tawaran Beijing untuk melengkapkan kapal selamnya itu dengan enjin prototaip buatan China.

0 3,358

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Laut Thailand (RTN) dilapor akan menghantar satu pasukan ke Wuhan, China minggu ini untuk melihat dengan lebih dekat kemampuan enjin CHD620 buatan China yang dicadang dipasang pada kapal selam miliknya yang sedang dibina oleh China.

Penghantaran pasukan RTN ke Wuhan itu merupakan usaha terbaru oleh kedua-dua negara itu untuk merungkai kemelut perolehan kapal selam buatan China oleh Bangkok.

Media berbahasa Inggeris terkenal negara jiran, Bangkok Post dalam lidah pengarangnya baru-baru ini menyatakan bahawa perolehan kapal selam China oleh Thailand berhadapan dengan rintangan apabila syarikat pembuat kapal selam itu, China Shipbuilding and Offshore Co (CSOC) menawar untuk menggunakan enjin buatan China itu pada kapal selam Thailand.

Perolehan itu berhadapan dengan masalah besar kerana RTN di dalam kontrak pembelian kapal selam yang ditandatanganinya dengan CSOC mahukan supaya aset bawah permukaan Thailand itu dilengkapi dengan enjin MTU396 buatan Jerman.

Dalam kontrak, RTN mahukan kapal selamnya dilengkapi dengan enjin MTU396 buatan Jerman dan CSOC bersetuju.

S-26T
Kapal selam buatan China yang bakal diperolehi oleh Thailand pada 2024.

 

Namun apabila pembinaan kapal selam itu sudah hampir siap, CSOC membuat “pusingan 360 darjah” dengan menawar untuk melengkapkan kapal selam Thailand itu dengan enjin buatan China, yang merupakan enjin prototaip dan tidak pernah digunakan oleh mana-mana kapal selam sebelum ini, walau oleh kapal selam China sendiri.

Jika RTN bersetuju menggunakan enjin CHD620 buatan China itu, ia bakal menjadi negara pertama bersama-sama Pakistan menggunakan model enjin itu untuk kapal selamnya.

CSOC tidak dapat menggunakan enjin buatan Jerman pada kapal selam Thailand yang sedang dibinanya berikutan sekatan ketenteraan Kesatuan Eropah terhadap China.

Tetapi, mengapa CSOC tidak berterus-terang dengan kerajaan Thailand dan tetap bersetuju dengan kehendak Bangkok untuk melengkapkan kapal selam pertamanya itu dengan enjin buatan Jerman walaupun ia tahu Beijing sedang berhadapan dengan sekatan ketenteraan oleh EU, yang bermakna janji untuk melengkapkan kapal selam itu dengan enjin Eropah adalah mustahil.

EU mengenakan sekatan senjata terhadap China pada 1989 selepas tragedi Tiananmen Square.

Bekas Panglima RTN Laksamana Somprasong Nilsamai dan penggantinya tetap berkeras mahukan kapal selam Thailand yang pertama selepas lapan dekad itu dilengkapkan dengan enjin buatan Jerman sebagaimana yang dipersetujui oleh RTN dan CSOC sebagaimana di dalam kontrak.

Bagaimanapun Bangkok Post di dalam lidah pengarangnya mendakwa bahawa kerajaan Thailand yang dipimpin oleh Perdana Menteri Jeneral Prayut Chan-o-cha “keberatan” untuk menolak tawaran Beijing untuk melengkapkan kapal selamnya itu dengan enjin prototaip buatan China.

apps

TEKAN DI SINI UNTUK  DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

Kemungkinan besar adalah kerajaan Thailand yang banyak bergantung kepada China untuk menjana ekonominya yang terjejas akibat COVID-19 tidak mahu menanggung risiko “mengundang kemarahan” Beijing dan menerima cadangan CSOC untuk menggunakan enjin CHD620 buataannya pada kapal selam RTN itu.

Sementara itu, media berbahasa Inggeris Thailand itu mencadangkan supaya keputusan sama ada kapal selam itu menggunakan enjin buatan China atau Jerman perlu dibuat oleh kerajaan baru dan menteri pertahanan yang baru dan bukan oleh kerajaan yang berkuasa pada ketika ini.

Thailand akan mengadakan pilihanraya umum tahun ini.

Bangkok Post juga berkata, keputusan tentang enjin kapal selam itu tidak boleh ditentukan oleh diplomasi dengan China. — DSA

Comments
Loading...